UNIVERSITI Teknologi Mara (UiTM) melangkah lebih jauh dalam memacu pembangunan mahasiswa melalui pembangunan Modul Aspirasi Nexbyte, satu inisiatif holistik yang selari dengan Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia (PPTM) 2025-2035 dan Agenda Transformasi Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) di bawah kepimpinan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir.
Modul ini dirangka bagi membentuk mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang akademik tetapi juga memiliki jati diri kukuh, kemahiran insaniah, dan ketahanan mental untuk menghadapi cabaran global.
Latar belakang yang membentuk Modul Aspirasi Nexbyte pada 2021 mencerminkan reaksi proaktif UiTM terhadap krisis pendidikan terbesar abad ini. Ketika pandemik Covid-19 menggoncang sistem pendidikan negara, menyongsang norma pembelajaran tradisional dan menguji ketahanan psikologi generasi pelajar, UiTM melalui Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) bangkit dengan inisiatif transformasi bagi menggerakkan modul ini sebagai platform menyeluruh yang bukan sekadar mengisi ruang akademik tetapi membina benteng pertahanan mental dan sahsiah melalui teras nilai ‘Usaha, Takwa, Mulia’, falsafah hidup warga UiTM.
Sebagai tunjang utama dalam pembangunan sahsiah pelajar, nama Nexbyte yang diinspirasikan daripada nilai ‘Usaha, Takwa, Mulia’ melalui proses pembangunan yang amat teliti, bermula daripada peringkat penyusunan kandungan modul sehinggalah ke pelaksanaan uji lari.
Di bawah kepimpinan Profesor Dr. Shahrin Sahib selaku Naib Canselor, beliau memberikan sokongan penuh terhadap pembangunan serta pelaksanaan modul ini. Hasil komitmen dan dedikasi tersebut, Modul Aspirasi Nexbyte kini mula dilaksanakan di semua kampus dalam sistem UiTM bermula pada akhir tahun 2024.
Enam Aspirasi Nexbyte
Mengharungi era digital dan cabaran global yang kian kompleks, modul ini dibangunkan berteraskan enam tonggak Aspirasi Nexbyte iaitu Asas DNA UiTM, UiTM Cergas, Celik Fikir, Asas Keselamatan Negara, Jiwa UiTM serta Kecemerlangan dan Kemandirian Mahasiswa. Modul ini bukan sekadar program biasa tetapi revolusi pendidikan yang merupakan sebahagian daripada inisiatif Transformasi Mahasiswa UiTM (TAMU), diilhamkan Timbalan Naib CanselorHal Ehwal Pelajar UiTM.
Inisiatif Tamu bersifat holistik, menggabungkan kecemerlangan akademik, ketahanan mental dan jati diri kebangsaan dalam satu rangka yang menyeluruh.
Setiap aspirasi dirangka dengan teliti untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja berdaya saing di peringkat global, malah berakar umbi kukuh dalam nilai murni serta komited terhadap pembangunan negara.
Enam aspirasi ini merupakan jawapan UiTM kepada hasrat kerajaan melalui KPT untuk melahirkan modal insan kelas pertama. Ia adalah pelan tindakan pembentukan generasi pelajar yang holistik, yang mana kejayaan akademik diseimbangkan dengan kematangan sahsiah, kestabilan emosi dan semangat patriotik.
Dalam dunia yang pantas berubah, mahasiswa tidak lagi hanya dinilai melalui nilai gred kumulatif (CGPA) semata-mata tetapi juga melalui ketahanan mental, kemahiran berfikir aras tinggi dan keupayaan memimpin.
Aspirasi ini hadir sebagai platform menyeluruh membimbing mahasiswa mengharungi cabaran semasa, daripada krisis identiti sehingga ancaman dunia siber, sambil memastikan mereka menjadi agen perubahan yang menyumbang kepada kemajuan negara.
Inilah komitmen UiTM dalam melaksanakan mandatnya sebagai penjana bakat unggul negara, selaras dengan Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia (PPTM) 2025-2035 dan visi Malaysia Madani. Setiap aspirasi ini berperanan sebagai batu loncatan untuk melahirkan generasi pemimpin masa hadapan yang berintegriti, kreatif dan berdaya tahan.
Kesemua enam aspirasi ini saling melengkapi dalam melahirkan graduan UiTM yang holistik, berdaya saing dan berpegang teguh kepada nilai-nilai murni. Selari dengan hala tuju KPT, Modul Aspirasi Nexbyte bukan sekadar memenuhi keperluan pendidikan tinggi, tetapi juga menyumbang kepada pembangunan modal insan kelas pertama yang akan memacu Malaysia ke arah kemajuan mampan.
Pelengkap
Sebagai inisiatif teras UiTM, modul ini bukan sekadar program pembangunan pelajar konvensional tetapi menyokong tujuh fokus utama KPT dalam transformasi landskap pendidikan tinggi negara. Lebih dari sekadar program pembangunan pelajar, inisiatif ini merupakan faktor penentu yang secara aktif membentuk masa hadapan pendidikan tinggi Malaysia melalui pendekatan lebih holistik.
Modul ini melengkapkan mahasiswa dengan kemahiran insaniah dan kepimpinan yang holistik melalui pendekatan bersepadu. Pembangunan bakat dilihat melangkaui kecemerlangan akademik semata-mata dengan menekankan elemen-elemen penting seperti pemikiran kritis, kreativiti dan kemahiran interpersonal.
Program seperti Celik Fikir dan Kecemerlangan Mahasiswa melatih generasi muda untuk menjadi pekerja pengetahuan yang mampu bersaing di peringkat global. Ini selari dengan matlamat negara untuk melonjakkan Malaysia ke kedudukan 30 teratas dalam Indeks Daya Saing Dunia menerusi pembangunan modal insan berkualiti tinggi.
Melalui komponen UiTM Cergas, modul ini membangunkan ekosistem pembelajaran yang menyokong kesihatan menyeluruh. Implementasi program kesedaran mental, kemudahan kaunseling dan aktiviti fizikal terancang menangani isu kritikal kesihatan pelajar yang menjadi fokus utama KPT.
Pendekatan ini menyumbang kepada penurunan kadar tekanan pelajar dan peningkatan produktiviti akademik, sekali gus meningkatkan reputasi institusi pendidikan tinggi tempatan di persada antarabangsa.
Transformasi penting dalam usaha Malaysia untuk menjadi hab pendidikan serantau yang berdaya saing.
Modul Aspirasi Nexbyte bertujuan membentuk kepimpinan pelajar melalui penerapan nilai tadbir urus baik berasaskan DNA Jiwa UiTM. Program pembangunan karakter ini melahirkan pemimpin muda beretika, berintegriti dan beridentiti nasional, selaras dengan usaha kerajaan memperkukuh jati diri generasi muda.
Modul ini turut menyokong transformasi pendidikan tinggi ke arah sistem yang telus, berakauntabiliti dan berorientasikan hasil.
Komponen keselamatan dalam modul memberi penekanan kepada literasi digital, keselamatan siber dan pemikiran analitikal. Ia melengkapkan mahasiswa dengan kemahiran penting bagi menghadapi cabaran Revolusi Industri 4.0 dan menyokong inisiatif Kementerian Pendidikan Tinggi dalam mempercepat transformasi digital IPT.
Pembangunan kompetensi digital ini juga penting dalam melahirkan tenaga kerja berkualiti ke arah mencapai status negara berpendapatan tinggi.
Modul Aspirasi Nexbyte bukan sekadar program universiti, tetapi pelaburan strategik negara dalam membentuk insan berintegriti, selaras dengan agenda transformasi pendidikan nasional.
Dengan pendekatan holistik dan pelaksanaan bersepadu, modul ini mengukuhkan peranan UiTM sebagai institusi pengajian tinggi terulung yang komited menjayakan visi Malaysia Madani melalui kecemerlangan pendidikan dan pembangunan sahsiah pelajar secara menyeluruh. – UTUSAN
PROFESOR Dr. Mohd. Sazili Shahibi ialah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM).






