ANGKATAN Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) terus memainkan peranan penting sebagai badan induk gerakan koperasi negara dalam memperkukuh pembangunan sosioekonomi serta memacu masa hadapan koperasi sebagai antara penggerak utama ekonomi rakyat.
Perkara ini menjadi perhatian Presidennya, DATUK SERI DR. ABDUL FATTAH ABDULLAH, dalam usaha memperkasa ekosistem koperasi di seluruh negara.
Setelah menaungi lebih daripada 16,000 koperasi dengan keanggotaan mencecah 7.3 juta orang, Angkasa bukan sekadar menjadi suara rasmi gerakan koperasi, malah berfungsi sebagai rakan strategik kerajaan dalam merangka dasar, memperluas peluang perniagaan dan memperkasa kesejahteraan komuniti.
Dalam wawancara bersama wartawan Nexbyte, HANAFI ZULKEFLI dan dibantu jurufoto, SADDAM YUSOFF, beliau menjelaskan koperasi kini perlu dilihat sebagai sektor ekonomi yang mempunyai kekuatan tersendiri dan mampu menyumbang secara lebih signifikan kepada pembangunan negara.
Beliau juga menegaskan peranan Angkasa dalam memperkasa koperasi dan sektor perniagaan berimpak tinggi.
UTUSAN: Apakah peranan Angkasa sebagai badan apeks (induk) dalam memacu pembangunan gerakan koperasi negara?
ABDUL FATTAH: Angkasa bukan sekadar organisasi sokongan, sebaliknya badan apeks yang diiktiraf kerajaan untuk menyatukan, mewakili dan memperjuangkan kepentingan gerakan koperasi Malaysia di peringkat kebangsaan serta antarabangsa.
Pengiktirafan yang diberikan melalui warta kerajaan pada 23 Mei 1996 telah memperkukuh kedudukan Angkasa sebagai suara kolektif gerakan koperasi dan rakan strategik kerajaan dalam pembangunan sosioekonomi negara.
Hari ini, gerakan koperasi mempunyai asas yang kukuh dengan 16,468 koperasi, 7.3 juta anggota, aset bernilai RM186.75 bilion serta perolehan melebihi RM81 bilion.
Angka ini membuktikan koperasi bukan lagi sektor pelengkap, sebaliknya pemacu ekonomi rakyat yang mampu menjana kemakmuran secara inklusif.
Serta, apa yang membezakan koperasi daripada model perniagaan lain ialah keuntungan yang dijana akan kembali kepada anggota dan komuniti. Sebab itu, apabila koperasi diperkukuh, manfaatnya turut dirasai oleh masyarakat secara menyeluruh.
Bagaimana Angkasa memperkukuh aktiviti perniagaan koperasi?
Angkasa memberi tumpuan kepada pembangunan sektor perniagaan berimpak tinggi seperti keterjaminan makanan, peruncitan, logistik, teknologi digital, tenaga hijau, kesihatan dan pembangunan komuniti.
Dalam pada itu, pelbagai inisiatif dilaksanakan bagi memperkukuh rantaian nilai koperasi melalui kerjasama koperasi dengan koperasi (C2C), sekali gus membuka peluang pasaran yang lebih luas.
Selain itu, Program Pembekalan Barangan Asas 100 BA100, JiMAT Biz, JiMAT Shop dan AngkasaMart antara inisiatif yang berjaya meningkatkan keupayaan koperasi dalam sektor pemborongan dan peruncitan serta membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih kompetitif.
Selain memperkasakan aktiviti ekonomi koperasi, program-program tersebut turut menyokong agenda kerajaan dalam menangani isu kos sara hidup melalui pendekatan berasaskan komuniti.
Sejauh mana Angkasa terlibat dalam pembangunan dasar kerajaan?
Angkasa sentiasa memainkan peranan aktif dalam memastikan suara gerakan koperasi diberi perhatian dalam pelbagai dasar dan perancangan pembangunan negara.
Melalui platform seperti Kongres Koperasi Kebangsaan, Dialog Koperasi ASEAN serta Konvensyen Konsultasi Belanjawan Koperasi Malaysia 2027, pelbagai cadangan strategik dikemukakan berkaitan pembangunan ekonomi rakyat, keterjaminan makanan, kos sara hidup dan pemerkasaan komuniti.
Angkasa juga terlibat memberi input untuk semakan Akta Koperasi bagi menggantikan Akta Koperasi 1993 (Akta 502) yang diharap akan meliberalisasi perundangan koperasi yang masih rigid untuk menjalankan aktiviti perniagaan yang lebih berimpak tinggi.
Diharapkan, koperasi perlu diberikan peluang yang lebih setara sebagaimana dinikmati perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), memandangkan gerakan koperasi mempunyai kekuatan keanggotaan yang besar serta memberi manfaat terus kepada masyarakat.
Apakah harapan Angkasa menjelang Belanjawan 2027?
Angkasa berharap kerajaan dapat mempertimbangkan cadangan peruntukan khas sebanyak RM500 juta bagi memperkukuh pembangunan dan penskalaan perniagaan koperasi melalui pelbagai agensi berkaitan.
Cadangan tersebut dikemukakan menerusi lapan resolusi strategik yang dibentangkan dalam Konvensyen Konsultasi Belanjawan Koperasi Malaysia 2027 yang diadakan pada 11 Jun lalu.
Suntikan dana itu penting bagi mempercepatkan transformasi koperasi, meningkatkan penyertaan dalam sektor berimpak tinggi serta memperkukuh sumbangan gerakan koperasi kepada ekonomi negara.
Matlamatnya jelas, memastikan koperasi berkembang sebagai kuasa ekonomi rakyat progresif, berdaya tahan dan mampu mencipta kemakmuran yang dikongsi bersama.
Bagaimana Angkasa membawa koperasi Malaysia ke peringkat global?
Dalam aspek pengantarabangsaan, Angkasa memainkan peranan penting melalui penglibatan aktif dalam Pertubuhan Koperasi ASEAN (ACO), Perikatan Koperasi Antarabangsa Asia Pasifik (ICA-AP) dan Perikatan Koperasi Antarabangsa (ICA).
Kedudukan kepimpinan Angkasa dalam organisasi koperasi dunia membuktikan pengiktirafan antarabangsa terhadap kejayaan Malaysia membangunkan gerakan koperasi yang progresif dan berdaya saing.
Pengiktirafan ACO sebagai entiti bersekutu ASEAN turut menjadi satu pencapaian bersejarah yang memperkukuh kedudukan koperasi dalam ekosistem kerjasama serantau.
Status ini membuka ruang kepada koperasi Malaysia untuk terlibat secara lebih aktif dalam pelbagai platform ASEAN, memperluas jaringan perniagaan, menarik peluang pelaburan serta memperkukuh kerjasama rentas sempadan.
Pengiktirafan tersebut membuka lebih banyak peluang kerjasama strategik, penerokaan pasaran baharu dan pertukaran kepakaran yang mampu meningkatkan daya saing koperasi Malaysia di peringkat global.
Kita mahu koperasi Malaysia bukan sahaja menjadi pemain utama dalam negara tetapi turut dikenali serta dihormati di pentas antarabangsa.
Apakah signifikan Mesyuarat Agung Perwakilan Angkasa (MAPA) Ke-40 kepada gerakan koperasi?
MAPA Ke-40 yang berlangsung 27 Jun ini, menjadi platform penting untuk merealisasikan pelbagai agenda transformasi dan pembangunan yang dirancang.
MAPA bukan sekadar medan membuat keputusan organisasi tetapi platform menyatukan aspirasi seluruh gerakan koperasi bagi menentukan hala tuju masa hadapan sektor itu.
Signifikan MAPA tahun ini turut diperkukuh menerusi pembentangan Rancangan Perniagaan Angkasa bagi Tahun Kewangan 2027 melibatkan peruntukan hampir RM300 juta. Antaranya termasuk pemilikan ekuiti dalam ekosistem perbankan digital, pelaksanaan projek takaful digital Angkasa, penubuhan pusat dialisis, pembangunan projek CoopCity serta pengukuhan ekosistem pelancongan koperasi yang dijangka memberi impak langsung kepada pertumbuhan ekonomi anggota dan komuniti.
Saya yakin dengan sokongan kerajaan, komitmen anggota serta kerjasama semua pihak berkepentingan, koperasi akan terus muncul sebagai instrumen penting dalam memperkukuh sosioekonomi negara.
Semangat kebersamaan yang menjadi tunjang gerakan koperasi ini turut dizahirkan menerusi sambutan Bulan Koperasi Kebangsaan dan Hari Koperasi Negara pada Julai ini dengan tema ‘Koperasi Memperkasa Komuniti, Membina Negara Madani’, selaras dengan prinsip dan jati diri koperasi dalam bekerja bersama-sama demi manfaat bersama.
Matlamat kita adalah menjadikan koperasi sebagai kuasa ekonomi rakyat yang moden, mampan dan berdaya saing, selaras aspirasi kerajaan Malaysia untuk mewujudkan kemakmuran yang dinikmati bersama oleh seluruh rakyat.
Gerakan koperasi mempunyai 7.3 juta ahli di seluruh negara dan merupakan antara kelompok terbesar dalam ekonomi rakyat. Justeru, suara koperasi perlu diberikan ruang di peringkat pembuat dasar. –UTUSAN






