LONDON: Harry Maguire yakin mencapai kesepakatan kontrak baharu bersama Manchester United sambil menegaskan keputusan itu perlu berlandaskan kepentingan bersama.
Pertahanan berusia 33 tahun itu kembali memainkan peranan penting sejak Michael Carrick mengambil alih pasukan pada Januari lalu.
Kebangkitan tersebut membantu United melonjak ke tangga ketiga Liga Perdana Inggeris selain membuka semula pintu Maguire ke skuad kebangsaan.
Malah, dia turut disenaraikan dalam perancangan awal kendalian Thomas Tuchel menjelang kempen Piala Dunia.
Mengulas masa depannya, Maguire mendedahkan rundingan sudah dimulakan dan yakin keputusan dapat dicapai dalam masa terdekat.
“Saya rasa sudah ada perbincangan. Saya fikir kami akan mencapai persetujuan yang terbaik untuk kelab dan diri saya. Apa bentuk persetujuan itu, saya pasti anda akan mengetahuinya dalam beberapa minggu lagi.
“Tetapi, ya, saya rasa ia akan diselesaikan lebih cepat, sama ada saya kekal atau berpindah. Saya fikir ia akan selesai tidak lama lagi,” kata Maguire.
Tegas Maguire, dia tidak mahu terus bersama United hanya kerana faktor sentimental sebaliknya mahu memastikan peranannya masih relevan dalam perancangan pasukan.
“Saya tidak mahu kekal hanya kerana nilai sentimental. Saya mahu kekal kerana saya mahu berada di sini dan kelab juga mahukan saya terus membantu memacu kelab ke hadapan serta berasakan saya masih mempunyai peranan besar.
“Jika itu keadaannya, saya yakin kami akan duduk berbincang dan mencapai sesuatu,” katanya. – AGENSI/UTUSAN






