WOLVERHAMPTON: Manchester United kembali menghidupkan saingan memburu slot ke Liga Juara-Juara musim depan selepas Bruno Fernandes mengemudi kemenangan bergaya 4-1 ke atas Wolves dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), semalam.
Skuad kendalian Ruben Amorim itu bangkit daripada kekecewaan seri dengan West Ham minggu lalu, dengan dua jaringan Fernandes selain satu gol menerusi Bryan Mbeumo dan Mason Mount di Molineux.
Gol tunggal tuan rumah menerusi Jean-Ricner Bellegarde merupakan jaringan pertama Wolves dalam enam perlawanan bagi semua pertandingan dan yang pertama dalam liga sejak 26 Oktober.
Pengendali United, Ruben Amorim menyifatkan pemainnya memulakan permainan dengan baik dan menjaringkan gol awal, namun pada suatu ketika membenarkan Wolves mendapat rentak adalah perkara yang tidak patut berlaku.
Katanya, pada penghujung babak pertama pasukannya agak tertekan, namun berjaya bangkit mempamerkan aksi lebih baik pada babak kedua dan mengakui peningkatan prestasi lebih baik ditunjukkan berbanding musim lalu.
“Saya rasa kami memulakan perlawanan dengan sangat baik. Kami menjaringkan gol awal, namun membiarkan Wolves kembali mendapatkan rentak permainan. Kami sedikit tertekan pada detik terakhir babak pertama, tetapi pada separuh masa kedua kami bermain dengan tempo lebih baik dan membuat keputusan yang berkualiti.
“Kami menamatkan perlawanan dengan baik, ia satu malam yang positif buat kami.
Kami menjaringkan empat gol tetapi sebenarnya memiliki banyak lagi percubaan, jadi saya tidak boleh mengaitkannya semata-mata dengan ketumpulan atau ketajaman penyudah,” katanya.
Kemenangan itu meletakkan United menghuni kedudukan keenam dalam carta liga dengan mengumpul 25 mata dan hanya dibezakan satu mata dengan pasukan di tangga keempat, Crystal Palace. – AGENSI/UTUSAN






