TINDAKAN penyelarasan sukatan pelajaran bagi bahasa Melayu di semua sekolah rendah institusi pendidikan kerajaan hendaklah diteruskan, walaupun terus dibantah keras oleh etnik bukan Melayu, khususnya Cina. Ini kerana ia mempunyai tujuan pendidikan yang murni agar pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran ini lebih terarah. Antaranya untuk memperoleh pengetahuan lebih mendalam supaya kecekapan berbahasa Melayu selaku bahasa negara dapat dipertingkat.
Ia juga penting untuk tujuan nasionalisme, iaitu mewujudkan rasa kekitaan kental yang lebih terserlah melalui bahasa Melayu sebagai bahasa negara. Ini seharusnya berbentuk etnik bukan Melayu bersekali dengan etnik Melayu sebagai penutur jati mempamerkan bahasa Melayu sebagai identiti nasional untuk negara ini dan identiti budaya bagi rakyatnya.
Sebenarnya penyelarasan ini bersifat serampang dua mata. Satu bagi tujuan pendidikan semata-mata, iaitu untuk menjadikan seseorang pelajar itu lebih baik dari segi pengetahuan bahasa Melayu untuk dirinya sendiri. Satu lagi bagi negara, iaitu melalui matlamat sosial pendidikan untuk melahirkan masyarakat yang kuat jati diri kebangsaaannya dari segi bahasa Melayu. Ini terbentuk setelah setiap seorang pelajar itu sudah terdidik dengan sempurnanya di dalamnya.
Atas dasar inilah sukatan pelajaran bagi bahasa Melayu yang merupakan bahasa negara ini mahu diselaraskan. Ia tidak sesekali untuk yang lain-lain seperti yang mahu difikirkan oleh etnik bukan Melayu. Antaranya untuk membudayakan amalan Melayu-Islam kepada pelajar bukan Melayu atas dasar hubungan bahasa dan budaya adalah rapat sekali.
Sepatutnya perasaan mencurigai begini tidak timbul lagi setelah sekian lama tertubuhnya negara ini di mana kita yang pelbagai etnisiti ini telah lama hidup bersama. Dengan masih adanya perasaan sebegini, nampaknya kita belum lagi betul-betul bersatu dari segi kerukunan, iaitu untuk menyokong antara satu sama lain tanpa adanya perasaan sebegini.
Etnik bukan Melayu, khususnya Cina bukan sahaja perlu, malah wajib berubah untuk lebih mempercayai etnik Melayu yang merupakan pemilik bumi Melayu-Islam ini. Ia hendaklah pertama-tamanya bermula dengan tindakan menghakis habis-habisan pelbagai prasangka mereka terhadap etnik Melayu.
Sehubungan ini, sikap angkuh budaya Cina, iaitu amalan dan tradisi Cina sahajalah yang terunggul, hendaklah segera ditinggalkan etnik Cina Malaysia. Sikap buruk ini bahawa etnik lain tidak memiliki tamadun sehebat etnik Cina, apatah lagi yang tiada langsung, bukan sahaja tidak sesuai lagi pada zaman moden ini. Juga ia sangat tidak serasi dengan resam peribahasa Melayu di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung.
Dengan ini, etnik Cina dituntut untuk menurut adat dan peraturan tempat yang mereka diami. Sehubungan ini, mereka sendiri yang memilih untuk terus menetap di bumi Melayu-Islam ini. Oleh itu, adalah sangat diperlukan resam peribahasa itu bukan sahaja dituruti dengan sebaik-baiknya, malah dihayati sedalam-dalamnya.
Dalam kes penyelarasan sukatan pelajaran ini, ia sebenarnya dilakukan untuk membantu murid bukan Melayu di Sekolah Jenis Kebangsaan. Ini agar mereka bukan sahaja mempelajari bahasa Melayu yang lebih tinggi mutunya, sesuai dengan taraf mulianya sebagai bahasa negara. Ini baik sekali untuk dorongan instrumental kerana lulus dalam mata pelajaran yang sukatan pelajarannya berada pada tingkat tinggi.
Juga untuk dorongan integratifnya, iaitu untuk berfungsi dengan baik dalam komuniti bahasa Melayu yang ahlinya rata-rata adalah etnik Melayu. Ini kerana kecekapan dalam bahasa Melayu adalah asas kebahasaan penting untuk memupuk perpaduan.
Dengan kecekapan ini, komunikasi dengan etnik Melayu bukan sahaja akan menjadi jauh lebih bermakna, iaitu mampu mengungkapkan apa-apa sahaja secara langsung. Juga ia menjadi penting, serius dan bermanfaat sehingga boleh membentuk persahabatan mesra dan tulen yang akhirnya akan membawa kepada perpaduan erat lagi utuh.
Bantahan daripada etnik Cina khususnya dalam hal penyelarasan sukatan pelajaran ini, antaranya boleh ditafsirkan sebagai penentangan terhadap integrasi yang merupakan kaedah yang dipersetuju bersama dalam usaha pemupukan perpaduan di negara ini. Sehubungan ini, lazimnya kelompok yang mendatangi sesuatu tempat itu, diperlukan secara tabii berintegrasi ke dalam struktur sosial kelompok yang didatangi itu.
Ini berbeza sekali dengan etnik Cina di Malaysia yang sering didapati enggan berintegrasi, antaranya menerima bahasa Melayu sebagai bahasa negara dalam bentuk yang sewajarnya sebagai warganegara baik. Sebaliknya, dalih dicari untuk tidak berintegrasi pada tahap yang sepatutnya, seperti mempelajari bahasa Melayu sebagai bahasa terpenting lagi terutama dalam konteks kerakyatan mereka di bumi Melayu-Islam ini.
Dalam hal ini, etnik Cina dikehendaki menerima penyelarasan sukatan pelajaran ini untuk kebaikan bersama, iaitu bagi diri mereka sendiri agar tidak lagi hanya berbahasa Melayu rendah pada setiap masa. Juga untuk negara tercinta ini yang ikut diakui sebagai tanah air mereka juga agar kerakyatan di bumi Melayu-Islam yang dipegang mereka itu betul-betul ada nilai kenegaraan Melayu-Islam.
Ini penting sekali untuk perwatakan nasional Melayu-Islam pada rakyat Malaysia. Sehubungan ini, etnik bukan Melayu, khususnya Cina hendaklah bukan sahaja ikut berkongsi setiap aspirasi nasional bumi Melayu-Islam ini dengan etnik Melayu sebagai tuan miliknya. Juga menjayakannya sebagai warganegara yang baik. – UTUSAN
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).






