DARI esok 8 November, ada cuma 12 hari sebelum mandat memerintah kerajaan negeri Melaka dikembalikan rakyat pada 20 November.
Yang berlegar-legar dalam fikiran pengundi tentunya aspek psikologi menang di pihak yang mana – kerajaan atau pembangkang. Adakah Barisan Nasional (BN) berada di trek yang betul dan tepat dalam menarik denyut hati rakyat?
Di pihak pembangkang pula, apakah taktik yang digunakan gabungan DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah) mampu menarik pengundi. Perikatan Nasional (PN) pula bagaimana? Mampukah PN mencelah?
Kita boleh nilai dan pertimbangkan perkara-perkara berikut:
1. Ke mana hala tuju sokongan kaum?
i) Orang Melayu – Kebelakangan ini orang Melayu dilihat lebih prihatin terhadap isu-isu agama, isu-isu nasib kaum mereka sendiri dan juga soal keperluan asas yang mereka perlukan. Jadi, orang Melayu ‘agak semacam’ apabila timbulnya isu-isu seperti hak mereka nak diketepikan dan dipinggirkan serta isu-isu yang dapat dilihat bahawa seolah-olah macam dasar-dasar penting ataupun dasar-dasar yang telah diinstitusikan serta telah dipersetujui hendak ‘dipunggah’. Namun sokongan Melayu berbeza mengikut perbezaan umur, pekerjaan dan pendidikan.
ii) Orang India – pun begitu juga. Soal keperluan asas sering merupakan perkara penting. Mereka hendakkan survival kehidupan. Isu-isu agama dan pendidikan merupakan perkara keutamaan dan cukup sensitif. Walaupun pengundi India tidak mempunyai kawasan majoriti mutlak, namun mereka boleh jadi penentu bagi kawasan-kawasan strategik.
iii) Kaum Cina – Masyarakat Cina berhati-hati dalam membuat keputusan politik (calculated political moves) yang bersifat strategik dalam kerangka memastikan kesinambungan politiknya (the politik of survival). Pendekatan yg penuh cermat ala feng shui. Mereka di uar-uarkan oleh kepala pemimpin Cina bahawa langkah MCA dan Gerakan melalui ‘pendekatan dari dalam’ bagi mewakili kepentingan Cina tidak berkesan. UMNO dikatakan terlalu dominan. Persepsi ini perlu ditangkis oleh pihak yang berkenaan. Bukankah DAP juga merupakan parti yang terlalu dominan di Pulau Pinang dan Perak?
Namun demikian dalam tempoh satu setengah tahun selepas pandemik Covid-19 ini, ada tanda-tanda orang Cina lebih melihat kepada politik kestabilan. Ini apabila melihat kepada sama ada mereka boleh berniaga atau tidak berbanding dengan janji-janji yang diberikan kepada mereka – yang seolah-olah mahu mereka hidup lebih bahagia.
Dan seolah-olah mereka akan mendapat hak yang lebih sekiranya mereka menyokong pakatan pembangkang.
Barangkali kaum Cina mula dapat menghidu bahawa ada banyak janji semasa Pakatan Harapan memerintah (22 bulan) sebelum ini yang tidak dipenuhi. Jadi, ini menyebabkan kegoncangan kepercayaan mereka kepada pembangkang.
2. Sentimen ‘hit the leader’?
Siapa ‘anchor’ kepada kekuatan UMNO dan BN? Di saat ini UMNO seakan-akan berada pada tahap kepercayaan yang baik dalam kalangan sebahagian pengundi Melaka.
UMNO merupakan parti yang kaya pengalaman, sudah stabil lama walaupun pembangkang ‘memusnahkan’ pemimpin nombor satu pada PRU14, bahteranya masih ada. Dan tidak mustahil UMNO akan kembali menjadi seperti parti LDP di Jepun.
Ini apabila rakyat sudah melihat apa yang dijanjikan daripada pihak pembangkang tidak berlaku,
Negara pun sudah bertukar dua Perdana Menteri dan masuk Perdana Menteri ketiga. PH dan PN sudah diberi peluang untuk memerintah (22 bulan dan 17 bulan), tetapi rakyat masih lagi berasa tiada perubahan yang berlaku.
Maka, tidak mustahil rakyat kembali menyokong parti yang lama seperti yang berlaku kepada LDP di Jepun. Dalam aspek ini, faktor kepimpinan sangat penting.
3. Faktor calon penentu
Hasil pemantauan akhbar ini dalam tempoh pandemik sejak April tahun lepas, ramai tidak mengenali siapa wakil rakyat mereka. Kesukaran untuk membuat temu janji dan ramai wakil wakil rakyat gagal memberikan perkhidmatan yang diharapkan.
Rakyat di Melaka akan memilih calon yang sering mendampingi atau dapat menyelesaikan masalah mereka.
Rakyat akan memilih bukan sahaja berdasarkan persepsi melalui isu-isu nasional atau lambang pemimpin utama, tetapi berdasarkan siapa pemimpin kawasan yang berjaya menawan hati dan minda mereka melalui kerajinan dan keikhlasan pemimpin.
Rating perkhidmatan, akhlak pemimpin, kreativiti pemimpin dan rekod kesihatan masih relevan. Yang menepati kriteria ini akan dipilih rakyat.
Penyakit-penyakit orang yang sudah terlalu lama memerintah dalam kalangan pemimpin parti yang terlampau selesa, ego dan terlampau menunjuk-nunjuk cara hidup dan budaya yang tidak sihat harus dibuang.
4. Pas dan orang Melayu
Kalau orang UMNO tidak menunjukkan sedikit tawaduk kepada rakyat, tidak mahu berubah serta tidak turun ke bawah berjumpa rakyat dan menjadi hamba rakyat, tidak mustahil orang Melayu akan cari alternatif lain.
Bagaimanapun buat sementara ini agak sukar bagi Pas menjadi alternatif UMNO kerana orang Melayu tidak gemar dengan sikap ‘flip flop’ Pas dalam isu-isu penting orang Melayu dan Islam seperti isu Raja dan hak-hak perlembagaan. Dalam 22 bulan PH memerintah, Pas lantang tetapi semasa pentadbiran PN, tampak Pas yang masuk dalam kerajaan, begitu banyak beralah dalam isu-isu Islam.
Isunya ketika ini bukan pada Pas boleh atau tak boleh menang di Melaka, tetapi isunya ialah UMNO sudah berubah atau tidak berubah. UMNO kena berpegang teguh dengan tujuan asal ia ditubuhkan, jentera parti dan ahli-ahli perlu lakukan perubahan-perubahan.
Parti mana yang akan menang di Melaka kelak bergantung bagaimana ia menangani isu anak-anak muda. Ia perlu melakukan kreativiti dan pendekatan baharu.
5. Majoriti dua pertiga
BN ada peluang meraih kembali majoriti dua pertiga di Melaka. Ia memerlukan usaha agresif dalam 12 hari ini. Semua tahu hendak kembali mendapatkan dua pertiga, setiap parti perlu bijak dalam mengurus sokongan angka, bijak dalam mengurus dan menangkis persepsi serta mempunyai kemahiran gerak saraf yang tinggi. Pihak yang ingin menang perlu mendapatkan sokongan kaum Cina tidak kurang 30 peratus serta sokongan Melayu, bumiputera dan India melebihi 60 peratus.
Oleh kerana kaum Melayu berpecah kepada tiga sokongan menerusi BN, PH dan PN di Melaka, maka sudah tentulah kaum Cina menjadi rebutan semua pihak. Mereka boleh menjadi ‘king maker’ dalam perpecahan kaum Melayu.
Bagaimanapun ini akan menimbulkan ketidakstabilan politik yang akhirnya merugikan kaum Cina itu sendiri. Jadi, kaum Cina perlu rasional dan meminta sesuatu yang munasabah dalam lingkungan yang mampu dilaksanakan oleh kerajaan. Jika politik negara tidak stabil, kesannya kepada keadaan ekonomi negara yang umumnya dikuasai oleh kaum Cina juga. Mereka akan terjejas teruk akibat menjadi mangsa politik persepsi dan pertarungan fitnah yang melampau. – Mingguan Malaysia






