PETALING JAYA: Johor Darul Ta’zim (JDT) yang dikendalikan Xisco Munoz dijangka tidak menunggu lama untuk menggunakan semula khidmat trio pemain warisan negara, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.
Ketiga-tiga pemain terbabit kini boleh kembali beraksi selepas Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) menangguhkan hukuman penggantungan 12 bulan yang dikenakan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Harimau Selatan akan berdepan kelab Myanmar, Shan United esok dalam saingan Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) dan khidmat Figueiredo, Irazabal dan Hevel pastinya ditagih.
JDT yang berada di kedudukan kedua Kumpulan B sudah pasti menginginkan tiga mata penuh apabila berdepan pasukan tercorot Kumpulan B itu dan harapan peminat untuk melihat mereka beraksi cukup tinggi.
Dalam aksi seterusnya, JDT akan berkunjung ke Sanfrecce Hiroshima bagi perlawanan ketujuh Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) dan wakil Malaysia itu wajib meraih kemenangan bagi menghidupkan peluang ke pusingan kalah mati.
Kehadiran Figueiredo, Irazabal dan Hevel sudah pasti sangat diperlukan oleh Harimau Selatan bagi memburu kedudukan lebih baik dalam ACLE selepas pemain bintang mereka, Arif Aiman Hanapi berdepan kecederaan.
Ketika ini JDT berada di tangga keenam liga dengan lapan mata selepas enam perlawanan, namun kedudukan setiap pasukan begitu rapat, sekali gus menuntut Harimau Selatan meraih tiga mata penuh.
Sebelum ini, FAM dan tujuh pemain membabitkan Figueiredo, Irazabal, Hevel serta Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado dan Imanol Machuca dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.
Kesemua pemain terbabit didenda CHF2,000 (kira-kira RM10,000) dan digantung daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak di seluruh dunia selama 12 bulan, manakala FAM dikenakan denda CHF350,000 (sekitar RM1.8 juta). – UTUSAN






