WATAK Hanuman yang muncul dalam epik Ramayana langsung tidak asing bagi masyarakat pelbagai kaum dan latar budaya di Malaysia, Singapura, Thailand dan Indonesia.
Malah, epik yang dikarang Valmiki turut diolah dalam pelbagai versi mengikut citarasa budaya setempat. Misalnya, Hikayat Seri Rama (Malaysia), Maharadia Lawana (Filipina), Yama Zatdaw (Myanmar), Kakawin Ramayana (Indonesia), Ramakien (Thailand), Ramaenna (Jepun), Reamker (Kemboja) dan Phra Lak Phra Lam (Laos). Di Thailand, watak Hanuman dan Ravana lebih penting berbanding Rama.
Dalam versi Melayu, kisah Rama dan Sita diberi keutamaan. Di Indonesia, khasnya di Jawa dan Bali, watak Hanuman tetap menonjol sehingga kini, misalnya menerusi tarian kecak dan wayang wong.
Kisah Pengembaraan ke Barat dalam tradisi negara China turut mengangkat watak Hanuman sebagai Sun Wukong. Banyak juga filem di India dan luar negara berkisar tentang Ramayana dan Hanuman.
Sejak kecil, saya sendiri amat kagum dengan watak Hanuman. Maka, terhasil cerpen Hanuman: Pasca Rama dalam buku Orang Dimensi (1994). Kemudian, saya kembangkan menjadi novel Hanuman: Potret Diri (1996) dan versi kemas kini berjudul Hanuman: Suara Hati (2013).
Novel itu pernah diadaptasi menjadi skrip teater dengan judul Hanuman dan dipersembahkan dalam bentuk wayang kulit dan wayang wong oleh Yayasan Warisan Johor pada Julai 2005.
Dalam cerpen bertajuk Rudra Avatara (Dewan Sastera, Januari 2005), ditampilkan watak seorang doktor yang percaya anaknya mungkin inkarnasi Hanuman.
Pada pemerhatian saya, watak Hanuman dalam epik Ramayana bukan sekadar tokoh mitos; sebaliknya lambang kekuatan, kesetiaan dan kebijaksanaan merentas sempadan geografi dan budaya.
Di Asia Tenggara, Hanuman bukan sahaja dikenali sebagai pahlawan era atau monyet dalam kisah epik dan hikayat, malah diangkat sebagai ikon budaya dan spiritual yang meresap ke dalam pelbagai bentuk seni dan tradisi tempatan.
Di Indonesia, khususnya di Jawa dan Bali, Hanuman masih memainkan peranan penting dalam seni persembahan tradisional seperti wayang kulit dan wayang wong.
Dalam wayang kulit di Indonesia, Thailand dan Malaysia, Hanuman digambarkan sebagai tokoh yang bijak dan berani, sering kali menjadi simbol kebijaksanaan dan keberanian dalam menghadapi cabaran.
Persembahan wayang wong di Indonesia pula menampilkan Hanuman dalam bentuk tarian teater di mana gerak-geri dan ekspresi penari mencerminkan sifat dinamik dan semangat juang.
Kisah Hanuman atau Anoman juga diabadikan dalam ukiran batu di candi Prambanan, lalu menjadi bukti betapa mendalamnya pengaruh watak itu dalam budaya Jawa.
Hanuman berbulu putih dijadikan maskot Sukan Asia Tenggara ke-19 di Jakarta pada Oktober 1997. Saya berpeluang saksikan kerana kebetulan menyertai Program Penataran Sastera anjuran Majlis Sastera Asia Tenggara (Mastera).
Di Thailand, Hanuman dikenali melalui epik Ramakien dan sering muncul dalam persembahan khon, sebuah teater bertopeng yang menggabungkan tarian, muzik dan lakonan.
Dalam khon, Hanuman digambarkan sebagai tokoh yang lincah dan berani, dengan gerakan tarian kompleks dan penuh tenaga melawan Thotsakan (Ravana).
Persembahan ini bukan sahaja menghiburkan, malah mendidik penonton tentang nilai, moral dan etika yang terkandung dalam kisah Hanuman.
Di Kemboja, Hanuman muncul dalam epik Reamker. Salah satu persembahan terkenal yang menampilkan Hanuman ialah Robam Sovann Maccha.
Babak itu menceritakan pertemuan Hanuman dan puteri duyung bernama Sovann Maccha.
Tarian tradisional Kemboja menggambarkan Hanuman sebagai tokoh yang bijak dan penuh kasih sayang, serta mampu menawan hati musuh melalui kebijaksanaan dan kelembutan. Persembahan ini sering dipentaskan dalam upacara keagamaan dan kebudayaan, menandakan peranan penting Hanuman dalam kehidupan spiritual masyarakat Kemboja.
Seni persembahan yang menampilkan watak Hanuman bukan sahaja berfungsi sebagai hiburan tetapi juga sebagai medium pendidikan dan penyebaran nilai-nilai murni.
Melalui tarian, teater dan penceritaan, kisah Hanuman wajar disampaikan kepada generasi muda sebagai usaha memastikan nilai-nilai seperti kesetiaan, keberanian, kebijaksanaan dan kerendahan hati terus diwarisi dan diamalkan.
Ternyata watak Hanuman dalam tradisi epik Asia Tenggara merupakan simbol kepada nilai-nilai murni yang kekal relevan sepanjang zaman.
Melalui pelbagai bentuk seni persembahan dan penulisan sastera, kisah Hanuman terus hidup dan memberi inspirasi kepada masyarakat supaya mengamalkan prinsip-prinsip mulia dalam kehidupan seharian.
Saya amat optimis bahawa dengan memahami dan menghayati kisah Hanuman, generasi muda dari pelbagai latar budaya mampu membina jati diri yang kukuh berlandaskan nilai-nilai universal melampaui sempadan etnik dan agama. Kita juga dapat membina masyarakat yang lebih beretika, berani dan berjiwa besar.
Di Malaysia, pengaruh Hanuman hadir melalui Hikayat Seri Rama iaitu adaptasi setempat yang menggabungkan unsur Hindu dan Islam. Dalam hikayat ini, Hanuman digambarkan sebagai tokoh yang setia, berani dan membantu Seri Rama dalam usaha menyelamatkan Siti Dewi.
Kisah ini sering dipentaskan melalui wayang kulit di mana Hanuman menjadi simbol keberanian dan kesetiaan yang patut dicontohi. Walaupun kini Ramayana mungkin diketepikan dan dilihat sebagai teks berunsur Hindu, usah kita lupa bagaimana ini mempengaruhi sebahagian budaya, pemikiran dan imaginasi orang Melayu pada masa lalu.
Tarian Zapin Hanuman Salor yang masih popular di Kota Bharu, Pasir Mas dan Tanah Merah, Kelantan pula wajar dipromosi secara lebih giat kerana amat sesuai bagi kanak-kanak.
Apa yang pasti, nilai-nilai murni yang terkandung dalam kisah Hanuman amat relevan untuk generasi muda masa kini. Kesetiaan Hanuman kepada Rama mengajar kita tentang pentingnya setia kepada prinsip, tanggungjawab dan pemimpin.
Keberanian Hanuman dalam menghadapi cabaran menunjukkan bahawa berbekalkan semangat dan tekad, kita mampu mengatasi segala rintangan.
Kebijaksanaan menyelesaikan masalah mengingatkan kita tentang pentingnya menggunakan akal dan pertimbangan dalam membuat keputusan.
Walaupun Hanuman memiliki kuasa mistik dan kekuatan luar biasa, sifat rendah diri yang dimiliki mampu mengajar kita tentang pentingnya merendah diri dan tidak sombong dengan kelebihan yang dimiliki. – UTUSAN
PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).






