PETALING JAYA: Tujuh pemain warisan Harimau Malaya yang sebelum ini memiliki nilai pasaran mencecah jutaan ringgit kini jatuh mendadak apabila nilai mereka diletakkan pada angka sifar.
Perubahan drastik itu direkodkan laman statistik bola sepak antarabangsa, Transfermarkt.com, selepas ketujuh-tujuh pemain terbabit digantung selama 12 bulan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Pemain sayap, Imanol Machuca menjadi individu paling terkesan apabila nilai pasarannya yang pernah mencecah RM11.9 juta lenyap sepenuhnya susulan hukuman berkenaan.
Turut menerima nasib sama ialah pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Joao Figueiredo yang sebelum ini dinilai sekitar RM9.58 juta, manakala pertahanan tengah, Facundo Garces kehilangan nilai pasaran RM4.79 juta.
Penurunan turut membabitkan Jon Irazabal dengan kejatuhan RM2.87 juta, diikuti penyerang Rodrigo Holgado (RM2.16 juta) serta seorang lagi tonggak JDT, Hector Hevel yang susut RM1.91 juta.
Gabriel Palmero yang sebelum ini mempunyai nilai pasaran RM239,000 juga tidak terkecuali apabila kini turut diletakkan pada nilai sifar bersama enam pemain lain.
Kesemua pemain terbabit sebelum ini dikenakan denda sebanyak RM10,560 setiap seorang serta digantung selama setahun oleh FIFA selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA berkaitan pemalsuan dokumen.
Impak kes tersebut bukan sahaja dirasai pemain, malah Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) turut dikenakan denda besar berjumlah RM1.8 juta oleh badan induk dunia itu.
Susulan hukuman tersebut, FAM mengambil keputusan membawa kes berkenaan ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) sebagai usaha terakhir untuk mendapatkan pembelaan.
Bagaimanapun, FIFA turut mengenakan hukuman tambahan apabila membatalkan keputusan tiga perlawanan persahabatan Harimau Malaya dan menghadiahkan kekalahan 0-3 selepas didapati menurunkan pemain tidak layak.
Akibatnya, ranking dunia skuad kebangsaan jatuh lima anak tangga ke kedudukan ke-121, sekali gus menjejaskan momentum positif pasukan yang sebelum itu mencatat rekod tanpa kalah sepanjang tahun 2025. – UTUSAN






