DARI segi daya saing ekonomi, tidak ketahuan hujung tahun ini atau tahun depan, akan ada banyak perbezaan berbanding hari ini.
Siapa pun Perdana Menteri, kita tidak menidakkan peranan beliau dan menteri kewangan. Tetapi keadaan semasa memang rumit. Endemik Covid-19 satu hal, dengan isu nasional, Perang Rusia-Ukraine, masalah kos inflasi serta pelaburan berkurangan, menjadikan serba serbi ketidakpastian sehingga hujung tahun ini.
Impak dan tempiasnya bukan terkena kepada Malaysia sahaja, negara-negara lain pun sama kesannya. Masalah ekonomi dijangka meningkat, tidak kira siapa pun PM.
Demi kestabilan, yang dikusutkan lagi dengan ‘tarik tali’ pembangkang terhadap kerajaan bersabit ‘MoU’, banyak pihak beranggapan elok sahaja disegerakan pilihan raya umum ke-15 (PRU15). Tunggu setahun lagi, keadaan lagi parah.
Sekurang-kurangnya dua, tiga bulan mendatang ini ada tarikh PRU nya. Kalau diikutkan tarikh akhir MoU, Julai lah jawapannya. Lewat sangat?
Bak orang cakap, strike while the iron is hot. Penentuan masa yang tepat penting dalam merencanakan tarikh PRU. Barisan Nasional (BN) pasti sudah belajar dari kegagalan membaca situasi, lantas melewatkan PRU14.
Sepatutnya dilangsungkan awal lagi, 2017. Semasa itu aura Malaysia memuncak. Lawatan pemerintah Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud ke Malaysia dari 26 Februari hingga 1 Mac berserta suntikan pelaburannya, sekali gus menjadi tempias kepada perkembangan syiar Islam Kuala Lumpur diiktiraf masyarakat dunia Islam.
Imej Malaysia yang digeruni dalam sukan apabila dimahkotakan sebagai juara keseluruhan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 setelah mengumpul 144 pingat emas keseluruhan, menandakan sewajarnya disegerakan PRU14. Tetapi difahamkan, kata punahsihat, “tunggu, tunggu, kita mahu majoriti dua pertiga. Lewat hampir setahun dari temasya sukan itu (19-30 Ogos 2017) ke 9 Mei 2018, dikusutkan lagi dengan isu 1MDB, menumbangkan BN yang berkuasa lebih enam dekad.
Kata pemerhati kepada akhbar ini semalam:
“Andai 2017 berlangsung PRU14 selepas Malaysia menang Sukan SEA dengan cemerlang, mungkin BN masih kekal.
“Tidaklah menang besar, tapi kekallah. Aura itu ada. Masa itu, Tun Mahathir belum lagi berpakat dengan Anwar Ibrahim. Nurul Izzah pergi London, masa itu ada macam merajuk…,” katanya tidak menyudahkan ayatnya, seraya menyebut barang lepas usah dikenang.
SEBELUM SUBUH
Hakikat dalam politik, bila ada momentum, di situ perlu gerakan ‘sebelum subuh’. Dalam apapun persaingan, bila lawan lemah, ketika itulah serangan dilakukan.
Jika diperkatakan dari segi persediaan – alasan dikatakan belum bersedia kerana PRN bukan semacam PRU – tetapi dahulupun sebelum 9 Mei 2018, lagi cermat dan rapi persediaan dilakukan. Macam-macam kerajaan waktu itu buat untuk rakyat. Dry run dan retreat berulang kali.
Puluhan program 1Malaysia diperkenalkan, dengan antaranya Teksi1Malaysia, Klinik 1Malaysia dan Prima nya lah. Padahal pemandu teksi misalnya suatu agenda penggerak kempen pilihan raya. Malangnya momentum itu tidak ada. Isu tertentu jadi isu utama. Bila nak kalah, kalah juga.
Naratif politik baharu perlu ada hari ini. Mana-mana parti jika mahu menjadi parti teras, waima BN sekali pun mesti diwakili oleh segenap masyarakat. Ini supaya mencerminkan komposisi masyarakat sedia ada. Bila bercakap dengan golongan bijak pandai, dia ada semua itu.
Dengan golongan menengah dan marhaen dalam parti teras, ada juga kelibatnya. Tiada kumpulan atau lapisan masyarakat yang berasa janggal dengan parti teras.
Untuk membentuk ‘kerajaan 100 peratus Melayu’, ia tidak akan memberikan hasil yang bijak. Akan bergaduh akhirnya. UMNO berseteru dengan Parti Prbumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Akan datang pula, jika Muafakat Nasional mampu datang balik menerusi kesepakatan UMNO-Pas-Bersatu, selepas itu mungkin bergaduh semula. Pokok pangkalnya mana parti yang memiliki kelebihan? Yakni, yang parti-parti komponennya boleh menerima parti teras itu sebagai ketua?
Itu sebabnya ada ketika selaku penentu atau pemain utama politik, tidak boleh diikutkan sangat ‘rentak kawan-kawan’. Ada orang tertentu, ramai nampak ‘tak boleh pergi’. Namun disebabkan rapat dengan orang atas, dia pandai mengipas. Bila ‘kipas’, dapat macam-macam.
DILEMA PENJAWAT AWAM?
Suatu ketika sebelum Mei 2018, kerajaan dan penjawat awam bertaut rapat. Walaupun banyak dasar, pelaksanaannya ada dan meyakinkan. Tetapi dengan kerajaan yang bercampur-baur pemainnya, dengan ‘baju dalam kerajaan dipakai berbeza dengan luar kerajaan’ – semasa dalam Kabinet dan kempen pilihan raya negeri berlainan tindak tanduknya – lantas mengakibatkan penjawat awam sendiri dalam serba salah, dilema. Khuatir buat keputusan. Akibatnya nanti kerja bertimbun, tak jalan. Hendak dimarahi pun mereka tidak boleh juga kerana kalau tersilap buat keputusan, orang di atas nanti berganti baharu selepas bertukar kerajaan, akhirnya dia yang tanggung akibatnya.
Berbanding dahulu masa kerajaan sebelum Mei 2018, utuh. Dan penjawat awam khususnya ketua-ketua jabatan faham dan maklum bahawa parti berkenaan akan kekal bertahan untuk tempoh lima tahun lagi. Seperti mana mereka yang dilantik menteri, sesiapa pun tahu dia akan duduk di situ sehingga pilihan raya umum akan datang. Senang buat kerja. Tidak seperti sekarang, berapa lama boleh bertahan?
Akibat lebih besar, akan menjejaskan pelaburan asing. Ada mengatakan ‘banyak pelaburan yang masuk’, tetapi sedikit sebanyak tidak nampak kesannya.
Berbanding negara jiran, Singapura jauh meninggalkan kita. Vietnam? Kita sudah banyak tahun ketinggalan dengan negara itu.
Apa lagi kekangan ke arah menyegerakan PRU? Isu-isu yang bersifat peribadi harus dijawab oleh tuan punya badan sendiri – sama ada benar atau tidak sebelum dia dibantu oleh orang lain. Tuan punya diri harus menjawab, ubah cara dan membetulkan supaya dapat dilihat oleh rakyat sebelum orang lain membantu. Sebab itu persepsi perlu dijawab. Bukan semua persepsi salah.
Politik itu momentum. Benarkah suatu kerugian besar jika tidak bijak membacanya?
Penulis adalah Timbalan Pengarang Nexbyte dan Mingguan Malaysia.






