PADA 2018, kajian yang dibuat oleh Bahagian Psikologi dan Kaunseling, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mendapati 4.4 peratus daripada seramai 48,258 jumlah responden (guru) mengalami tekanan (stres) tahap sederhana tinggi.
Kajian akademik (2019) yang dijalankan Zahiruddin Othman dan Vevehkanandar Sivasubramaniam mendapati 9.9 peratus guru mengalami kemurungan sangat teruk, 23 peratus masalah kebimbangan dan tujuh peratus menghadapi tekanan minda.
Kajian ahli akademik dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Johns Hopkins pada 2022 mendapati 55 peratus guru sekolah menengah menunjukkan gejala psikologi iaitu tahap kesihatan mental lemah.
Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) juga pernah melaporkan bahawa mereka menerima antara 30 hingga 50 kes guru yang mengalami tekanan minda setiap bulan.
Pada 2023, di Melaka didapati seramai 648 guru (4.6 peratus) daripada sejumlah 13,976 guru di negeri itu mengalami tekanan dan kemurungan sehingga Ketua Menteri Melaka ketika itu mengarahkan Jabatan Pendidikan Negeri Melaka untuk menyiasat puncanya.
Oleh kerana isu kesihatan mental guru ini semakin meningkat, maka adalah wajar isu berkaitan kesihatan mental guru diberi perhatian dan diatasi segera supaya ia tidak menjadi barah yang sukar diatasi.
Para pendidik bertanggungjawab melahirkan modal insan yang berkualiti yang dapat berkhidmat dan menyumbang pada negara, bangsa dan agama.
Hakikatnya, guru adalah pembina masa depan anak bangsa mengikut wawasan, matlamat dan falsafah pendidikan negara. Ia merupakan tanggungjawab besar yang dipikul oleh setiap guru di negara ini.
Justeru, guru memerlukan tenaga, emosi dan mental yang stabil untuk menjalankan tanggungjawab dengan efisien dan cemerlang. Apa yang dihadapi oleh kebanyakan guru hari ini ialah terlalu banyak bebanan kerja yang bukan tugas hakikinya dipikul oleh guru sehingga ramai guru yang mengalami tekanan mental (jiwa) yang perlu diberi perhatian dan tindakan serius KPM.
Guru bukan sahaja perlu melaksana tugas hakikinya tetapi juga mereka terbeban dengan tugas-tugas bukan hakiki seperti tugas perkeranian dan pengurusan yang lainnya.
Ada pandangan dan statistik yang mengaitkan bebanan kerja guru yang berlebihan menyebabkan semakin ramai guru yang bersara awal seperti yang pernah dilaporkan oleh NUTP.
Antara puncanya ialah tidak tahan dengan bebanan tugas yang di luar dari tugas hakiki mereka sehingga menjejaskan kesihatan mental mereka.
Bebanan kerja yang berat inilah menyebabkan seseorang guru atau pendidik itu boleh terkesan mentalnya sedangkan mereka amat memerlukan kesihatan mental yang baik dan stabil bagi menyempurnakan tugas dan amanah yang mereka pikul, iaitu mengajar, mendidik dan membimbing anak bangsa.
Kesihatan mental guru yang stabil juga penting supaya mereka dapat menjalani kehidupan yang sempurna bersama keluarga dan hidup bermasyarakat.
Tahap kesihatan seseorang itu bukan hanya merujuk kepada kesihatan fizikal semata-mata tetapi juga tahap kesihatan mental dan emosi yang stabil.
Pastinya guru yang terjejas kesihatan mentalnya akan memberi kesan ke atas pelaksanaan amanah yang dipikul mereka. Amat dibimbangi ialah apabila masalah kesihatan mentalnya menjadi semakin serius disebabkan lewat atau tiada rawatan diberikan kepadanya.
Justeru, menjadi tanggungjawab pengetua atau guru besar yang mengetuai sesebuah sekolah itu mengenal pasti guru yang ada masalah kesihatan mental dan membantunya mendapatkan rawatan awal.
Guru-guru yang dikenalpasti bermasalah mental bolehlah dicadangkan menjalani ujian atau pemeriksaan mental. Justeru, saranan yang pernah dibuat oleh Yayasan Pendidikan, Kebajikan dan Penyelidikan Malaysia (EWRF) pada tahun lalu yang menggesa KPM menyediakan sokongan yang mencukupi bagi menangani isu kesihatan mental dalam kalangan pendidik perlu diberi perhatian serius.
Berasaskan laporan akhbar pada 2022 hingga 2024, EWRF menyebut bahawa guru berkemungkinan besar menghadapi cabaran dari segi kesihatan mental dan isu berkaitan tekanan minda kerana sering memberikan hukuman tidak wajar seperti memukul murid berulang kali selama lebih 30 minit, menjerit, menampar, menolak memaksa murid berdiri di bawah matahari hampir dua atau tiga jam.
Menurut EWRF, peningkatan kes-kes melibatkan keganasan, penderaan dan tindakan disiplin yang melampau oleh segelintir guru ke atas pelajar-pelajar amat membimbangkan dan ia berlaku dengan kekerapan tidak menentu.
Justeru, yayasan tersebut menyarankan agar bantuan dan sokongan diberikan kepada pendidik yang ada masalah mental sama ada melalui perkhidmatan kaunseling atau pertolongan daripada pihak profesional.
Hakikatnya, tekanan mental yang terlalu serius boleh menyebabkan mereka mengalami kemurungan dan penyakit-penyakit mental yang lain. Ia adalah produk kognitif yang telah mentafsirkan sesuatu keadaan itu, iaitu beban kerja sehingga boleh mencetuskan ketidakstabilan mental dan tingkah laku negatif guru berkenaan. Tekanan mental itu menyebabkan guru berkenaan berasa tidak selesa dan tidak gembira dengan bebanan kerja yang dihadapinya
Justeru, isu yang dihadapi oleh KPM ini bukan hanya boleh diselesaikan dengan mewajibkan saringan mental calon guru yang akan dipilih berkhidmat dalam bidang perguruan.
Langkah itu memang baik untuk dilaksana tetapi usaha mengurangkan bebanan kerja guru supaya mereka lebih fokus kepada kerja hakikinya adalah lebih penting lagi. Apa maknanya jika kita mengambil calon-calon guru yang sihat mentalnya tetapi setelah berkhidmat beberapa tahun mereka mula rasa tertekan dengan bebanan kerja yang berat sehingga boleh menjejaskan kestabilan mental dan emosi mereka.
KPM juga harus melihat beberapa faktor lain yang turut memberi kesan terhadap kesihatan mental guru seperti kurang motivasi, masalah disiplin, hubungan guru dengan pihak pentadbiran sekolah (pengetua dan guru besar), hubungan dengan ibu-bapa pelajar, tekanan masa dan tekanan terhadap perubahan yang berlaku dalam organisasi dan kurikulum pembelajaran yang sering berubah-ubah.
Situasi-situasi atau faktor-faktor tersebut juga boleh menimbulkan tekanan terhadap guru, sekali gus boleh menyebabkan mental guru terbabit terganggu.
Justeru, tidak hairanlah sering kita dengar guru bertindak di luar kawalan seperti mengeluarkan perkataan yang kesat terhadap pengetua atau guru besarnya, rakan-rakan gurunya, pelajar sehingga ada yang sampai memukul dan mencederakan sasarannya.
Kesihatan mental guru yang baik amat penting bagi guru menjalankan tugas sebagai pendidik dengan cemerlang. Kesihatan mental guru yang baik akan mencetuskan kecerdasan emosi, tingkah laku dan kesejahteraan psikologi yang baik yang akhirnya akan membawa kecemerlangan dalam dunia pendidikan kita. – UTUSAN
PENULIS adalah penganalisis sosiopolitik bebas.






