PENAMPILAN yang dikatakan ala-ala hipster sentiasa menjadi tumpuan ramai, malah tidak keterlaluan ada yang membandingkan populariti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu ini jauh mengatasi beberapa artis tempatan.
Semuanya gara-gara beberapa video yang tular melibatkan dirinya ketika turun padang untuk menyelesaikan masalah rakyat. Tambahan pula beliau dipertanggungjawabkan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri.
Dikenali sebagai seorang yang tegas dan bersuara lantang, wartawan Nexbyte, MUHAMAD AIMY AHMAD bersama jurugambar RASUL AZLI SAMAD berkesempatan menemu bual DATUK NORHIZAM HASSAN BAKTEE di Kompleks Seri Negeri, Melaka, baru-baru ini.
Norhizam yang masih bergelar ADUN Bebas turut berkongsi hala tujunya dalam politik. Ikuti temu bual tersebut:
UTUSAN: Datuk dikategorikan sebagai wakil rakyat bertaraf selebriti kerana apa sahaja yang berkaitan akan menjadi tumpuan. Komen Datuk?
Saya sebenarnya hanyalah seorang wakil rakyat tetapi mengambil pendekatan tegas dalam menyelesaikan masalah rakyat di Pengkalan Batu khususnya dalam isu penutupan jalan di Taman Akasia dahulu, isu baja di Sungai Rambai, masalah dihadapi pengayuh beca di Banda Hilir dan banyak lagi. Yang menjadi perhatian adalah ayat-ayat yang saya cakap seperti ‘awak yb ke, saya yb?’ dan ‘kau kenal siapa aku?’
Malah, banyak lagi video tular lain dan masa itu saya juga Timbalan Pengerusi DAP Melaka. Parti yang saya dukung dikatakan parti Cina tetapi di dalam itu ada orang Melayu dan saya pun perjuangkan semua kaum.
Mungkin sebab itu saya jadi popular, walhal saya bukan selebriti. Saya cuma Exco cangkul (pertanian) sahaja tetapi mungkin pakaian saya yang mereka kata hipster pada umur 54 tahun dan orang anggap saya jadi tumpuan. Tapi hakikatnya saya tetap buat kerja untuk rakyat.
Apabila menjadi tumpuan, sudah tentu ramai yang ingin bergambar. Ada pengalaman menarik?
Saya ada pergi ke Amsterdam selama 12 hari dan transit di Kuwait. Masa itu bagai nak gila orang nak bergambar dengan saya. Jadi bila dilabel taraf selebriti, kadang-kadang sampai bergaduh dengan orang rumah, biasalah sedangkan lidah lagi tergigit. Ada sampai letak kepala atas bahu masa bergambar, katanya selfie. Tapi bila tular, isteri kata ini bukan selfie bang, ini cium pipi. Jadi, saya kena terima seadanya.

Datuk sebelum ini sering dibayangi sebagai wakil rakyat gengster. Sebenarnya apa sisi lain karakter Datuk?
Saya seorang yang mudah disantuni dan didekati. Contohnya, ada kanak-kanak autisme berumur sembilan tahun datang seorang diri ke pejabat nak jumpa saya. Dia beritahu nak minta tolong kerana rumah neneknya dah nak runtuh. Saya beri dia minum, makan dan bertenang sekejap, baru saya tanya dia duduk mana.
Apabila semua dah selesai, saya bawa dia naik kereta rasmi kerajaan negeri untuk melihat keadaan sebenar dan memang agak teruk rumahnya. Saya keluarkan peruntukan segera sebanyak RM20,000 untuk baiki dan kini siap sepenuhnya.
Kalau budak sekecil itu saya boleh santuni, orang nilailah sendiri bagaimana diri saya? Saya jenis tak boleh duduk diam, setiap hari ada sahaja kerja nak buat terutama selesaikan masalah rakyat.
Bagaimana Datuk melihat sesuatu isu yang viral dapat menyelesaikan masalah dibangkitkan?
Saya boleh kata, seluruh rakyat Melaka dapat lihat sesuatu perkara yang viral. Jadi, orang tengok, oh YB ni boleh buat kerja walaupun orang kata saya gengster, kurang ajar tapi akhirnya mereka yang ada masalah cari saya. Memang saya Exco dan mereka ada wakil rakyat kawasan tetapi tetap selesa datang jumpa saya untuk selesai masalah.
Walaupun ada kalanya saya selesaikan secara tegas sehingga ada pihak tidak selesa, tetapi saya tetap utamakan rakyat. Namun, saya tidak akan viralkan sesuatu isu, tapi netizen yang buat begitu.
Kami cuma rakam apa yang disampaikan (kejadian), baru kami siarkan di Facebook untuk bantu selesai masalah terutamanya yang kurang berkaitan di bawah portfolio saya.
Bagi saya, itu cara terbaik. Apabila sudah tular, rakyat akan nilai sendiri dan bila isu sudah jadi panas, menteri yang berkaitan pun tak senang duduk maka perlu selesaikan secepat mungkin.

Di sebalik viral video-video pertengkaran misalnya, terdapat juga video menarik Datuk menaiki motosikal roda tiga menghantar bantuan. Apakah itu antara gerak kerja Datuk?
Saya antara wakil rakyat yang tiada protokol. Saya boleh jalan kaki, naik motosikal, kena hujan kerana saya tahu asal-usul. Saya pun rakyat biasa, orang susah yang bukan lahir atas duit.
Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dahulu, pergerakan jadi terhad. Jadi, saya naik motosikal untuk beri bantuan sehingga dikerumuni penduduk. Saya hampir didakwa kerana dianggap mencetuskan aktiviti berkumpul padahal saya hantar beras.
Saya kena tahu masalah rakyat. Ketika Covid-19, saya belanja lebih RM100,000 duit Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) kerana saya tahu masa itu tak boleh nak buat program kebajikan, program khidmat sosial. Maka saya gunakan untuk membeli makanan, apatah lagi masa itu orang tak boleh bekerja. Saya naik motosikal roda tiga semasa hujan sampai demam tetapi saya puas hati apabila rakyat dapat dibantu.
Selama 28 bulan menjadi ADUN dan diberi tanggungjawab sebagai Exco, apa perubahan dilakukan Datuk?
Apabila dapat tanggungjawab dan kepercayaan menjadi Exco, saya terima seadanya kerana pada saya yang penting dapat santuni seluruh rakyat Melaka, apatah lagi portfolio pertanian kerana kita tahu ramai orang bercucuk tanam, menternak. Jadi, mudah saya dekati mereka untuk beri bantuan.
Tetapi terdapat kekurangan dari segi tanah pertanian. Walaupun berkeluasan 70 ekar tetapi ia hanya dalam plot-plot kecil, hanya luas satu ke dua ekar. Jadi nak bertani dalam jumlah yang besar agak sukar untuk cantum tanah tersebut.
Maka, saya lakukan pembaharuan dalam pertanian dengan memperkasa penggunaan teknologi Internet of Things (IoT), iaitu kaedah pertanian moden yang tidak memerlukan petani turun bercangkul atau berpanas kerana ia diprogramkan menerusi telefon pintar sebagai alternatif kepada kekurangan tanah untuk pertanian di negeri ini.
Isu babi hutan yang dibangkitkan antara mendapat perhatian. Bagaimana keadaan semasa itu?
Pada zaman saya, masalah babi jadi isu hangat. Di dalam Dewan, saya dikatakan juara penembak tepat dan orang merujuk saya dengan perkataan ‘beliau’. Tetapi mereka perlu faham masalah ini amat kritikal apabila babi hutan memasuki perkampungan orang Melayu, menceroboh kawasan sekolah dan masjid yang sudah tentu menyentuh sensitiviti.
Saya popular pun kerana isu babi juga tetapi hari ini saya disanjung oleh orang ramai yang minta saya tembak habis-habisan. Keadaan sekarang terkawal, saya arahkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) tembak tiap-tiap malam ketika kita sedang nyenyak tidur.
Tak mungkin saya dapat selesaikan sekali gus dalam tempoh 28 bulan ini tapi mengurangkan ancamannya mungkin boleh. Sebab itu kalau orang adukan masalah berkenaan pada waktu siang, saya minta Perhilitan turun terus pada malam itu juga.
Datuk masih bergelar ADUN Bebas. Apa perancangan untuk memastikan kesinambungan politik?
Selama berkhidmat selama 28 bulan kepada rakyat, saya sudah tempuh pelbagai cabaran, jumpa pelbagai ragam, pelbagai kerja saya buat.
Parti mana saya mahu sertai akan saya umum bulan 10. Kenapa Oktober? Kerana kita melihat keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah sebagai kayu pengukur tetapi dalam bayangan saya, sudah ada parti mana hendak pergi.
Saya masih wakil rakyat Bebas. Nak kata saya masuk UMNO, bukan. Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), bukan. Pas pun tidak walaupun Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Presiden) sendiri ajak saya masuk Pas. Saya rasa kalau saya masuk Pas, ingat Malaysia ini ‘ribut’, YB viral pakai lebai masuk Pas.
Ramai cuba intai saya. Saya ada jumpa (Datuk Seri Ahmad) Zahid Hamidi, Zuraida (Kamaruddin), Tun Dr. Mahathir (Mohamad) dan (Tan Sri) Muhyiddin Yassin, mereka memang nak intai saya tetapi prinsip saya mudah sahaja, siapa yang jaga saya, situlah saya pergi. Jaga dalam erti kata, mereka beri saya ruang dan peluang untuk bertanding pada masa akan datang. Parti itulah saya akan masuk, jaminan itu kena ada.
Adakah Datuk mengintai untuk bertanding di peringkat Parlimen atau masih selesa berkhidmat sebagai wakil rakyat di DUN Pengkalan Batu?
Saya akan buat bancian dalam masa terdekat di Facebook. Saya akan minta penduduk dan pengundi di Pengkalan Batu beri jawapan itu dengan menyertai tinjauan pendapat, ke mana arah tuju saya dan mungkin juga parti mana patut saya sertai selepas ini.
Dahulu Datuk merupakan ADUN di bawah Pakatan Harapan dan kini berada bersama Perikatan Nasional. Apa perbezaan dirasai?
Pada saya tetap sama. Saya tidak mahu bermain politik sebelum waktunya tetapi untuk membantu rakyat, saya teruskan macam biasa. Malah saya lipat gandakan kerana hari ini rakyat sudah cerdik dan mereka peka terhadap sesuatu perkara serta mahu wakil rakyat yang berkhidmat untuk turun padang dan buat kerja tak kira hujan panas.
Bagaimana hubungan dengan rakan-rakan lama terutama dari DAP?
Mereka masih baik. Ada sebahagian memahami pilihan yang saya buat. Ke mana kita nak pergi, itu hak seseorang. Jadi, mereka menghormati hak saya tetapi tetap ada juga seorang dua yang nakal dalam Dewan, tetapi itu tidak menjadi masalah kerana ia lumrah dalam dunia politik.
Pada hari terakhir sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini, Datuk tidak mengambil bahagian untuk berhujah kerana tidak mahu keadaan jadi ‘panas’, mengapa?
Kita tahu apabila kerajaan bertukar, ia akan ubah segala-galanya. Kedudukan saya dalam Dewan juga disusun semula kerana mereka tak mahu pembangkang provoke saya. Dalam Dewan, saya mudah sahaja, jangan cuba bermain api dengan saya tetapi kalau awak mula cakap dulu maka bersedialah.
Contohnya, saya ‘dibabikan’ oleh ADUN pembangkang. Adakah kita mampu bertahan dan melihat sahaja? Kalau kita kena cucuk pinggang, melatah tak? Kena geletek tapak kaki, geli tak? Jadi, apabila dia cakap benda yang tak sedap didengar, kita lawan semula. Maka jangan jolok sarang tebuan.






