LONDON: Pemain-pemain Manchester United berharap Michael Carrick terus diberi kepercayaan membimbing pasukan musim depan selepas berjaya mengubah prestasi The Red Devils sejak mengambil alih tugas awal tahun ini.
Carrick kembali ke Old Trafford sebagai pengurus sementara susulan pemecatan Ruben Amorim Januari lalu dan sejak itu United kembali menunjukkan kebangkitan sehingga berjaya mengesahkan tiket ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan.
Kejayaan menewaskan Liverpool 3-2 hujung minggu lalu turut mengukuhkan lagi keyakinan pemain terhadap Carrick, dengan tonggak muda Kobbie Mainoo sebelum ini mengakui skuad sanggup berjuang habis-habisan demi pengendali berusia 44 tahun itu.
Menurut Amad Diallo, semua pemain gembira berada di bawah bimbingan Carrick dan mereka berharap bekas pemain United itu terus kekal mengendali pasukan.
“Secara jujur, pemain bukan individu yang menentukan siapa akan kekal musim depan, tetapi apa yang saya boleh katakan semua gembira memiliki dia sebagai pengurus.
“Semua pemain menyokongnya. Dia mempunyai hubungan yang baik dengan semua pemain dan kami memang gembira jika dia terus menjadi pengurus musim depan,” kata Diallo.
Meskipun belum mencatat jaringan atau bantuan gol sejak Carrick mengambil alih pasukan, pemain sayap Ivory Coast itu tetap menjadi antara tonggak penting hasil komitmen tinggi dan kerja keras yang dipamerkannya di atas padang.
Menurut Diallo, Carrick juga memainkan peranan besar dalam menyatukan semula bilik persalinan United yang sebelum ini bergelut dengan tekanan dan ketidaktentuan prestasi.
“Walaupun ketika melalui detik sukar, dia sentiasa ada untuk bercakap dan membantu pemain.
“Saya rasa perubahan paling besar sekarang adalah kami lebih bersatu sebagai satu pasukan. Jika seseorang melakukan kesilapan, itu bukan masalah individu kerana kesilapan dia juga kesilapan kami bersama,” jelasnya.
United dijadual berkunjung menentang Sunderland Sabtu ini, perlawanan yang cukup bermakna buat Diallo selepas pernah dipinjamkan ke Stadium of Light pada musim 2022/23.
“Saya sangat menikmati tempoh bersama Sunderland. Saya tiada apa-apa perkara buruk untuk diperkatakan mengenai kelab itu.
“Sekarang saya antara penyokong mereka kerana saya masih mengikuti setiap perlawanan mereka musim ini,” katanya. – AFP/UTUSAN






