LIVERPOOL: Penyerang sensasi Mesir, Mohamed Salah mengesahkan bakal meninggalkan juara Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool pada penghujung musim ini sekali gus menutup tirai sembilan tahun gemilang di Anfield.
Pemain berusia 33 tahun itu tiba dari Roma pada 2017 telah membuat 435 penampilan untuk Liverpool setakat ini, menjaringkan 255 gol untuk berada di tempat ketiga dalam senarai penjaring terbanyak sepanjang zaman kelab di belakang Ian Rush dan Roger Hunt.
Salah turut memenangi empat Anugerah Kasut Emas EPL dan menjadi tonggak Liverpool dalam kejayaan kejuaraan musim 2019-2020 dan 2024-2025, selain menjulang trofi Liga Juara-Juara pada 2019.
Kejayaannya bersama Liverpool juga termasuk Piala Dunia Kelab, Piala Super UEFA, Piala FA dan dua Piala Liga.
Dalam satu video yang dimuat naik di media sosial, Salah memberitahu, masanya bersama Liverpool sudah hampir tamat namun dia tidak memberitahu destinasinya selepas ini.
“Helo semua. Malangnya, harinya telah tiba. Ini adalah bahagian pertama perpisahan saya. Saya akan meninggalkan Liverpool pada penghujung musim ini.
“Saya ingin mulakan dengan mengatakan bahawa saya tidak pernah membayangkan betapa mendalamnya kelab ini, bandar ini dan orang-orangnya menjadi sebahagian daripada hidup saya. Liverpool bukan sekadar kelab bola sepak.
“Ia adalah semangat, sejarah dan jiwa. Saya tidak dapat menjelaskannya dengan kata-kata kepada sesiapa yang bukan daripada kelab ini,” katanya.
Dalam pada itu, Liverpool berkata, kedua-dua pihak telah mencapai persetujuan mengenai perkara tersebut selepas tiada kontrak lanjutan diberikan kepada Salah. – AFP/UTUSAN






