KEBELAKANGAN ini, isu pemberi maklumat telah menjadi topik tumpuan umum, khususnya dalam konteks membanteras rasuah. Malangnya, terdapat salah faham yang meluas dalam kalangan masyarakat mengenai siapa yang layak dilindungi dan prosedur yang perlu diikuti.
Ada yang berpendapat sesiapa sahaja yang mempunyai maklumat mengenai salah laku boleh memohon perlindungan sebagai pemberi maklumat, tetapi hakikatnya tidak semudah itu.
Negara kita mempunyai undang-undang khusus untuk melindungi pemberi maklumat daripada tindakan balas yang tidak wajar, iaitu melalui Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Whistleblower Protection Act 2010).
Namun, perlindungan ini tertakluk kepada syarat dan prosedur tertentu untuk memastikan keberkesanannya serta mengelakkan sebarang penyalahgunaan.
Salah faham yang sering timbul ialah kepercayaan bahawa pemberi maklumat boleh mendedahkan maklumat secara umum, contohnya kepada media atau media sosial sebelum memohon perlindungan. Ini adalah tanggapan yang salah.
Mengikut undang-undang, maklumat mengenai salah laku mesti dilaporkan kepada agensi penguatkuasa terlebih dahulu. Jika seseorang mendedahkan maklumat kepada umum sebelum membuat laporan rasmi, ia mungkin menjejaskan identiti dirinya sendiri serta kesahihan maklumat yang didedahkan.
Selain itu, terdapat risiko maklumat tersebut belum disahkan atau boleh disalah tafsir, yang akhirnya boleh merosakkan kredibiliti kes tersebut. Dalam situasi seperti ini, agensi penguatkuasa tidak dapat memberikan perlindungan kepada pemberi maklumat yang telah “mendedahkan” dirinya sendiri sebelum membuat laporan formal.
Kriteria Perlindungan
Bagi mendapatkan perlindungan pemberi maklumat, individu perlu memenuhi beberapa syarat. Pertama, laporan mesti dibuat kepada agensi penguatkuasaan yang sah seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau agensi kerajaan lain yang berkaitan. Kedua, laporan tersebut perlu dibuat dengan niat baik dan bukannya atas tujuan jahat seperti membalas dendam atau memfitnah.
Satu lagi syarat penting ialah pemberi maklumat tidak boleh terlibat dalam kesalahan yang dilaporkan. Seksyen 11(1) Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 jelas menyatakan bahawa perlindungan boleh dibatalkan jika pemberi maklumat tersebut didapati turut terlibat dalam salah laku yang didedahkan.
Ini bagi memastikan integriti pemberi maklumat dan mengelakkan mereka daripada menggunakan status perlindungan sebagai “perisai” untuk melindungi diri mereka sendiri.
Prosedur untuk Memohon Perlindungan
Proses untuk memohon perlindungan pemberi maklumat adalah jelas dan tertib. Individu perlu melapor terus kepada agensi penguatkuasaan kerajaan seperti SPRM. Selepas laporan diterima dan memenuhi kriteria yang ditetapkan dalam akta, pemberi maklumat akan diberikan perlindungan yang dijamin oleh undang-undang.
Antara bentuk perlindungan yang disediakan termasuklah:
Kerahsiaan Identiti: Identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan sepenuhnya dan tidak akan didedahkan kepada pihak lain termasuk semasa prosiding mahkamah.
Imuniti Undang-Undang: Pemberi maklumat dilindungi daripada tindakan sivil, jenayah atau tatatertib berkaitan laporan yang dibuat.
Perlindungan Terhadap Tindakan Balas: Sebarang tindakan balas seperti pemecatan, diskriminasi, atau intimidasi akibat laporan tersebut adalah dilarang sama sekali.
Perlindungan kepada Individu Berkaitan: Selain pemberi maklumat, perlindungan turut diberikan kepada ahli keluarga atau individu yang mempunyai kaitan rapat dengan pemberi maklumat, jika mereka menghadapi risiko akibat pendedahan tersebut.
Tanggungjawab Masyarakat
Sebagai masyarakat yang bertanggungjawab, kita juga perlu memahami peranan dan tanggungjawab melaporkan jenayah rasuah. Seksyen 25 Akta SPRM 2009 menetapkan bahawa sesiapa yang mengetahui tentang pemberian, penerimaan atau tawaran rasuah tetapi gagal melaporkannya boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga 10 tahun, atau kedua-duanya sekali.
Ini bermakna tanggungjawab melaporkan rasuah bukan hanya terletak pada pemberi maklumat, tetapi juga kepada sesiapa sahaja yang mempunyai pengetahuan mengenainya. Masyarakat perlu memainkan peranan aktif dalam melaporkan jenayah rasuah untuk memastikan integriti dan akauntabiliti terus terpelihara.
Cabaran yang Dihadapi
Walaupun undang-undang sudah tersedia, pemberi maklumat sering menghadapi cabaran dalam menegakkan kebenaran. Antaranya ialah pemberi maklumat sering dilabel sebagai “pengadu” atau “pengkhianat”, khususnya jika kesalahan melibatkan majikan atau organisasi tempat mereka bekerja.
Selain itu, walaupun perlindungan undang-undang diberikan, masih wujud kebimbangan mengenai ancaman atau diskriminasi yang boleh mereka hadapi secara langsung atau tidak langsung. Malah, masih ramai yang tidak memahami prosedur undang-undang untuk menjadi pemberi maklumat dan bagaimana mereka boleh memohon perlindungan secara sah.
Kepentingan Undang-Undang Perlindungan
Undang-undang perlindungan pemberi maklumat adalah salah satu alat penting dalam usaha membanteras rasuah dan salah laku di negara ini. Ia memberi keyakinan kepada individu untuk tampil mendedahkan maklumat tanpa rasa takut akan tindakan balas. Selain itu, ia juga membantu memastikan maklumat yang disampaikan adalah sah dan boleh digunakan dalam proses siasatan dan perundangan.
Kesedaran mengenai peranan, tanggungjawab dan perlindungan pemberi maklumat perlu ditingkatkan dalam masyarakat. Salah faham bahawa sesiapa sahaja boleh memohon perlindungan tanpa memenuhi syarat yang ditetapkan perlu diperbetulkan agar undang-undang ini tidak disalah guna.
Sebagai rakyat yang prihatin, kita perlu memahami bahawa pemberi maklumat memainkan peranan penting dalam mendedahkan salah laku dan memastikan integriti institusi terus terjaga. Sokongan kepada mereka harus diberikan melalui pemahaman yang betul mengenai prosedur perlindungan serta usaha kolektif untuk menggalakkan keberanian dalam melaporkan jenayah.
Dengan adanya undang-undang yang kukuh dan masyarakat yang sedar akan tanggungjawab mereka, usaha membanteras rasuah di Malaysia dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan. – UTUSAN
DATUK Zainul Darus ialah Pengarah Bahagian Perisikan di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).






