Mulai 31 Ogos lalu, semua rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas berhak menggunakan bantuan tunai RM100 yang dikreditkan terus ke dalam MyKad mereka. Bantuan ini boleh dibelanjakan untuk membeli barangan asas daripada 14 kategori terpilih di lebih 4,100 premis di seluruh negara.
Tempoh penebusan bantuan ini adalah sehingga 31 Disember 2025, memberi ruang empat bulan penuh untuk rakyat membelanjakannya sebelum tarikh luput.
Buat pertama kalinya dalam sejarah negara, semua rakyat menerima bantuan secara serentak, tanpa sebarang syarat selain had umur 18 tahun. Kaya atau miskin, tua atau muda, lelaki mahupun perempuan — semuanya layak.
Inisiatif bantuan secara one off’ di bawah payung Sumbangan Asas Rahmah (SARA) itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 22 Julai lepas.
Pemberian sempena Hari Kebangsaan ke-68 itu merupakan ikhtiar segera bagi meringankan beban sara hidup, selain sebagai penghargaan kepada rakyat. Ia dijangka memberi manfaat kepada 22 juta penduduk dengan peruntukan RM2 bilion.
Tidak semua yang menyambutnya dengan gembira. Di mata segelintir pihak ia dilihat secara sinis. Mereka menyifatkannya sebagai tindakan populis yang tidak lebih daripada ‘pancingan politik’. Malah ada yang menganggapnya sebagai umpan pilihan raya.
Kerana tidak ada alasan yang lebih baik, maka yang mengkritik itu mengajak khalayak untuk percaya bahawa pemberian yang bersifat menyeluruh, di mana semua orang, termasuk kumpulan T20 mendapatnya itu adalah satu bentuk pembaziran. Ia ibarat memberi garam kepada laut.
Kritikan bahawa T20 juga menerima bantuan ini boleh dijawab dari sudut pragmatik. Yang paling mudah adalah memberitahu mereka bahawa kos pentadbiran untuk menyaring 22 juta rakyat mengikut tahap pendapatan bagi pemberian sekali beri ini adalah sangat tinggi dan tidak berbaloi.
Namun Amirudin Shari dan Nurul Izzah Anwar mengambil kesempatan untuk menggunakan peruntukan SARA dan berbelanja bagi membeli barang keperluan dan menyerahkannya kepada mereka yang memerlukan. Kempen ‘Pass It Forward’ ini adalah satu usaha murni untuk mengagihkan peruntukan SARA kepada mereka yang memerlukan merupakan sesuatu yang wajar dipuji.
Mereka cerdik memanjangkan bantuan kepada yang memerlukan. Tetapi ada baiknya juga jika kritikan itu tidak dijawab langsung kerana bagi orang yang kerjanya mencari salah, selurus mana pun jalan yang ditunjuk, dia tetap akan mencari bengkoknya.
Sebab itulah agaknya Dale Carnegie dalam bukunya ‘How to Win Friends and Influence People (1936) menulis: “Any fool can criticize, condemn, and complain — and most fools do.” Saya terjemahkan begini: “ Mengkritik, menghukum, dan merungut itu kerja mudah. Sebab itu, ramai orang yang tidak cerdik suka melakukannya.”
Bagi golongan berada, RM100 mungkin tidak memberi makna apa-apa. Tidak cukup untuk membeli sebatang curut Havana, apatah lagi sekotak. Tidak cukup untuk mengisi penuh tangki kereta mewah mereka yang sekali isi boleh mencecah ratusan ringgit. Tidak cukup untuk membayar sehelai kemeja atau tudung jenama antarabangsa. Tidak cukup untuk sepotong kek di kafe eksklusif atau sebotol minyak wangi berjenama.
Franklin D. Roosevelt, dalam ucapan sulungnya bersempena pelantikan sebagai Presiden Amerika Syarikat bagi kali yang kedua pada 20 Januari 1937 berkata:
“Ujian terhadap kemajuan kita bukanlah sama ada kita menambah kepada yang ada banyak, tetapi sama ada kita menyediakan secukupnya kepada mereka yang ada terlalu sedikit.”
Saya percaya pendekatan seperti itulah yang diambil oleh Kerajaan Madani apabila mengumumkan insentif RM100 untuk semua. Kerajaan sedar bahawa RM100 yang tidak mempunyai apa-apa makna bagi sekumpulan orang itu mempunyai nilai yang berbeza dalam kalangan majoriti rakyat lainnya.
Bagi seorang pelajar universiti, RM100 yang dijimatkan kerana tidak perlu mengeluarkan wang sendiri untuk membeli barang keperluan itu mungkin bermakna adanya wang saku untuk dua minggu.
Bagi seorang pekerja kilang dengan gaji bersih bulanannya mungkin hanya dua pertiga daripada gaji minimum, nilai RM100 itu boleh menampung perbelanjaan minyak motosikal selama sebulan.
Bagi ketua keluarga dengan tiga anak yang masih kecil, dengan RM100 itu bolehlah dia memenuhi permintaan anak-anak (dan isteri) yang lama tertangguh iaitu untuk makan di restoran atau meronda pasar malam.
Bukan semua yang tidak mampu itu berada dalam senarai e-Kasih dan layak menerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) atau SARA bersasar. Ada yang ‘dikhianati’ oleh rekod pendapatannya sendiri. Di atas kertas pendapatannya banyak, sekali gus menjadikan dia tidak layak. Tetapi realitinya dengan pendapatan bersih yang hanya ‘cukup-cukup’ makan, dan kos sara hidup yang terus menekan, dia terkapai-kapai; bumi tidak cecah, langit tidak sampai. Dan bagi golongan ini, apa sahaja pendapatan tambahan, akan memberi makna yang sangat besar.
Justeru, bantuan menyeluruh seperti RM100 untuk semua ini dapat menutup seketika jurang yang wujud antara golongan miskin tegar dengan kelompok sederhana bawah (lower middle income) yang turut terbeban.
Perlu juga diingat bahawa jika dilihat dalam konteks yang lebih luas pemberian RM100 itu, walaupun bersifat individu, turut membawa rahmat kepada sebuah keluarga.
Dengan seorang mendapat RM100, maka sepasang suami isteri dengan anak-anak yang masih kecil, memperoleh RM200 sebagai pendapatan tambahan keluarga manakala keluarga dengan ibu, bapa dan tiga anak berumur lebih 18 tahun, sudah tentulah memperoleh pendapatan terkumpul RM500 – jumlah yang cukup besar bagi golongan marhaen walaupun mungkin tidak dipandang sebelah mata orang golongan kayangan.
Perkara lain yang tidak kurang pentingnya adalah langkah ini memberi suntikan besar kepada aliran tunai ekonomi domestik.
Dari sudut ekonomi, suntikan RM2 bilion ke dalam pasaran runcit dalam tempoh empat bulan adalah pemangkin kepada pertumbuhan mikro. Ia meningkatkan kuasa beli rakyat, sekali gus membantu peniaga kecil dan sederhana di seluruh negara.
Kajian ekonomi menunjukkan bahawa bantuan tunai bersifat segera sering digunakan untuk perbelanjaan keperluan asas, bukannya untuk simpanan. Ini bermakna RM100 yang dikreditkan akan terus beredar dalam bentuk transaksi – dari rak pasar raya ke peniaga, dari peniaga ke pemborong, dari pemborong ke pengeluar tempatan. Kesan pengganda (multiplier effect) ini menjadikan setiap ringgit yang dibelanjakan berulang kali memberi manfaat kepada ekonomi.
Bantuan RM100 one-off ini bukan berdiri secara bersendirian. Ia sebahagian daripada rangkaian dasar ekonomi kerajaan yang bertujuan memastikan tiada rakyat terpinggir. Dalam Belanjawan 2025 kerajaan memperuntukkan RM13 bilion untuk STR dan SARA – peningkatan RM3 bilion berbanding RM10 bilion pada 2024.
Untuk tahun 2025 ini, lebih 5.4 juta penerima mendapat bantuan STR dengan tambahan SARA, termasuk RM100 sebulan untuk isi rumah dan RM50 untuk warga emas, manakala bagi rumah miskin tegar, bantuan SARA dinaikkan kepada RM2,100 setahun berbanding RM1,200 pada 2024.
Manfaat lain yang dibawa oleh inisiatif ini adalah ia meningkatkan keyakinan pengguna kerana apabila rakyat mempunyai tunai tambahan, mereka lebih yakin untuk berbelanja, sekali gus meningkatkan permintaan dalam pasaran domestik.
Pada masa sama, selain menyokong perniagaan di lebih 4,100 premis terlibat, yang tentunya menerima lonjakan jualan, ia dapat mengurangkan tekanan psikologi kerana dalam hambatan inflasi aspek emosi penting dijaga demi kestabilan sosial.
Akhirnya, bantuan RM100 ini wajar dilihat lebih daripada sekadar angka. Ia melambangkan keprihatinan kerajaan kepada semua rakyat tanpa mengira status.
Bagi mereka yang benar-benar memerlukan, nilai ini mungkin menjadi penyelamat dalam minggu-minggu mencabar. Bagi ekonomi negara, ia adalah suntikan tunai bernilai berbilion ringgit yang menggerakkan roda perdagangan domestik.
Datuk Dr. Budiman Mohd. Zohdi ialah bekas Ahli Parlimen Sungai Besar.






