Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah membeli lukisan parlimen dipenuhi dengan haiwan seperti monyet dan katak mendapat liputan meluas.
Ada yang berkata lakaran seni yang mengetengahkan idea perhimpunan bukan manusia di Dewan Rakyat hanya sebagai satu jenaka kepada sistem demokrasi Malaysia. Maka orang ramai tidak perlu membuat tafsiran bukan-bukan atau beremosi tentangnya.
Sudah tentu sukar untuk menghalang orang ramai daripada membuat tafsiran. Lebih-lebih lagi lukisan itu dibeli oleh seorang sultan. Tentu ada maksud tersirat atau mungkin juga satu amaran kepada para ahli Parlimen supaya tidak berkelakuan dengan cara yang tidak sepatutnya.
Tetapi yang paling jelas, walaupun lukisan itu adalah hasil idea seorang insan seni, tetapi sebenarnya ia adalah manifestasi kekecewaan rakyat terhadap sistem demokrasi dan pentadbiran kerajaan di negara ini.
Setiap daripada kita tahu bahawa sejak berakhirnya Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) sandiwara politik di negara kita tidak pernah berakhir.
Daripada satu pilihan raya kita dapat tiga perdana menteri adalah jenaka yang tidak berkesudahan. Para anggota Dewan Rakyat dan pemimpin politik menafsirkan demokrasi mengikut acuan mereka sendiri.
Tafsiran mereka itu hingga sampai meminggirkan mandat rakyat. Jika mandat rakyat dalam pilihan raya hanya untuk dijadikan alat bagi mencaturkan siapa yang akan mendapat kuasa, maka adalah lebih baik tidak perlu diadakan pilihan raya.
Kepentingan
Rakyat melihat pemimpin politik sebagai tidak ikhlas dan tidak boleh dipercayai. Ahli Parlimen hanya akan membuat keputusan berdasarkan kepentingan mereka. Sebab itu sebuah kerajaan yang sah dipilih oleh majoriti rakyat ditumbangkan begitu sahaja.
Mereka yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) boleh melompat beramai-ramai ke Bersatu selepas BN tewas buat pertama kalinya dalam sejarah pilihan raya negara.
Selepas itu diikuti pula dengan lompatan daripada kem PKR yang menyaksikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) hilang mandat yang diperoleh pada PRU14.
Walaupun lompatan mereka itu berlapikkan demokrasi sebagai alasan, namun rakyat melihat mereka berbuat demikian demi kepentingan peribadi dan demi berkuasa.
Selepas tumbangnya PH akibat daripada lompatan beramai-ramai itu, naik pula kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang digelar dengan bermacam-macam gelaran.
Mungkin cara kerajaan ini dibentuk bukan melalui proses pilihan raya, maka ia juga tidak bertahan lama.
Kerajaan yang ada sekarang yang dipimpin oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak tahu mahu digelar kerajaan siapa. Hendak dikatakan kerajaan BN/UMNO mereka diisytiharkan tewas pada PRU14. Hendak dikatakan kerajaan PN, BN/UMNO bukan ahli dalam pakatan itu. Malah, UMNO yang menarik sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.
Pada rakyat mereka melihat pilihan mereka pada PRU14 sudah tidak relevan. Sekarang bergantung kepada ahli Parlimen terbabit untuk sokong siapa bagi membentuk kerajaan. Mereka yang menjadi kerajaan boleh ditumbangkan pada bila-bila masa.
Pembuat dasar
Disebabkan para pembuat dasar, pemimpin dan anggota kerajaan sibuk untuk memastikan kuasa tidak tercicir, maka sudah tentu fokus kepada rakyat tidak boleh diberikan sepenuhnya.
Sejak PRU14 rakyat dibelenggu dengan bermacam-macam masalah. Walaupun pandemik Covid-19 menjadi penyelamat kepada segala kelemahan kerajaan, tetapi rakyat tetap boleh menilai.
Harga barang meningkat, anak-anak lepasan universiti tidak ada kerja, yang bekerja pula terpaksa dihentikan kerana syarikat ditutup, kos hidup semakin tinggi dan pelbagai lagi. Semuanya menekan rakyat.
Sedangkan kalau lihat perdebatan antara ahli Parlimen di Dewan Rakyat, isu yang berkaitan dengan rakyat jarang sangat disentuh.
Masalah ‘Makcik Kiah’ yang anaknya tidak ada akses internet untuk sesi pembelajaran di rumah, masalah Pak Abu yang sudah tidak mampu lagi nak tanam sayur sebab harga benih, baja dan racun mahal tidak mendapat tempat di hati ahli Parlimen mereka.
Ketika di Parlimen para ahli yang berhormat lebih gemar berdebat mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) atau isu lain yang lebih sensasi. Satu pihak menyerang satu pihak lagi mempertahankan. Rakyat langsung tidak mendapat manfaat daripada isu-isu seperti ini.
Selebihnya para ahli di Dewan Rakyat itu bertekak sesama sendiri. Kalau lihat kepada laporan langsung Parlimen melalui platform media sosial, kebanyakkan anggota Dewan Rakyat menghabiskan masa dengan bertekak perkara remeh yang tidak memberi faedah kepada rakyat.
Tidak stabil
Pasca PRU14 juga menyaksikan situasi politik yang tidak stabil hingga memaksa kerajaan menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) enam perkara dengan pembangkang. Namun enam perkara yang dijanjikan itu tidak menjadi kenyataan terutama yang berkaitan Rang Undang-undang (RUU) Antilompat Parti. Dijanjikan akan selesai sebelum hujung Mac, kemudian ke 11 April dan kini baru hendak ditubuhkan jawatankuasa.
Berdasarkan kepada pengamatan bekas Peguam Negara, Tan Sri Abu Talib Othman, penangguhan beberapa kali penggubalan RUU itu disebabkan sikap ahli politik sendiri yang lebih mengutamakan kepentingan diri daripada rakyat.
Situasi politik sekarang turut memeningkan masyarakat luar terutama pada pelabur. Duta Perancis ke Malaysia, Roland Galharague dalam temu bual dengan Mingguan Malaysia mengakui beliau berhadapan dengan kesukaran untuk memahami akan apa yang berlaku dalam politik Malaysia. Sangat rumit, katanya.
Mungkin disebabkan kecewa dengan sikap ahli Parlimen dan pemimpin politik Malaysia maka terhasillah lukisan yang menggambarkan monyet dan katak memenuhi kerusi Ahli Yang Berhormat di Dewan Rakyat.
Walaupun ia adalah satu satira, namun ia adalah satira yang perlu diambil serius oleh para pemimpin yang kedudukan mereka sekarang adalah disebabkan pilihan rakyat pada PRU14.
Jangan bertindak ikut suka hati. Hormati mandat yang diberikan oleh rakyat. Pegang pada amanah, patuh pada janji dan pastikan sentiasa mengutamakan integriti.
Seperti yang diperingatkan oleh Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim bahawa itu adalah salah satu usaha Sultan Selangor mengumpulkan humor untuk memperingatkan ahli Parlimen supaya tidak mempermainkan Parlimen, yang mungkin akan menyebabkan ia jatuh taraf kepada Parlimen beruk.
Aznan Bakar ialah Pengarang Nexbyte dan Mingguan Malaysia






