PETALING JAYA: Malaysia perlu bersedia dengan pelbagai risiko jika berhasrat untuk terus menggunakan khidmat tujuh pemain warisan selepas hukuman mereka ditangguhkan oleh Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) Isnin lalu.
Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor Paul John berkata, pihaknya tidak mempunyai butiran tentang status tujuh pemain Malaysia dan perkara itu perlu perbincangan lanjut dengan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
“Kita baru terima surat FIFA dan tidak ada banyak butiran, kita sedang membincangkan perkara ini dengan FIFA untuk dapatkan maklumat-maklumat terperinci status pemain ini, boleh beraksi untuk Malaysia atau tidak.
“Apa yang pasti, pemain ini dapat beraksi untuk kelab untuk kelab itu yang pasti. Sama ada boleh beraksi dalam pasukan kebangsaan, kita masih tunggu maklumat terperinci daripada FIFA.
“Sebab utama ialah FIFA sudah buat keputusan berasingan dengan status perlawanan persahabatan, di situ berlaku percanggahan, Jadi kena lihat butiran terperinci terlebih dahulu,” katanya.
Sebelum ini, CAS membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman terhadap Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal dan Hector Hevel yang sebelum ini digantung selama 12 bulan selepas didapati bersalah memalsukan dokumen.
Windsor berkata, tanggungjawab kini terletak di bahu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), khususnya berkaitan perlawanan antarabangsa termasuk aksi kelayakan Piala Asia menentang Vietnam di Pusat Sukan Thien Truong, Nam Dinh pada 31 Mac ini.
“CAS belum membuat keputusan muktamad dan penangguhan pelaksanaan hukuman ini boleh dilihat seperti jaminan, yang membolehkan pemain kembali bermain bola sepak buat sementara waktu. CAS mungkin hanya akan mengeluarkan keputusan akhir pada Februari atau Mac,” kata Windsor.
Pada Disember lalu, Jawatankuasa Tatatertib Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menjatuhkan hukuman pemotongan mata terhadap Malaysia selepas mendapati FAM melanggar Artikel 19 Kod Tatatertib FIFA (Edisi 2025) kerana menurunkan pemain yang tidak layak dalam tiga perlawanan antarabangsa Tier 1.
Perlawanan berkenaan ialah Malaysia menentang Cape Verde di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 29 Mei lalu yang berkesudahan seri 1-1; Malaysia bertemu Singapura di Stadium Nasional, Bukit Jalil (4 September ) yang dimenangi Malaysia 2-1; dan Malaysia menentang Palestin di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri(8 September) yang dimenangi Malaysia 1-0. – UTUSAN






