AGAK sukar dan sensitif untuk kita bincangkan topik berkaitan pemikiran kelas ketiga atau pemikiran rendah serta sempit ini. Apatah lagi agak sukar untuk kita menuding jari kepada mana-mana contoh bagi menaakul seseorang atau sekumpulan masyarakat itu sedang berfikiran kelas ketiga.
Sudah semestinya tiada siapa mampu menerima kenyataan apabila mereka dilabelkan sebagai seorang yang berfikiran kelas ketiga atau sempit ini. Dengan sedar ataupun tidak, mereka pasti akan membawa seribu satu hujah dan alasan bagi membuktikan bahawa pemikiran mereka adalah yang paling relevan dan menjangkaui arus zaman.
Namun di celahan kerancakan informasi dalam media sosial kita pada hari ini, dengan mudah kita dapat mencari dan melihat bukti betapa ramainya dalam kalangan kita masih memiliki pemikiran kelas ketiga atau berfikiran sempit. Berlandaskan platform yang terbentang luas dan tanpa sempadan seperti aplikasi Facebook, Tiktok, X dan sebagainya, sesiapapun mampu untuk menzahirkan corak pemikiran dan pandangan mereka tanpa was-was, sekali gus mampu menampakkan kepada umum akan kelas pemikiran mereka dalam berfikir atau menyebarkan sesuatu perkara.
ISU KWSP
Sebagai contoh, apabila timbul isu dakwaan larangan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk tujuan menunaikan ibadah haji, ramai yang cuba ‘menangguk di air keruh’ untuk membawa isu ini lebih ke tengah dan memburukkan imej kerajaan perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Apa jua isu yang melibatkan agama, kaum dan raja atau 3R di negara ini, ia pastinya memberi kesan yang mendalam dan berbahaya jika tidak dibendung dengan menyeluruh dan secara tuntas. Isu-isu berkaitan 3R ini amat mudah untuk dijadikan pancingan emosi terhadap masyarakat di negara kita yang berbilang agama, bangsa dan keturunan. Sudah tentu pihak-pihak tertentu akan ‘memperkudakan’ isu ini demi kepentingan tembolok mereka sendiri.
AGENDA JAHAT
Namun, apabila ada pihak-pihak tertentu yang memiliki pemikiran yang sempit dan nafsu untuk memburukkan pemerintah, maka mereka telah menunggang isu ini bagi meraih kemarahan masyarakat orang Islam di negara kita terhadap pemerintahan semasa.
Hujah mereka kononnya, kerajaan perpaduan telah mula menghakis hak dan keistimewaan orang Melayu Islam di Malaysia sedikit demi sedikit, hasil daripada penglibatan parti DAP dalam kerajaan.
Inilah salah satu contoh bagaimana pemikiran sempit atau berfikir pada kelas ketiga yang wujud dalam masyarakat kita di negara ini. Mereka yang berfikir cetek dan pendek sebegini tidak akan memperdulikan apa jua impak negatif yang timbul terhadap ajaran agama Islam dan terhadap semangat perpaduan yang telah lama wujud di negara ini. Bagi mereka, matlamat untuk memburukkan pemerintah harus disegerakan, apatah lagi dikala saat ini makin banyak insentif dan inisiatif yang memberi manfaat berganda kepada masyarakat sedang diusahakan oleh pihak kerajaan.
Seandainya majoriti masyarakat berjaya mengecapi akan nikmat daripada agenda-agenda yang dibawa kerajaan perpaduan ini, maka peluang dan ruang pihak lawan untuk mencorakkan pemikiran pengundi di Malaysia akan makin tipis dan bakal menemui jalan gagal.
PEMIKIRAN YANG BAHAYA
Semua pihak tidak boleh berdiam diri atau sekadar berpeluk tubuh terhadap fenomena pemikiran kelas ketiga masyarakat kita ini. Bukan semata-mata kerana hasrat kita untuk menjadi sebuah negara maju dan berfikiran kelas pertama. Sebaliknya, ketamadunan kita amat memerlukan masyarakat yang memiliki pemikiran kelas pertama bagi memastikan peningkatan daya kognitif masyarakat kita kian bertambah baik, seiring keperluan zaman dan keaktifan kemajuan teknologi maklumat.
Kita tidak mahu masyarakat kita dipenuhi dengan ‘sarang-sarang’ pemikiran yang cetek dan sempit kerana ia hanya akan membawa kepada budaya fitnah memfitnah, adu domba dan kaedah hipotesis yang tidak tepat terhadap sesuatu berita mahupun maklumat.
AGENDA PAK LAH DAN ANWAR IBRAHIM
Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi atau Pak Lah semasa memerintah dahulu pernah menyuarakan idea untuk mewujudkan legasi pembangunan modal insan melalui mentaliti baharu kelas pertama dalam kalangan masyarakat kita.
Jika kita selarikan dengan konsep baharu yang diperkenalkan pemerintah saat ini, iaitu masyarakat madani, maka ia mampu untuk membawa Malaysia melawan pemikiran kelas ketiga masyarakat kebanyakan kita.
Masyarakat madani membawa maksud civil atau civilized society yang merujuk kepada masyarakat yang berperadaban. Masyarakat madani pada prinsipnya mempunyai pelbagai makna, iaitu masyarakat yang demokratis, menjunjung tinggi etika dan bermoral, toleransi, berpotensi, aspiratif, bermotivasi, konsisten memiliki bandingan, mampu berkoordinasi, sederhana dan yang paling dominan adalah masyarakat yang demokratis.
Ia turut membawa maksud pemegang peranan sebagai tiang utama kehidupan politik yang demokratis tidak sahaja melindungi warganegara, tetapi juga merumuskan dan menyuarakan aspirasi masyarakat.
Justeru, gabungan pemikiran ini boleh membawa kita memerangi pemikiran kelas ketiga dalam kalangan masyarakat. Pembangunan modal insan dan masyarakat madani sebenarnya dua pendekatan yang benar-benar memusuhi pemikiran kelas ketiga kerana masing-masing mengangkat dan memperjuangkan agenda pemikiran kelas pertama dalam masyarakat.
Persoalannya, bagaimana kita mampu menjadi seorang warganegara yang turut menyumbang kepada permusuhan pemikiran kelas ketiga ini dan bersama-sama mengangkat darjat pemikiran kelas pertama? Jika kita mampu memulakan langkah melalui akaun media sosial sendiri, kenapa tidak untuk kita sama-sama gerakkan mulai hari ini? – UTUSAN
SARFARIZMAL Md. Saad ialah Setiausaha Agung Pertubuhan Aktivis Belia Tanah Air (ABATA).






