SAMBUTAN Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2025, yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), menandakan satu lagi detik penting dalam sejarah kewartawanan tanah air. Dengan menghimpunkan lebih 1,000 pengamal media dari dalam dan luar negara, terutamanya rantau ASEAN, Hawana 2025 bukan sahaja meraikan jasa wartawan, malah membentuk hala tuju baharu dalam menghadapi cabaran landskap media kontemporari yang semakin kompleks.
Hubungan Media Peringkat ASEAN
Hawana 2025 mengambil pendekatan strategik dengan mengukuhkan hubungan antara organisasi media di rantau ASEAN. Langkah ini penting dalam memastikan pertukaran maklumat yang lebih tepat, cepat dan beretika dalam era globalisasi maklumat. Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, menjelaskan bahawa sambutan kali ini juga selari dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, menjadikan platform Hawana sebagai ruang diplomasi media yang proaktif.
Sesi dialog rentas negara, forum bersama, dan bengkel kerjasama berita rentas sempadan diadakan bagi menelusuri isu bersama. Isu yang diketengahkan termasuk keselamatan wartawan, kawalan berita palsu merentas sempadan, dan pembangunan kapasiti wartawan muda serantau. Pengamal media dari Indonesia, Thailand, Vietnam, Filipina dan negara-negara jiran lain menyertai sesi kolaboratif ini, membawa naratif ASEAN yang lebih menyeluruh dan inklusif. Isu-isu berkenaan dilihat signifikan disamping cabaran era geopolitik yang semakin mencabar.
Justeru, media perlu menjadi jambatan yang menghubungkan, bukan tembok yang memisahkan. Inisiatif seperti Koridor Media ASEAN yang diterajui Malaysia sebagai pengerusi ASEAN menunjukkan keseriusan Malaysia memimpin hala tuju komunikasi serantau yang progresif dan berdaya saing.
Cabaran Era Digital: Antara AI dan Etika
Revolusi digital telah mengubah cara wartawan mengumpul, memproses, dan menyampaikan maklumat. Namun, ia juga membawa bersama cabaran khususnya dalam aspek penyebaran maklumat palsu, manipulasi kandungan dan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam penulisan berita.
Algoritma boleh menghasilkan berita, imej, bahkan video yang kelihatan ‘tulen’, tetapi tidak semestinya benar. Ini adalah cabaran dan hakikat media masa kini, Hawana 2025 mengupas persoalan bagaimana wartawan dapat mengekalkan nilai-nilai kemanusiaan seperti empati, kejujuran, dan tanggungjawab sosial dalam era AI.
Selain itu, satu kod etika berkaitan AI diperlukan media tempatan sebagai panduan dalam memanfaatkan teknologi tanpa mengorbankan integriti. Di sinilah pentingnya elemen ‘literasi digital kewartawanan’ disemai bukan sahaja di ruang redaksi, tetapi juga di peringkat akar umbi institusi pendidikan kewartawanan.
Bahasa dalam Media
Penganjuran Pesta Pantun Hawana-DBP 2025 telah menjadi tarikan utama dalam menyemai minat terhadap bahasa dan seni tradisional.
Aktiviti ini melibatkan pelajar sekolah, mahasiswa kewartawanan dan pengamal media, mencipta ruang lintas generasi untuk memahami makna komunikasi berbudaya.
Lebih menarik, beberapa sesi dialog membincangkan bagaimana media boleh memainkan peranan dalam melestarikan bahasa dan budaya. Penggunaan istilah Melayu yang kreatif dalam laporan berita, penulisan naratif yang menggambarkan adat dan nilai setempat, serta dokumentari warisan diketengahkan sebagai contoh praktikal.
Hargai Wartawan
Saban tahun, ribuan wartawan di Malaysia bekerja dalam tekanan masa, risiko keselamatan dan tanggungjawab sosial yang tinggi. Namun, mereka jarang diberi penghargaan secara terbuka. Hawana 2025 membawa sinar harapan kepada profesion ini apabila beberapa kategori Anugerah Kewartawanan Nasional diperkenalkan. Kategori yang dipertandingkan termasuk wartawan luar bandar, wartawan penyiasat, dan wartawan muda terbaik.
Anugerah ini bukan sahaja sebagai simbol pengiktirafan, tetapi juga sebagai insentif moral kepada pengamal media untuk terus menghasilkan laporan berkualiti tinggi yang mempengaruhi dasar awam, membela nasib golongan terpinggir dan menegakkan kebenaran.
Pendidikan Kewartawanan
Dalam era TikTok, audio siar (podcast) dan media sosial yang bersifat hiper-cepat, wartawan muda perlu dibimbing agar tidak terjerumus dalam budaya sensasi tanpa nilai.
Terdapat juga cadangan kurikulum kewartawanan baharu yang inklusif, digital dan berpaksikan etika. Program wartawan muda juga wajar digerakkan dengan lebih serius bagi melatih wartawan pelatih dalam laporan berbentuk data, kewartawanan penyelesaian dan liputan isu-isu inklusif seperti orang kurang upaya (OKU), gender dan alam sekitar.
Peranan Media
Media memainkan peranan penting dalam mendidik rakyat, membina wacana yang sihat dan memelihara keharmonian negara majmuk. Media perlu menjadi agen pembinaan nilai, tidak hanya menyampaikan berita, tetapi mempromosi dialog, memahami perbezaan dan menjunjung prinsip Rukun Negara.
Hawana 2025 menjadi mercu tanda penting dalam usaha kolektif negara untuk memacu masa depan kewartawanan yang lebih progresif, inklusif dan beretika. Dalam era ledakan maklumat yang tidak bertepi, peranan wartawan bukan lagi hanya sebagai penyampai maklumat, tetapi juga sebagai penjaga kebenaran, pemangkin perubahan sosial, dan pencorak naratif negara bangsa.
Paling penting, Hawana 2025 telah membuka ruang untuk membina ekosistem kewartawanan melalui penggabungan nilai-nilai kemasyarakatan, tanggungjawab kolektif, dan prinsip-prinsip Rukun Negara dalam penyampaian berita. Ini penting terutamanya dalam suasana masyarakat yang semakin rencam dan terdedah kepada pelbagai bentuk polarisasi, media yang bersifat inklusif dan adil sangat diperlukan bagi memastikan kesatuan dalam kepelbagaian terus dipelihara.
Secara keseluruhan, Hawana 2025 menjadi pentas untuk merangka semula masa depan kewartawanan di Malaysia melebihi aspek kandungan dan teknologi, turut merangkumi nilai, etika, dan peranan sosialnya. Ia adalah satu manifestasi bahawa profesion wartawan masih relevan, masih diperlukan, dan harus terus diperkasakan dalam mendepani zaman yang penuh ketidaktentuan ini.
Dalam menghadapi tahun-tahun mendatang, adalah menjadi harapan seluruh warga media agar momentum yang dibina melalui Hawana ini dapat diteruskan melalui dasar-dasar kerajaan, kerjasama industri, dan sokongan masyarakat. Wartawan harus terus diberi ruang, kepercayaan dan perlindungan untuk menjalankan tugas mereka dengan bebas, selamat dan bermaruah. Lalu, kita akan dapat menyemai dan menyuburkan sebuah ekosistem media yang bukan sahaja berfungsi, tetapi juga membina peradaban. – UTUSAN
DR. Mastura Mahamed ialah Penyelidik di Institut Pengajian Sains Sosial dan Pensyarah Kanan di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM).






