ANCAMAN kehilangan pekerjaan akibat kemajuan Kecerdasan Buatan (AI) dan Pembelajaran Mesin (ML) sangat kritikal, dengan lebih daripada 4.5 juta pekerja di Malaysia berisiko kehilangan pekerjaan menjelang 2030.
Data dari Kementerian Sumber Manusia menunjukkan sektor pekerjaan asas atau sokongan menghadapi ancaman yang serius disebabkan oleh kepesatan teknologi AI.
Pekerjaan utama yang bakal diambil alih oleh AI termasuk perkeranian perbankan, juruwang, juru tiket, penterjemah, pegawai khidmat pelanggan, pemandu pengangkutan awam, penyambut tetamu dan beberapa pekerjaan lain.
Dalam tempoh lima tahun akan datang, secara keseluruhan, lebih kurang 83 juta pekerjaan di peringkat global dijangka hilang akibat kemajuan teknologi ini.
Keupayaan AI untuk menggantikan tugas manusia dengan lebih efektif, sistematik dan kos yang lebih kompetitif menyebabkan ‘pekerjaan pupus’ terutama dalam bidang perbankan, khidmat pelanggan dan perkeranian.
Laporan Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2023 menunjukkan penurunan yang signifikan dalam sektor pekerjaan berorientasikan kepada perkeranian dan mereka yang terlibat dalam kerja penyimpanan rekod serta pengurusan maklumat.
Sektor pekerjaan ini dijangka menghadapi penurunan lebih daripada 50 peratus, sementara sektor pekerjaan analisis data, pakar data raya, penganalisis risikan perniagaan, jurutera data, penganalisis keselamatan maklumat, pakar internet pelbagai benda (IoT) pembangunan perisian dan aplikasi serta beberapa pekerjaan baharu lain berkembang pesat sekitar 30 hingga 35 peratus. 97 juta pekerjaan baharu akan wujud yang berasaskan teknologi ini.
Dalam era digital yang semakin pesat ini, kebolehan pekerja untuk beradaptasi dengan teknologi baharu seperti AI adalah kunci kejayaan untuk mengekalkan daya saing dalam pasaran kerja yang semakin mencabar.
Oleh itu, majikan perlu mengambil inisiatif untuk menyediakan latihan dan sokongan yang mencukupi bagi memastikan pekerja terus relevan dalam pasaran buruh.
Pertama sekali, majikan perlu menyedari keperluan pekerja untuk memahami teknologi AI. Program latihan yang khusus perlu disusun untuk pekerja tentang konsep AI, bagaimana ia berfungsi dan dapat diterapkan dalam persekitaran pekerjaan.
Latihan teknikal perlu diberikan untuk memastikan pekerja mempunyai kemahiran yang diperlukan untuk berinteraksi dengan sistem AI.
Ini termasuk kemahiran seperti penggunaan perisian AI, analisis data dan pengoptimuman proses menggunakan teknologi AI.
Program latihan ini haruslah disesuaikan dengan keperluan industri dan pekerjaan tertentu untuk memastikan pekerja memiliki kemahiran praktikal dan sesuai dengan konteks kerja mereka.
Latihan insaniah juga harus diutamakan. Kecerdasan emosi, kepimpinan dan kemampuan berkolaborasi adalah kemahiran insaniah yang tidak dapat digantikan oleh AI.
Majikan perlu menyedari nilai tambah yang pekerja dapat sumbangkan kepada syarikat dengan meningkatkan kemahiran ini.
Majikan juga perlu memberi tumpuan kepada pembangunan kemahiran inovatif dalam kalangan pekerja.
Latihan kemahiran ini dapat membantu pekerja untuk memahami bagaimana mereka boleh mengaplikasikan teknologi AI untuk meningkatkan nilai produk, perkhidmatan, atau proses kerja mereka supaya daya saing dapat ditingkatkan.
KEBIMBANGAN PEKERJA
Majikan perlu menyedari kebimbangan pekerja terhadap kehilangan pekerjaan mereka akibat automasi oleh AI. Oleh itu, program latihan semula juga perlu diberikan untuk membolehkan pekerja menyesuaikan diri dengan perubahan dan mengembangkan kemahiran yang relevan dengan permintaan pasaran kerja.
Majikan perlu menyediakan sokongan kewangan untuk pekerja melibatkan diri dalam program latihan semula ini. Penting juga untuk membina budaya syarikat yang positif terhadap penggunaan teknologi AI.
Pekerja harus bersemangat dan yakin dalam mengambil inisiatif untuk memanfaatkan teknologi ini. Majikan perlu membina kesedaran dan mempromosikan pemikiran inovatif dan proaktif dalam kalangan pekerja mereka.
Majikan juga perlu mempertimbangkan penggunaan AI untuk meningkatkan pengurusan sumber manusia. AI perlu digunakan untuk menyelaraskan pekerja dengan tugasan yang sesuai berdasarkan kekuatan dan kebolehan pekerja.
Ini bukan sahaja meningkatkan kepuasan pekerja tetapi juga memberikan faedah kepada organisasi dengan meningkatkan produktiviti dan kecekapan. Penekanan pada etika penggunaan AI juga perlu menjadi aspek utama dalam latihan pekerja.
Majikan perlu memastikan pekerja memahami etika dan tanggungjawab yang terlibat dalam penggunaan teknologi AI. Ini termasuk privasi data dan ketelusan dalam penggunaan algoritma dan keputusan AI.
Sokongan psikososial juga harus diberikan kepada pekerja. Kebimbangan dan ketidakpastian yang mungkin timbul akibat transformasi pekerjaan oleh teknologi AI dapat memberi tekanan kepada pekerja.
Oleh itu, penyediaan sokongan emosi dan komunikasi yang berkesan adalah faktor-faktor yang penting dalam memastikan kesejahteraan pekerja dan meningkatkan keupayaan mereka untuk menangani cabaran AI.
Majikan juga perlu mempertimbangkan pemberian insentif bagi pekerja yang bersedia untuk mengambil tanggungjawab tambahan dalam memimpin dan menguruskan projek-projek berkaitan dengan teknologi AI.
Ini tidak hanya membantu dalam meningkatkan keupayaan pekerja tetapi juga mencipta budaya kerja yang mendorong inovasi dan kepemimpinan di tempat kerja.
Selain itu, kerjasama dengan institusi pendidikan dan penyedia latihan luar adalah langkah yang strategik. Majikan boleh memanfaatkan sumber luar untuk menyediakan latihan yang spesifik kepada keperluan organisasi mereka.
Ini tidak hanya membuka akses kepada kemahiran terkini tetapi juga membina rangkaian yang boleh memberikan manfaat kepada syarikat dalam jangka masa panjang.
Majikan mempunyai tanggungjawab besar dalam menyediakan pekerja mereka untuk menghadapi ancaman AI. Dengan menyusun program latihan yang holistik, memfokuskan pada kemahiran teknikal dan insaniah, serta mendorong budaya syarikat yang inovatif, majikan dapat membantu pekerja beradaptasi dan berkembang dalam era AI.
Ini bukan hanya pelaburan untuk pekerja, tetapi juga suatu langkah penting untuk memastikan kelestarian dan kejayaan organisasi dalam dunia AI yang berkembang dengan pantas. – UTUSAN
Prof. Madya Ts. Dr. Md Fauzi Ahmad ialah pensyarah kanan dan penyelidik kanan Pengurusan Teknologi Pengeluaran Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia






