MUKADIMAH
TIPOLOGI rasuah kini jauh lebih kompleks dan rumit dan lebih membimbangkan, hampir kesemua taktik penipuan ini melalui proses kewangan menerusi sistem perakaunan serta pengauditan.
Cabaran semakin besar jika keupayaan sesebuah agensi penyiasatan tidak dilengkapi dengan pegawai yang berkebolehan untuk merungkai aktiviti luar biasa dalam suatu proses kewangan sama ada yang melibatkan individu ataupun entiti.
Justeru, dalam usaha untuk memperkukuhkan sesuatu siasatan yang dijalankan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak ketinggalan memiliki kepakaran dalam kaedah penyiasatan kewangan melalui Bahagian Analisa Kewangan (BAK).
Ikuti temubual Pengarah BAK, MOHD. AZWAN RAMLI bersama wartawan Nexbyte, MASZUREEN HADZMAN dan jurufoto FAISOL MUSTAFA mengenai peranan BAK sebagai pasukan sokongan dalam siasatan kewangan sekali gus menjadi tulang belakang kepada kejayaan SPRM membongkar kes rasuah di negara ini.
JENAYAH KEWANGAN
Berdasarkan pemerhatian dan analisis yang telah dijalankan, antara bentuk jenayah kewangan yang sering dikesan ialah penggunaan entiti perniagaan atau syarikat sebagai medium untuk melakukan jenayah kewangan seperti rasuah dan pengubahan wang haram.
Dalam kebanyakan kes, pembayaran tersebut disamarkan sebagai transaksi perniagaan biasa seperti bayaran untuk khidmat perundingan atau pembekalan yang direkodkan secara sah dalam rekod perakaunan syarikat.
Taktik ini bertujuan untuk mengelirukan pihak berkuasa dan pihak berkepentingan daripada mengesan aliran wang yang sebenarnya.
PEMBAYARAN TUNAI
Dalam kebanyakan kes, individu atau entiti menggunakan transaksi tunai untuk mengelakkan jejak dalam sistem perakaunan atau sistem perbankan.
Pembayaran tunai ini dilakukan di luar saluran kewangan rasmi yang menyukarkan pihak berkuasa untuk mengesan aliran wang dan membuat hubungan antara pembayaran dengan aktiviti rasuah atau pengubahan wang haram.
Oleh kerana transaksi tunai tidak meninggalkan rekod rasmi, ia menjadi satu cara yang sering kali untuk menyembunyikan sumber dan penggunaan wang haram.
DANA AWAM DISALAH GUNA
Salah satu bentuk penyalahgunaan yang semakin meluas adalah penggunaan dana awam atau dana yang diperuntukkan kepada organisasi bukan keuntungan (NPO) untuk tujuan peribadi.
Penyelewengan ini berlaku apabila dana yang sepatutnya digunakan untuk program sosial, kebajikan, atau pembangunan masyarakat, diselewengkan oleh individu atau pengarah organisasi untuk kepentingan peribadi.
Ini termasuklah penggunaan dana untuk tujuan yang tidak sah atau pembayaran kepada pihak yang tidak berkepentingan.
NPO yang terlibat dalam aktiviti ini sering disembunyikan di bawah pelbagai struktur kewangan untuk mengelirukan pihak berkuasa dan masyarakat.
FUNGSI BAK
BAK merupakan bahagian khusus yang bertindak sebagai pasukan sokongan dalam siasatan kewangan.
Secara terperincinya, BAK bertindak sebagai pasukan yang mengesan aktiviti luar biasa dalam suatu proses kewangan sama ada yang melibatkan individu ataupun entiti.
BAK dianggotai pegawai yang memiliki kepakaran dalam bidang analisis kewangan terutamanya perakaunan forensik bagi membongkar modus operandi kewangan yang digunakan penjenayah.
KENAL PASTI RED FLAG, JEJAK ALIRAN WANG HARAM
BAK berperanan untuk merungkai aktiviti yang luar biasa selain mengesan transaksi yang mencurigakan, kejanggalan dalam rekod kewangan dan corak yang cenderung kepada jenayah kewangan seperti rasuah, pecah amanah, penipuan, pemalsuan dan pengubahan wang haram.
Selepas itu, BAK juga menjalankan analisis aliran wang (money trail analysis) untuk mengenal pasti sumber dan penggunaan dana.
Ia termasuk pemindahan akaun, pembelian harta, pelaburan luar jangka, dan penggunaan akaun proksi serta membuat pemulihan ke atas aset (asset recovery).
BAK juga melaksanakan Excessive Property Analysis (EPA), iaitu penilaian keupayaan suspek untuk memperoleh dan membelanjakan harta secara sah bagi mengukur lebihan harta yang tidak munasabah berdasarkan Seksyen 36 Akta SPRM 2009.
Pegawai BAK juga akan memberi keterangan sokongan semasa pendakwaan melalui laporan analisis kewangan yang terperinci serta keterangan pakar dalam prosiding mahkamah.
Fungsi ini dijalankan berlandaskan kerangka undang-undang yang berkuat kuasa, termasuklah Akta SPRM 2009, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001, Kanun Keseksaan, serta pelbagai peruntukan lain yang berkaitan.
KAEDAH ANALISA
Kaedah yang digunakan adalah pelbagai mengikut kepada kesesuaian sesuatu kes, tempoh masa kejadian jenayah itu berlaku, ketersediaan dokumen dan maklumat serta keperluan semasa pihak siasatan.
Antara metodologi teras yang digunakan ialah EPA iaitu satu pendekatan yang menyerupai net worth analysis tetapi jauh lebih terperinci dan tepat kerana ia direka khusus untuk memenuhi keperluan undang-undang jenayah.
Melalui EPA, pegawai BAK menilai kemampuan kewangan suspek daripada sudut pendapatan sah, liabiliti, dan sebarang sumber pendapatan lain, seterusya membandingkannya dengan gaya hidup serta pemilikan harta yang dikesan.
Dalam masa yang sama, analisa jejak wang (money trail) dan pengesanan aset (asset tracing) dijalankan untuk menjejaki aliran dana daripada titik asal (source of fund) hingga kepenggunaannya, sama ada dalam bentuk pembelian harta, pelaburan, pembayaran kepada proksi, atau pemindahan silang akaun.
Penjejakan ini turut merangkumi carian dan analisis data wang kripto, hartanah, pendaftaran kenderaan, pelaburan, penyata kewangan dan rekod perakaunan syarikat.
Kaedah ini penting untuk membuktikan hubungan antara transaksi kewangan dan hasil daripada aktiviti jenayah.
Selain itu, pemeriksaan mendalam terhadap rekod perakaunan dan dokumen kewangan syarikat untuk mengenal pasti tanda-tanda atau red flag yang menunjukkan kemungkinan penyelewengan atau aktiviti jenayah kewangan.
Melalui analisis ini, dapat dikenal pasti anomali dalam perbandingan kewangan seperti nisbah kewangan yang tidak normal, perubahan mendadak dalam pendapatan atau perbelanjaan serta rekod perakaunan yang tidak menepati piawaian yang dapat menimbulkan kecurigaan.
Penggunaan kaedah ini memantau potensi risiko dan memberi petunjuk tentang kemungkinan berlakunya transaksi pembayaran rasuah.
TEMPOH MASA LAPORAN ANALISA
Tempoh masa tidak bersifat tetap kerana ia bergantung kepada keunikan dan kerumitan sesuatu kes termasuklah dari segi ketersediaan dokumen serta maklumat kewangan.
Dalam kebanyakan kes, elemen jenayah kewangan yang kompleks seperti penggunaan akaun proksi, transaksi rentas sempadan, pelaburan melalui entiti luar negara atau pemilikan harta melalui pihak ketiga menjadikan proses analisis lebih mencabar.
Sekiranya dokumen lengkap dan mudah diakses, tempoh penyediaan laporan boleh menjadi singkat, namun, jika dokumen tidak lengkap, tidak disimpan dengan baik atau dimusnahkan, analisis berkenaan boleh mengambil masa yang lebih panjang.
Selain itu, setiap laporan perlu disediakan dengan penuh ketelitian dan melalui proses semakan rapi bagi memastikan ketepatan fakta dan mengelakkan sebarang kesilapan memandangkan laporan ini berperanan sebagai dokumen sokongan penting dalam pendakwaan di mahkamah.
BAK sentiasa komited untuk menyediakan analisis dan laporan kewangan dengan pantas dan berkesan, selaras dengan keperluan siasatan di samping memastikan ketepatan, ketelitian, dan piawaian profesional tertinggi sentiasa dikekalkan.
LAPORAN DAN ANALISA BAK DIGUNAKAN SEBAGAI BUKTI DI MAHKAMAH
Ya, laporan dan dapatan yang dihasilkan oleh BAK ada digunakan secara langsung sebagai keterangan dalam perbicaraan di mahkamah. la telah membantu pihak pendakwaan untuk menjelaskan struktur aliran wang, membuktikan lebihan harta tanpa sumber yang sah, serta membina naratif rasuah atau pengubahan wang haram berdasarkan dokumen dan fakta kewangan.
Antara kes yang dibantu seperti siasatan melibatkan dana awam badan bukan kerajaan (NGO), Aman Palestin selain kes pasangan pempengaruh yang didakwa menyeleweng kutipan derma.
CABARAN ANALISA KES
Salah satu cabaran utama yang dihadapi ialah perubahan sifat jenayah rasuah yang semakin bergerak ke arah bentuk yang sistemik dan sistematik.
Rasuah tidak lagi berlaku secara bersahaja atau bersifat individu, sebaliknya tertanam dalam struktur organisasi dan dilaksanakan melalui kaedah yang terancang.
Secara sistemik, rasuah menjadi sebahagian daripada struktur dan budaya serta cara kerja sesebuah organisasi, di mana kelemahan institusi selain norma sosial yang permisif dan kekurangan integriti dalam kepimpinan membolehkan perbuatan rasuah berakar umbi dan berterusan tanpa tindakan pembetulan.
Ia bukan sahaja melibatkan individu yang berkuasa tetapi juga sokongan pasif atau aktif daripada pegawai-pegawai lain yang menyumbang kepada kelangsungan amalan tersebut.
Sementara itu, secara sistematik, jenayah rasuah kini dilaksanakan melalui kaedah yang terancang dan tersusun.
la merangkumi penggunaan proses korporat dan birokratik secara manipulatif, contohnya melalui penubuhan syarikat proksi, perjanjian palsu, pemalsuan invois dan rekod kewangan, serta penggunaan saluran kewangan yang kompleks seperti syarikat luar pesisir (offshore companies) dan akaun bank berlapis.
Kesemua ini bertujuan menyembunyikan pihak sebenar yang menerima manfaat dan untuk mengaburi pihak berkuasa daripada mengesan transaksi yang mencurigakan.
RASUAH BUKAN LAGI SOGOKAN SEMATA-MATA
Dalam konteks ini, rasuah tidak lagi dilihat sebagai perbuatan ‘menyogok’ semata-mata tetapi satu bentuk jenayah terancang yang boleh menyusup ke dalam sistem pengurusan kontrak awam, perolehan kerajaan, kelulusan projek, pelesenan dan pelaburan.
Apabila rasuah berlaku secara sistemik dan sistematik, ia bukan sahaja merugikan ekonomi dan menjejaskan tadbir urus, malah mencabar keupayaan agensi penguatkuasaan untuk menjalankan siasatan yang berkesan kerana memerlukan keupayaan forensik kewangan yang tinggi, bantuan teknologi serta kerjasama rentas agensi.
Tambahan pula, kemunculan aset digital seperti mata wang kripto memperkenalkan satu lagi dimensi kerumitan dalam siasatan kewangan.
Transaksi kripto yang bersifat tanpa sempadan (borderless), tanpa nama (pseudo-anonymous) dan sukar dijejaki sering digunakan untuk memindahkan atau menyembunyikan hasil daripada aktiviti haram.
Fenomena ini menuntut pegawai BAK untuk menguasai pengetahuan teknikal berkaitan teknologi rantaian blok (blockchain), dompet digital, dan platform pertukaran kripto, selain daripada kemahiran forensik kewangan konvensional.
Oleh itu, siasatan tidak lagi terhad kepada analisis aliran wang dalam sistem perbankan tradisional tetapi turut merangkumi ekosistem kewangan digital yang sedang berkembang pesat sejak kebelakangan ini.
TINGKAT KEPAKARAN MENERUSI KKFP
Atas kesedaran terhadap keperluan kerjasama rentas agensi dalam menangani jenayah kewangan yang semakin kompleks, BAK mengambil pendekatan untuk tidak beroperasi secara silo.
Sebaliknya, bahagian ini aktif menjalinkan kolaborasi strategik dengan pelbagai agensi kerajaan, agensi penguatkuasa, pengawal selia dan pemegang taruh yang lain.
Kerjasama ini bertujuan memperoleh input terkini berkaitan peraturan, polisi dan standard pelaporan kewangan, struktur pemilikan syarikat, kawal selia pelaburan, serta aspek pematuhan lain yang relevan.
Penubuhan Kumpulan Kerja Fraud Perakaunan (KKFP) yang baharu dilancarkan dijadikan senjata untuk mendapatkan semula dana-dana awam yang dicuri dan disembunyikan di luar negara.
Melalui KKFP, kepakaran dalam setiap agensi akan digunakan sepenuhnya dan berstrategik untuk memastikan jenayah kewangan yang semakin kompleks ini dapat ditangani sepenuhnya.
KKFP diterajui oleh tujuh agensi iaitu Jabatan Audit Negara (JAN), SPRM, Jabatan Akauntan Negara (JANM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDNM), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Institut Akauntan Malaysia (MIA).
PEMBANGUNAN KAPASITI DALAMAN
Dalam masa yang sama, BAK memberi tumpuan kepada pembangunan kapasiti dalaman dengan menyediakan latihan dan kursus teknikal perakaunan dan analisis kewangan secara berterusan kepada pegawai, sama ada di dalam atau luar negara.
Usaha ini bertujuan memastikan pegawai sentiasa memiliki tahap kecekapan, kompetensi dan profesionalisme yang tinggi, sejajar dengan perkembangan pesat dalam bidang forensik perakaunan, analisis data seta kehendak siasatan yang semakin rumit.
Selaras dengan tuntutan era digital, BAK turut mengorak langkah ke arah pendigitalan proses analisis kewangan dengan mengaplikasikan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), automasi proses robotik (RPA) dan pembelajaran mesin.
Teknologi ini membantu mempercepatkan pemprosesan dan penganalisis data dalam jumlah besar, mengesan transaksi yang mencurigakan, serta mengenal pasti anomali kewangan yang sukar dikesan secara manual.
Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan kecekapan kerja malah membolehkan bahagian ini lebih proaktif dan tepat dalam menyokong siasatan berkaitan rasuah dan jenayah kewangan. – UTUSAN






