PETALING JAYA: Hukuman Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah diduga akan memberi impak besar kepada kedudukan ranking dunia untuk skuad Harimau Malaya.
Susulan hukuman badan induk itu membatalkan keputusan tiga perlawanan persahabatan berdepan Cape Verde, Singapura dan Palestin dengan Malaysia dianggap tewas 0-3, skuad kebangsaan kini terkeluar daripada kelompok 120 terbaik dunia.
Kemas kini terbaharu ranking FIFA, semalam menyaksikan skuad bimbingan Peter Cklamovski tergelincir lima anak tangga apabila kini menghuni kedudukan ke-121 dunia dan hanya satu anak tangga mengatasi seteru serantau, Indonesia yang berada pada kedudukan ke-122.
Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi menegaskan, pihaknya menghormati keputusan FIFA yang menjatuhkan hukuman terhadap badan induk bola sepak negara itu baru baru ini.
Namun, fokus utama FAM kini adalah memandang ke hadapan dan memberi tumpuan penuh terhadap kes di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
“Hukuman pemotongan mata hingga menyebabkan ranking Malaysia turun adalah perkara yang terpaksa FAM terima dan hormati keputusan FIFA yang menjatuhkan hukuman baru-baru ini.
“Apa yang boleh kita buat adalah memandang ke depan dan memberi tumpuan kepada kes CAS,” katanya.
Secara keseluruhan, Harimau Malaya kini mengumpul 1145.89 mata, kehilangan kira kira 22 mata berbanding 1168 mata ketika berada di kedudukan ke 116 dunia sebelum ini.
Selain kedudukan ranking, hukuman itu turut menyebabkan rekod tanpa kalah yang dicatat Malaysia sepanjang tahun ini lebur. – UTUSAN






