DENGAN keputusan Pilihan Raya Negeri Melaka yang diumumkan malam tadi, orang Melayu waima apa sekalipun rintangan di depan, mesti perlu bertaut kembali.
Biarpun sukar, laluannya berliku dengan dendam dan prasangka menebal, tanggungjawab para pemimpin Melayu terhadap bangsa, agama dan negara jauh lebih besar daripada pihak lain. Melayu adalah tunjangnya, di sebalik peranan pemimpin kaum-kaum lain tidak diperkecilkan.
Melayu teras bagi Malaysia. Lemah orang Melayu, lemahlah Malaysia, tidak stabil lah.
Ingat! puncak biasanya tidak luas. Tidak ramai yang boleh berada di puncak seperti mana ramai yang terdapat di bahagian bawah puncak dan di dataran. Jika ada pergelutan di puncak, tentu akan ada yang jatuh ke bawah. Tetapi mungkin juga semua akan terjatuh kerana pergelutan di puncak.
Dalam perjuangan manusia, puncak tidak ditetapkan. Ia boleh ditentukan oleh pejuang sendiri. Dengan itu ada bangsa yang naik tidak begitu tinggi dan sampailah mereka ke puncak gunung perjuangan mereka. Kemudian mereka tidak boleh naik lagi.
Ada bangsa lain yang tidak mampu mendaki gunung perjuangan sama sekali, bahkan tidak mempunyai niat atau cita-cita untuk mendaki ke mana-mana dan oleh itu terus tinggal di bawah, di dalam lembah.
Tetapi ada bangsa yang bergerak sebagai satu pasukan, menyusun langkah secara teratur dan tertib, mempunyai ketua yang mendahului pasukan yang merintis, menebas dan menebang jalan yang selamat untuk dijejak oleh ahli-ahli pasukannya, tidak lupa akan mereka yang di belakang dan di bawah serta bergerak berhati-hati secara terancang. Bangsa yang berpasukan yang tertib ini pasti akan dapat sampai ke puncak perjuangan yang lebih tinggi.
Bangsa yang tertib dan berpasukan kukuh ini, bangsa yang tidak berebut-rebut ketika mendaki dan semasa berada di puncak, bangsa yang mulia budayanya, akan menjadi bangsa yang agung, bertamadun tinggi, dihormati dan disegani.
Lompat parti
Demikian konflik politik Melayu yang terjadi disebabkan soal kuasa. Ia banyak berkisar senarionya di Malaysia yang lebih bersifat menyerang dan menjatuhkan seseorang untuk memastikan kedudukan terpelihara.
Pilihan Raya Negeri Melaka yang ketaranya perebutan kuasa. Melaka Bandaraya Bersejarah ini menjadi gelanggang eksperimen parti-parti Melayu berlaga untuk membuktikan siapa kuat, siapa lemah di Pusat.
Begitupun sehingga kini politik Melayu masih menjadi sendi dan tiang seri kepada politik negara. Cuma nak pegang ketat-ketat ‘terapung sama hanyut, terendam sama basah’ kepada parti yang pernah meletakkan seseorang ke puncak kuasa bukannya semudah kata-kata.
Di sini prinsipnya jangan dibuat main. Lompat parti merosakkan demokrasi. Suatu pengkhianatan terhadap rakyat. Walaupun ada dorongan mahu memperjuangkan penggubalan undang-undang antilompat parti atau kod etika untuk ahli politik, hakikatnya cukup sukar menendang keluar wakil rakyat keluar parti mengosongkan kerusi dimenangi.
Keputusan Mahkamah Agung kira-kira tiga dekad lalu merencatkan parti-parti politik hingga sekarang pun sukar memaksa wakil rakyat mereka mengosongkan kerusi jika memilih meninggalkan parti. Kes pada 1992 itu menyaksikan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan lawan bekas wakil rakyat Pas, Nordin Salleh. Keputusannya, Mahkamah Agung membatalkan peruntukan Perlembagaan Kelantan yang mewajibkan pilihan raya kecil sekiranya ADUN meninggalkan parti.
Dan sehingga hari ini, politik Melayu masih dipalit dengan `abu jahalnya’. Faktor kesetiaan masih menjadi cabaran dalam politik Malaysia.
Kita terpaksa akur, amalan dan praktis parti-parti politik tidak sama. Pernah ada parti sanggup mensyaratkan baiah atau sumpah taat setia `cerai talak tiga’ ke atas wakil rakyatnya yang keluar parti. Tak jalan juga.
Merana
Melayu perlu bertaut kembali bukan untuk sesiapa. Tetapi demi tanah air ini, anak cucu. Politik Melayu sudah lama merana. Apa yang berlaku di Melaka, jadikan orkestra akhir. Lintang pukang politik di beberapa negeri pun sudah jadi rahsia umum. Tinggal lagi retak membawa belah. Yang Melayunya tak untung.
Apa orang Melayu dapat? Perkembangan politik hari ini tidak menampakkan kekuasaan Melayu untuk kebaikan bangsanya. Tapi untuk kuasa peribadi memang banyak. Parti-parti Melayu akan `mati’ selepas ini jika mereka tidak ambil pendirian ke arah perpaduan.
Kalau jawatan Perdana Menteri yang direbutkan, posisi itu sebenarnya lebih merupakan satu tradisi politik. Jawatan nombor satu ini bukanlah ketetapan peruntukan undang-undang. Artikel 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan tidak pernah menyatakan bangsa, agama atau keturunan sebagai suatu ketetapan kepada pemimpin politik untuk dilantik sebagai Perdana Menteri. Bahkan, jawatan Timbalan Perdana Menteri tidak dinyatakan dalam Perlembagaan.
Jangan ambil mudah anggap jawatan nombor satu ini hak mutlak orang Melayu selamanya. Jawapan yang tepat mengapa jawatan ini masih disandang oleh orang Melayu kerana ada parti Melayu yang sentiasa mendapat majoriti setiap kali dalam 13 pilihan raya umum lalu. Walaupun tumbang pada 2018, kini kembali memegang talinya
Politik Melayu mesti disegarkan dengan piawaian tinggi, barulah dihormati orang lain dan negara luar.
Jangan dibiarkan datang bahananya bila mana ‘nilai-nilai hak asasi’ dijadikan gong politik pihak yang mahu meragut kesatuan orang Melayu. Maka kita orang Melayu pun khuatir dan takut. Kita segan dan mula tunduk.
Jangan lupa, bila pokok sudah condong, kura-kura pun naik – ular apatah lagi, biawak pun ikut.






