LONDON: Michael Carrick mengakui sikap pemain yang mengikut arahan dan taktikal menjadi kunci kejayaan Manchester United ketika menewaskan pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) Arsenal 3-2 di Stadium Emirates, semalam.
Carrick berkata, pemain telah menunjukkan kerjasama dan semangat berpasukan yang telah lama hilang dalam skuad The Red Devils dan beliau mahu momentum kemenangan diteruskan.
“Semua pemain mempamerkan sikap amat positif untuk menerima dan melaksanakan apa yang diminta barisan kejurulatihan. Saya percaya kepada mereka dan cuba menzahirkan keyakinan itu.
“Ia bukan sekadar kata-kata. Mudah untuk bercakap tetapi yang penting adalah perasaan dan keyakinan untuk melaksanakan sepenuhnya. Anda perlu benar-benar merasai keyakinan itu dan mereka sudah memilikinya. Kami perlu mengekalkannya,” kata Carrick.
Carrick cemerlang dalam dua tugasan pertama dan turut mengetepikan sistem tiga pemain pertahanan kegemaran Ruben Amorim, satu perubahan yang memberi keseimbangan lebih baik kepada United.
Keputusan pengurus berusia 44 tahun itu memberikan Patrick Dorgu peranan lebih menyerang juga membuahkan hasil, apabila pemain itu menjaringkan gol menentang City dan Arsenal.
“Saya fikir kami memahami aliran dan corak perlawanan dengan baik. Ada ketika kami perlu bertahan dan bekerja keras, tetapi pada masa sama kami mahu menguasai permainan dan gol yang terhasil sangat berkualiti.
“Permainan kami juga baik dan kami kelihatan berbahaya pada masa tertentu. Ia persembahan yang lengkap. Saya baru kurang dua minggu di sini dan saya benar-benar mahu memperbaiki pasukan serta menamatkan musim sebaik mungkin,” katanya.
Untuk rekod, Carrick dilantik hingga akhir musim selepas pemecatan Amorim pada 5 Januari lalu dan bekas pemain tengah United itu menyahut peluang kembali ke Old Trafford selepas dipecat kelab divisyen dua England, Middlesbrough, Jun lalu.
United kini melonjak ke tangga keempat liga dan Carrick memuji pemainnya kerana memberi respons positif terhadap pendekatan taktikal yang diterapkannya. – AGENSI/UTUSAN






