OGOS lalu, semasa sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan pengurangan kira-kira 5,000 kakitangan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dibuat atas faktor pertindihan fungsi dalam tenaga kerja.
Penggunaan teknologi, digitalisasi dan kecerdasan buatan (AI) antara faktor-faktornya.
Namun, isu pemberhentian pekerja itu menjadi polemik kerana beberapa kenyataan yang dilihat tidak konsisten.
Antaranya melibatkan ‘ramai pekerja Petronas dengan perjawatan berstatus kontrak’.
Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz sebelum itu berkata, pihaknya mengurangkan 10 peratus pekerja dalam proses penstrukturan semula syarikat minyak negara itu.
Tengku Muhammad Taufik berkata, langkah itu susulan keadaan keseluruhan industri minyak dan gas tidak berapa baik pada masa ini.
Ia bermula dengan satu kenyataan yang ringkas, tetapi besar implikasinya: ‘Ramai pekerja kontrak akan diberhentikan.’
Panik mula melanda. Ada yang mungkin sudah mengemas meja. Ada yang menangis di surau. Ada yang terus diam, seakan menelan berita yang terlalu pahit untuk ditelan.
Tapi kemudian, datang kenyataan baharu: Mostly (kebanyakan) pekerja akan terlibat.’
Dua perkataan, ‘semua’ dan mostly bukan sekadar perbezaan semantik. Ia membawa beban yang sangat besar kepada ribuan pekerja. Jika ‘semua’, maka tiada harapan. Jika mostly, maka ada yang mungkin selamat. Dan dari sinilah bermula pertelagahan dan kekeliruan.
Itu rumusan ringkas daripada individu berpengalaman selama 30 tahun sebagai Perunding Sumber Manusia, HR Advisory & Services, Zahid Mohammad Sham.
Pengalaman Zahid bukan calang-calang. Beliau pernah berkhidmat sebagai Ketua Sumber Manusia bagi Malaysia di Transocean Drilling, sebuah syarikat peneraju global berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) yang menjadi kontraktor utama kepada Petronas.
Kepakarannya dalam bidang sumber manusia ditagih ramai, sehingga sebuah syarikat di Australia menggunakan khidmat kepakarannya berhubung prosedur pemberhentian pekerja agar dilaksanakan mengikut lunas undang-undang.
Zahid memiliki pengalaman luas dan berprofil tinggi dalam pelbagai industri termasuk syarikat multinasional (MNC), syarikat berkaitan kerajaan (GLC), serta sektor minyak dan gas.
Pengalaman beliau merangkumi pengurusan sumber manusia strategik, pembangunan organisasi dan kepemimpinan dalam persekitaran korporat bertaraf antarabangsa.
Ketika berita pemberhentian pekerja tersebar, saya bertanya sendiri pada rakan yang bekerja dalam bidang teknologi maklumat di syarikat cari gali terkemuka itu.
Umurnya baru 30an, tetapi gaji sudah mencecah lima angka. Ketika soalan diajukan, beliau sugul dan terdiam. Tidak ada respons dengan soalan diberikan.
Hemat saya, dia juga antara 5,000 pekerja yang terlibat dalam proses pemberhentian ini.
Namun, saya percaya, Petronas sudah tentu menyusun strategi dan memastikan pekerja yang diberhentikan mempunyai skil dan kemahiran untuk meneruskan karier di luar syarikat itu.
Malah, mungkin dengan wang pampasan yang diterima kelak, cukup untuk dijadikan sebagai modal memulakan perniagaan.
Pada masa sama, perlu diingat, gaji besar komitmen juga menggunung. Kalau sudah terbiasa pakai kereta berjenama BMW, apakah boleh menukar Perodua demi penjimatan dan gaya hidup?
Persoalan itu semuanya perlu diuruskan dengan baik oleh semua pekerja yang menerima notis pemberhentian kelak.
KONFLIK PETROS
Pertikaian undang-undang antara Petronas dan Petroleum Sarawak (Petros) mengenai hak pengagihan gas di Sarawak kini berlanjutan di mahkamah, sekali gus meletakkan isu hak negeri dan perundangan Persekutuan dalam perhatian.
Perkembangan terbaharu menyaksikan Petronas mencabar kedudukan Petros sebagai pengagregat gas tunggal di negeri itu, satu langkah yang dilihat sebagai usaha untuk mempertahankan hak tradisinya di bawah Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974.
Menurut laporan CGS International, pertikaian itu kembali ke Mahkamah Tinggi Kuching selepas kedua-dua pihak gagal mencapai penyelesaian melalui rundingan yang diadakan selama sebulan sebelum ini.
Dalam masa sama, muncul pula faktor luar yang merumitkan keadaan, pemindahan operasi ke Sarawak dan pengukuhan Petros.
Banyak pihak mula mengaitkan pemberhentian ini dengan keputusan strategik untuk menyerahkan operasi tertentu kepada Petros, syarikat minyak dan gas milik kerajaan negeri Sarawak.
Ada yang melihat ini sebagai langkah memperkukuh autonomi negeri. Namun, dalam diam, ada pekerja melihat ia sebagai pemecatan halus yang berselindung di sebalik kerjasama negeri-persekutuan.
Zahid berharap pekerja Petronas di Sarawak dapat dikekalkan kerana risiko mengambil pekerja baharu yang belum tentu mengenali medan pelantar minyak dan sistem sedia ada.
Sarawak, katanya, mungkin rugi dalam jangka masa panjang jika terlalu banyak tenaga kerja berpengalaman digugurkan.
Apatah lagi apabila berita tersebar bahawa Petros gagal melaksanakan projek besar dengan syarikat dari AS, yang membawa kepada pembatalan kontrak bernilai berbilion ringgit.
SIAPA RUGI?
Dalam dunia korporat, angka memainkan peranan utama. Apabila sesebuah syarikat mengumumkan keuntungan, ia disambut dengan tepukan. Bila disebut kerugian, maka bermulalah pemotongan kos.
“Petronas tidak rugi sebenarnya. Keuntungan dia turun, ya. Tapi dia masih untung berbilion.
“Kalau mereka kata rugi, bolehlah kita faham tindakan pemberhentian. Tapi ini bukan rugi. Ini cuma turun keuntungan. Masih dalam zon selamat,” kata Zahid.
Kenyataan itu menggugat kepercayaan ramai. Ramai tertanya-tanya: Adakah pemberhentian ini benar-benar perlu, atau hanya strategi untuk menyesuaikan diri dengan agenda korporat tertentu?
Dalam setiap organisasi, keputusan sukar perlu diambil. Tetapi dalam mengambil keputusan, nilai manusia tidak sepatutnya diketepikan.
Pekerja bukan hanya angka. Mereka ada keluarga. Mereka ada sejarah. Mereka adalah tulang belakang kepada kejayaan masa lalu.
Mungkin yang lebih penting, adakah keputusan ini dibuat dengan rasa tanggungjawab atau sekadar strategi di atas kertas? – UTUSAN
HASIF Idris ialah wartawan Nexbyte.






