LONDON: Masa depan Arne Slot di Liverpool tergugat selepas terdapat laporan yang mengatakan pengurusan kelab itu telah berhubung dengan wakil Xabi Alonso.
Kedudukan Slot terancam selepas kelab berkenaan tumpas mengejut 2-3 kepada Bournemouth Sabtu lalu yang merumitkan usaha mereka mengejar kelompok atas liga.
Kekalahan itu menyebabkan Liverpool jatuh ke tangga keenam Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas Manchester United dan Chelsea masing-masing mencatat kemenangan.
Dengan kemerosotan prestasi, tanda tanya terus menyelubungi masa depan Slot dan keadaan semakin hangat diperkatakan susulan pemergian Alonso dari Real Madrid.
Pengendali dari Sepanyol itu mencapai persetujuan bersama untuk berpisah dengan Real selepas hanya tujuh bulan mengemudi pasukan, dan tempatnya digantikan oleh, Álvaro Arbeloa.
Sebelum ini, Alonso pernah dikaitkan dengan jawatan ketua jurulatih Liverpool selepas Jurgen Klopp meninggalkan kelab pada 2024, namun beliau memilih untuk kekal bersama Bayer Leverkusen.
Menurut laporan media Sepanyol, Alonso sedia kembali ke Anfield dan hubungan dengan pihak pengurusan jurulatih berusia 44 tahun itu dilaporkan positif, dengan jawatan di Liverpool dikatakan menarik buatnya.
Minggu lalu, Slot ditanya mengenai kemungkinan Alonso mengambil alih tugasnya dan menyifatkan soalan tersebut sebagai antara yang paling pelik pernah diajukan kepadanya dalam sidang media.
“Apa lagi yang boleh dikatakan, saya sudah bekerja di sini lebih setahun setengah, dan saya sangat menikmati tugas saya di sini. Kami menjuarai liga musim lalu tetapi bergelut dalam liga musim ini.
“Perkara itu jelas, jadi ya, apa lagi yang tinggal untuk diperkatakan sepanjang tugasan saya Bersama Liverpool, suasana dalam pasukan adalah baik, ” katanya bagi mengulas khabar angin pelantikan Alonso. – AGENSI/UTUSAN






