DASAR Angkasa Negara 2030 (DAN2030) yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuka era baharu dalam usaha negara menguasai teknologi maju angkasa lepas menjelang 2030.
Pelaksanaan dasar yang diterajui oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) yang berfungsi seumpama Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) di Amerika Syarikat (AS) menyasarkan agar teknologi angkasa mampu menjadi salah satu sumber ekonomi baharu negara, membantu meningkatkan sumber kepakaran dan keupayaan tempatan, meningkatkan penguasaan sains dan teknologi maju negara, menyediakan peluang pekerjaan baharu dan memperkasa kerjasama strategik antarabangsa.
Kesemua matlamat yang disasarkan ini dirangkumkan aktivitinya dalam satu program pelaksanaan dikenali sebagai Eksplorasi Angkasa Malaysia 2030 (MSE2030).
Pelaksanaan program MSE2030 sebenarnya adalah selari dengan perkembangan semasa teknologi angkasa di peringkat global yang diunjurkan mempunyai nilai komersial melebihi AS$298 bilion menurut Euroconsult.
Pelaksanaan MSE2030 turut meliputi pendekatan pembangunan inovasi teknologi angkasa yang lebih terbuka dan berstrategi, merancakkan penglibatan industri melalui pendekatan kerjasama awam-swasta dan mempromosi jalinan kerjasama antarabangsa melalui persefahaman penggunaan angkasa lepas secara aman yang diterajui oleh Pejabat Hal Ehwal Angkasa Lepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNOOSA).
Sejak 1988, negara melalui MYSA telah meneroka dan mencipta kepakaran tempatan dalam membangun pelbagai aplikasi berteraskan teknologi angkasa penderiaan jauh (remote sensing).
Sehingga kini sejumlah 50 sistem aplikasi telah dibangun dan terus dioperasikan bersama dengan sekitar 70 agensi kerajaan dalam pelbagai bidang meliputi aspek perancangan, pengurusan sumber, pengurusan bencana, keselamatan dan kedaulatan negara.
Sebagai contoh, sistem aplikasi MAKGEO-PADI yang dibangunkan bersama Jabatan Pertanian dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) sejak 2010 telah dimanfaatkan oleh lebih 192,000 pesawah padi dan berjaya meningkatkan kecekapan pengurusan tanaman padi di 12 kawasan jelapang padi seluruh negara.
Pada masa sama, lebih 30,000 nelayan berdaftar di seluruh negara telah memanfaatkan sistem aplikasi penentuan lokasi ikan yang dibangun dan dioperasikan bersama Jabatan Perikanan, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) ternyata berjaya meningkatkan antara 30 dan 50 peratus hasil tangkapan para nelayan.
Sistem aplikasi berkaitan pengurusan hutan, tanah runtuh, kebakaran terbuka, banjir monsun, dan pemantauan lokasi sisa pepejal merupakan sebahagian lagi sistem aplikasi berteraskan teknologi angkasa yang dibangun dan dioperasikan meliputi aspek sumber, alam sekitar dan bencana negara.
Kepakaran MYSA dalam menerajui pembangunan sistem aplikasi berteraskan teknologi angkasa bersama rakan agensi strategik, bukan sahaja mampu memperkasakan lagi usaha memperkukuh aspek keselamatan sumber makanan negara, tetapi turut mampu meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat.
Sejak 2000, negara melalui MYSA berjaya membangunkan sebahagian infrastruktur operasi angkasa seperti sistem penerimaan data atau imej satelit masa sebenar, sistem pemprosesan dan pengurusan imej satelit, infrastruktur makmal Assembly, Integration and Testing (AIT) terbesar di rantau Asia Tenggara bagi pengujian teknologi satelit dan teknologi berkaitan dan infrastruktur sains angkasa serta astronomi.
Kelebihan ini telah menjadikan Malaysia antara negara peneraju penggunaan teknologi angkasa di rantau Asia Tenggara khususnya di sektor hiliran angkasa.
Kepesatan permintaan terhadap teknologi berteraskan angkasa selepas era pandemik Covid-19 telah membuka peluang baharu kepada negara dalam mengoptimumkan teknologi angkasa bagi tujuan pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat.
Justeru, sudah tiba masanya Malaysia perlu mengorak langkah daripada hanya sebagai pengguna teknologi angkasa, kepada sebuah negara pencipta dan penyedia perkhidmatan teknologi angkasa.
Secara spesifiknya, negara bukan sahaja perlu terus memperkasa pertumbuhan kepakaran modal insan dan aspek hiliran teknologi angkasa sedia-ada tetapi perlu terus meningkatkan penguasaan aspek huluan angkasa seperti pembuatan teknologi angkasa, teknologi pelancar satelit dan penerokaan sains angkasa.
Program MSE merupakan landasan terbaik negara bagi merealisasikan agenda ini. Pembinaan satelit penderiaan jauh negara, pembangunan teknologi dan perkhidmatan pelancar roket dan pembukaan bandar angkasa adalah sebahagian daripada 92 aktiviti pelaksanaan lain yang dirancang dan sedang dimulakan untuk tempoh sehingga 2030.
Tambahan pula, peningkatan sumber kepakaran tempatan, pertumbuhan industri baharu tempatan, penguasaan sedia-ada negara dalam sektor kejuruteraan dan elektrik (E&E) dan aeroangkasa penerbangan dijangka mampu menjadi pemangkin tambahan kepada hasrat Malaysia menjadi salah sebuah negara yang memiliki penguasaan terhadap teknologi angkasa lepas menjelang 2030. – UTUSAN
PENULIS ialah Ketua Pengarah Agensi Angkasa Malaysia (MySA).






