RAKYAT di luar bandar sudah lama menjerit mahukan liputan internet yang seimbang sama seperti yang dinikmati oleh masyarakat bandar. Ketika para perancang sembang kencang tentang revolusi industri 4.0, teknologi 5G dan mendigitalkan Malaysia, capaian internet di luar bandar masih jauh ketinggalan.
Ada sesetengah tempat itu kalau dapat liputan 3G pun sudah kira sangat baik, kerana biasanya mereka terpaksa merantau jauh untuk mendapatkan liputan.
Di kampung-kampung seperti di daerah Padang Terap, Kedah, tidak ada khidmat jalur lebar berteknologi tinggi seperti Unifi dan sebagainya. Untuk dapatkan internet yang lebih stabil ada yang melanggan perkhidmatan Streamyx yang disediakan syarikat telekomunikasi nasional.
Bil tinggi
Tetapi ia tidak sepantas seperti yang dijanjikan. Ada ketikanya khidmat terputus berhari-hari lamanya. Buat aduan kepada syarikat terbabit, berminggu-minggu baru diselesaikan. Sedangkan bilnya yang bernilai ratusan ringgit setiap bulan dijelaskan.
Situasi ini menyebabkan ada pelajar yang tidak dapat menduduki ujian secara dalam talian kerana khidmat steamyx terputus pada hari dia sepatutnya menduduki ujian.
Itu cerita yang menggunakan khidmat streamyx. Bagi pengguna telekomunikasi mudah alih pula lagi banyak cerita yang kita dengar.
Di Kedah lebih 30 peratus pelajar sekolah dilaporkan tidak dapat mengikuti sesi pengajian di rumah menggunakan kaedah home based kerana tidak mendapat capaian internet yang memuaskan sepanjang tempoh penutupan sekolah bermula 9 November lalu.
Masalah ini bukan berpunca daripada mereka. Tetapi daripada pembekal sistem telekomunikasi yang bersikap lebih mementingkan keuntungan daripada memberikan liputan yang seimbang antara bandar dan luar bandar. Kebanyakan pelajar terlibat tinggal di kawasan pedalaman yang tidak mempunyai liputan internet menyebabkan mereka tercicir mengikuti pengajian secara dalam talian.
Jumlah pelajar di sekolah rendah dan menengah di Kedah dianggarkan kira-kira 195,000 orang. Lebih mengecewakan, sebahagian pelajar terbabit bakal menduduki peperiksaan penting selain ada juga pelajar-pelajar IPT yang perlu menduduki ujian bulanan.
Kes klasik
Ketika teknologi 5G, Revolusi Industri 4.0 dan Digital Malaysia dicanangkan oleh pihak berkuasa telekomunikasi negara ini, pelajar seperti Veveonah Mosibun dari Kampung Sapatalang, Pitas, Sabah perlu memanjat pokok untuk menjawat peperiksaan,
Ini merupakan kes klasik membabitkan liputan telekomunikasi selepas 63 tahun Malaysia merdeka hingga mendapat liputan meluas di seluruh dunia termasuk dipetik rangkaian berita antarabangsa seperti BBC.
Masalah liputan internet yang lemah ini bukan membabitkan Veveonah sahaja. Ia juga bukan hanya melibatkan kawasan pedalaman Sabah. Negeri-negeri lain di seluruh Malaysia termasuk di Semenanjung juga banyak mengalami nasib yang sama.
Sebab itu, bukan sesuatu yang mengejutkan apabila penduduk di Ladang UP Bahagian Bukit Selambau di Kedah terpaksa mencipta ‘menara’ telekomunikasi mereka sendiri daripada buluh untuk mendapatkan capaian internet.
Capaian internet yang mereka cari itu pula bukannya untuk suka-suka bertujuan mencari hiburan tetapi bagi mengikuti kelas online sama ada untuk sekolah atau institusi pengajian tinggi.
Kes mencari liputan internet ini juga nyaris menyebabkan lapan pelajar dari Kampung Gusi, Ranau Sabah, terbunuh apabila jambatan gantung yang mereka gunakan untuk mencari liputan internet terputus. Seorang daripada mereka cedera serius dan masih dirawat di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.
Inilah harga yang perlu dibayar oleh penduduk di luar bandar bagi mendapatkan liputan internet. Ini jelas menunjukkan di Malaysia diskriminasi digital sangat ketara. Jurang perbezaan liputan internet antara bandar dan luar bandar sangat besar.
Mereka yang tinggal di bandar juga tidak semua menikmati kemudahan internet yang sama. Yang berada di kawasan elit mungkin boleh berbangga bahawa mereka kini menikmati khidmat 5G serba pantas, tetapi ada juga kawasan di bandar yang capaian internetnya seperti kura-kura.
Sebahagian penduduk satu kawasan perumahan di Rawang misalnya, apabila pulang ke rumah langsung tidak ada liputan.
Sebab itu ada yang berkata, pandemik Covid-19 ini ada hikmahnya. Apabila pelajar perlu belajar secara dalam talian di rumah maka terdedahlah rupa-rupanya sebahagian besar bumi Malaysia ini hanya bertaraf negara dunia ketiga tanpa liputan internet.
Sebab itu timbul cerita pelajar Universiti Malaya (UM), Nurlieda Khaleeda Mohd. Azmi di Kampung Bukit Petai, Tanah Merah, Kelantan terpaksa berkhemah atas bukit di belakang rumahnya setiap hari semata-mata mahu mendapatkan capaian internet bagi membolehkan dia menduduki peperiksaan dalam talian.
Panjat pokok
Di Baling, Kedah, pelajar sekolah dan universiti yang tinggal di Kampung Tembak B, Kuala Ketil terpaksa memanjat pokok rambutan setinggi kira-kira lapan meter bagi mendapatkan capaian internet untuk menyertai kelas dalam talian.
Begitu juga dengan penduduk di Kampung Bukit Teriak, Pokok Sena juga di Kedah yang sudah habis berteriak apabila anak-anak tidak dapat menduduki ujian dalam talian ekoran isu liputan internet. Pada hal daerah Pokok Sena ini bukannya terlalu pedalaman. Hanya sekitar 20 kilometer sahaja dari Alor Setar.
Diskriminasi digital bukan perkara baharu. Cuma sekarang ia menonjol kerana wujud keperluan bagi pelajar-pelajar di luar bandar belajar secara dalam talian.
Apa yang berlaku ini memerlukan penyelesaian secara menyeluruh bukan penyelesaian kes demi kes seperti yang dilakukan sekarang.
Agensi yang terlibat perlu merangka pelan komprehensif untuk memastikan slogan Digital Malaysia bukan sekadar omong kosong atau hanya untuk kelompok elit sahaja.
Memang sekarang kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang melaksanakan inisiatif Jalinan Digital Negara (Jendela) bagi penyediaan 4G kepada 96.9 peratus kawasan berpenduduk menjelang 2022.
Tetapi persoalannya, bukankah tahun 2022 itu sepatutnya teknologi yang digunakan sudah 5G seperti mana yang diuar-uarkan sebelum ini? Kalau sekadar teknologi 4G? Mengapa perlu mengambil masa sampai dua tahun untuk disediakan?
Berdasarkan kepada perkembangan semasa liputan internet di negara ini, eloklah dihentikan buat seketika retorik revolusi 4.0, 5G, internet of thing (IOT) dan sebagainya.
Berikan keutamaan untuk menghentikan diskriminasi digital ini terlebih dahulu supaya apa sahaja perancangan berkaitan teknologi selepas ini dapat dinikmati secara sama rata dalam kalangan rakyat Malaysia.
Jika tidak, ia hanya akan memalukan negara seperti mana cerita internet atas pokok yang tular ke seluruh dunia. – Mingguan Malaysia






