HARI pertama Mesyuarat Kedua, Penggal Keempat Parlimen Ke-15 pada Isnin 21 Julai 2025 menyaksikan sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat menyentuh langkah kerajaan dalam membina keupayaan pertahanan kendiri. Dalam jawapan lisannya, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin telah mengulas beberapa perkara.
Sebahagian besarnya adalah usaha Kementerian Pertahanan untuk memastikan keutuhan pertahanan negara. Antara inisiatif yang dinyatakan adalah pertimbangan kerajaan terhadap tawaran kerjasama penyelidikan oleh negara-negara luar. Pada masa yang sama, beliau menyentuh tentang penstrukturan semula Majlis Strategik Industri Pertahanan (MIDES) bagi menambah baik tadbir urus industri pertahanan tempatan.
Industri pertahanan negara sememangnya sedang menyaksikan beberapa perubahan yang menarik sejak tahun lalu. Selain penstrukturan semula MIDES, pembentukan Gabungan Industri Pertahanan Malaysia (CDIM) pada 2024 adalah antara perkembangan yang memberangsangkan. Inisiatif tersebut menandakan titik mula kepada strategi pertahanan negara yang berpaksikan kepada kebolehan industri dan pemain tempatan.
Sebelum ini, Mohamed Khaled pernah menegaskan entiti seperti ini penting agar ia berfungsi sebagai enjin penyelarasan antara pemain domestik dalam menghadapi cabaran pertahanan kontemporari. Menurut beliau, CDIM dibentuk untuk membina rangkaian yang menyatukan pembuat keputusan, penyelidik, jurutera tempatan dan pengeluar komponen strategik dalam satu ekosistem.
Tujuannya jelas, mempercepat pembangunan kapasiti nasional yang berdaya cipta, mampu berdikari dan bersedia menyahut cabaran pertahanan moden. Dengan mengambil kira kedinamikan geopolitik yang semakin mencabar serta perkembangan teknologi yang sangat pantas, tumpuan terhadap peralihan ke arah model industri pertahanan yang lebih terbuka dan menyumbang secara langsung kepada keupayaan tempatan merupakan langkah yang tepat.
Apatah lagi dalam konteks serantau yang menyaksikan peningkatan pelaburan dan pembangunan industri pertahanan, inisiatif seperti ini sangat diperlukan bagi membina jaringan yang berdaya saing dan mengelakkan jurang strategik yang semakin melebar.
Daya Saing Industri Pertahanan
Lawatan kerja Mohamed Khaled ke Perancis pada 5 Julai 2025 baru-baru ini turut melibatkan pihak CDIM bagi membawa dan mendedahkannya ke peringkat antarabangsa khususnya dalam usaha membina jaringan industri pertahanan yang lebih besar dan bersifat transnasional.
Aspirasi tersebut membawa kepada pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara CDIM bersama tiga entiti utama Perancis iaitu GICAN (maritim), GICAT (daratan dan udara-darat) dan GIFAS (aeroangkasa). Perjanjian ini disusun bagi memperkukuh keupayaan industri tempatan melalui pertukaran teknologi, pembinaan kapasiti dan peluasan pasaran.
Perkongsian bersama pihak luar yang berpengalaman luas seperti ini mempunyai beberapa kelebihan utama. Pertama, ia memberi ruang kepada syarikat Malaysia untuk terlibat lebih awal dalam proses reka bentuk, ujian dan penyelenggaraan teknologi pertahanan. Kedua, pendedahan sedemikian akan sekali gus membina reputasi pemain industri pertahanan tempatan sebagai rakan strategik yang setanding dan berdaya saing.
Ketiga, ia menjadi platform yang lebih tersusun kepada proses pemindahan pengetahuan mendalam dan berskala strategik, dengan tumpuan kepada pembangunan bersama berbanding model perolehan siap guna.
Paling penting, pendekatan ini membentuk satu dimensi baharu dalam kerjasama pertahanan yang memposisikan industri tempatan sebagai rakan pembangunan teknologi, dan tidak hanya berfungsi sebagai sekadar ‘agen’ atau ‘orang tengah’ atau pembekal akhir yang tidak mempunyai kemahiran teknologi atau kepakaran teknikal sendiri yang mendalam.
Leftenan Jeneral Gaël Diaz de Tuesta, Pengarah Persenjataan Nasional Perancis menyuarakan minat terhadap model kerjasama industri yang lebih fleksibel, termasuk pendekatan bersama yang pernah diterapkan dalam program kapal tempur pesisir (LCS). Lebih menarik, dalam kerjasama ini, tumpuan diberikan kepada keterlibatan awal pemain-pemain industri dari Malaysia dalam fasa pembangunan dan bukan sekadar muncul pada fasa pembekalan akhir.
Kedudukan Malaysia
Kerjasama strategik yang dibentuk melalui CDIM memberi petunjuk jelas tentang usaha kerajaan dalam meningkatkan daya saing industri pertahanan tempatan. Akses kepada rangkaian penyelidikan, latihan teknikal dan pasaran antarabangsa membuka ruang kepada syarikat
Malaysia untuk menyertai rantaian pembangunan global. Ini memberi kesan langsung kepada rantaian bekalan domestik, mencetus permintaan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan memperkukuh profil eksport produk pertahanan tempatan.
Pendekatan ini mengukuhkan daya saing industri pertahanan tempatan melalui peningkatan kredibiliti dan reputasi kejuruteraan nasional. Penglibatan awal syarikat tempatan dalam reka bentuk dan pelaksanaan bersama rakan luar akan secara langsung membina keyakinan terhadap keupayaan kita secara menyeluruh. Proses ini membentuk penanda aras baharu, sekali gus menjadi satu suntikan serta lonjakan dalam menaikkan disiplin teknikal serta standard operasi agar selaras dengan tuntutan pasaran serantau dan global.
Langkah ini digerakkan dalam satu persekitaran serantau yang sedang menyaksikan peningkatan ketara dalam pemodenan aset pertahanan. Pendekatan kerajaan yang memilih untuk menumpukan kepada pembinaan kapasiti industri pertahanan tempatan secara berperingkat dan tersusun merupakan satu langkah yang bersesuaian dengan iklim pertahanan serantau.
Pendekatan ini lebih berakar kepada keberdayaan sistemik berbanding pengumpulan aset fizikal secara mendadak. Dalam erti kata lain, pembinaan kekuatan pertahanan negara mesti digerakkan oleh kemampuan industri pertahanan dalaman yang diharap berupaya menyumbang secara konsisten kepada keupayaan ketahanan jangka panjang.
Kerjasama Malaysia-Perancis melalui CDIM ini mencerminkan peralihan penting dalam orientasi dasar pertahanan negara. Ini jelas menunjukkan Malaysia kini meletakkan industri pertahanan tempatan sebagai komponen utama dalam ekosistem keselamatan dan pembangunan ekonomi. Kita tidak boleh sekadar menjadi ‘jaguh kampung’.
Dan itu pun, jika kita benar-benar layak digelar jaguh di kampung sendiri. Seperti yang dihasratkan oleh Menteri Pertahanan, berbekalkan pelaksanaan yang tersusun dan sokongan dasar yang konsisten, industri pertahanan tempatan berpotensi menjadi sumber pertumbuhan strategik yang menyumbang kepada daya saing, kapasiti eksport dan kemandirian jangka panjang negara selain berdiri sebagai tunggak utama dalam pembinaan keupayaan pertahanan kita. – UTUSAN
PENULIS sedang mengikuti pengajian peringkat Doktor Falsafah (PhD) di Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan merupakan pensyarah sambilan di Pusat Pendidikan Profesional dan Lanjutan (PACE), Universiti Utara Malaysia (UUM).






