ISTANBUL: Pengurus Liverpool, Arne Slot mengakui suasana di Stadium RAMS Park bakal menjadi cabaran buat pasukannya dalam pertemuan pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah menentang Galatasaray, awal pagi esok.
Skuad The Reds dijadual berkunjung ke Istanbul bagi menghadapi juara liga Turkiye itu dalam aksi pertama yang dianggap penting sebelum perlawanan timbal balik di Anfield pada 19 Mac nanti.
Slot berkata, setiap pasukan yang mara ke kelompok 16 terbaik mempunyai kualiti tersendiri, sekali gus menjadikan pertemuan yang sukar buat kedua-dua pihak termasuk Liverpool dan Galatasaray.
“Kami menjangkakan perlawanan sukar kerana setiap pasukan yang berada di peringkat ini mempunyai sebab tersendiri untuk berada di sini. Lebih mencabar buat kami kerana sudah pernah bermain di sana dan tewas,” kata Slot.
Menurut Slot, walaupun Liverpool memiliki barisan pemain berkualiti, faktor suasana penyokong tuan rumah di RAMS Park menjadikan perlawanan itu berbeza berbanding aksi tempat lawan lain.
“Suasana di stadium itu benar-benar luar biasa. Setiap kali kami menguasai bola, sorakan, bunyi wisel dan tekanan daripada penyokong sangat kuat hingga kadangkala sukar dipercayai ia datang daripada manusia.
“Bunyinya tidak pernah berhenti dari awal hingga akhir perlawanan, malah lebih kuat daripada ketika mereka menjaringkan gol,” jelasnya.
Liverpool pernah berdepan Galatasaray di gelanggang sama pada September lalu dan tewas 0-1, pengalaman yang masih segar dalam ingatan pengendali dari Belanda itu.
Bagaimanapun, Slot menegaskan pasukannya masih mempunyai kelebihan kerana aksi tersebut berlangsung secara timbal balik, dengan perlawanan kedua akan dimainkan di Anfield. – AGENSI/UTUSAN






