PELAN Pembangunan Pendidikan Tinggi (PPPT) 2025-2035 menandakan fasa baharu pendidikan tinggi Malaysia: Membina universiti madani yang mengangkat ilmu, nilai kemanusiaan dan akauntabiliti, serta memperkukuh integriti kukuh, martabat dan impak universiti sebagai institusi bertaraf dunia yang berakar pada budaya negara, kepentingan awam serta tanggungjawab nasional.
Pelan ini menyelaras autonomi universiti dengan akauntabiliti jelas; memartabatkan kebebasan akademik; menjamin pembiayaan stabil; mengukuhkan bakat, kemahiran dan mobiliti pensyarah serta ilmuwan; memacu pengantarabangsaan; menjana ilmu; memperluas penyelidikan berimpak; memodenkan tadbir urus melalui pendigitalan dan kecerdasan buatan; menyepadukan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET)–universiti; melindungi kesejahteraan dan keselamatan pelajar; serta menjejak prestasi melalui petunjuk terukur. Pelan menegaskan libat urus tersusun supaya dasar Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) diyakini rakyat secara meluas.
Peranan universiti kini semakin melampaui imej menara gading; universiti dilihat sebagai rakan strategik negara yang membantu kerajaan, industri dan masyarakat. Dasar “penterjemahan dan penyebaran ilmu” perlu dipertimbangkan di setiap universiti bagi memastikan penemuan penyelidikan yang sahih disalurkan kepada kementerian, pihak berkuasa, industri dan komuniti.
Melalui dasar ini, ilmu boleh diterjemah terus kepada garis panduan, pelan tindakan, latihan dan penambahbaikan polisi serta operasi sebenar, supaya penyelidikan memberi manfaat nyata kepada rakyat dan menyokong keputusan kerajaan berasaskan bukti, serta memperkukuh perkhidmatan awam, industri dan daya saing negara.
Pada masa sama, universiti diangkat sebagai rakan pembangunan negara yang relevan dan boleh dipercayai. Perkongsian dan penyebaran ilmu ini turut mendorong penambahbaikan silibus dan kurikulum universiti agar sejajar dengan keperluan sebenar industri, sekali gus menyokong kesejahteraan rakyat, pembinaan negara-bangsa dan daya saing ekonomi yang inklusif dan berdaya tahan.
Bagi memastikan ekosistem ini berfungsi dengan beretika, pelan menekankan bahawa integriti perlu menjadi teras tadbir urus universiti. Dicadangkan supaya Unit Integriti beroperasi terus di bawah Lembaga Pengarah Universiti (LPU) sebagai entiti yang bebas, mempunyai akses maklumat yang mencukupi, dan melapor secara berkala kepada LPU serta Bahagian Pengurusan Integriti Agensi di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Model ini memperkukuh ketelusan sedia ada, memastikan proses perolehan dan pelantikan kekal beretika, berakauntabiliti dan diyakini umum, serta memastikan operasi anak syarikat universiti berjalan secara telus, berintegriti dan bertanggungjawab.
Peranan LPU sendiri juga diperluas. LPU tidak hanya dilihat sebagai badan tadbir urus, tetapi sebagai penjaga amanah dana dan reputasi universiti. Ahli LPU digambarkan sebagai duta beretika yang mempunyai petunjuk prestasi utama (KPI) merangkumi jaringan antarabangsa, hubungan industri, pemadanan peluang strategik, pemacuan dana dan filantropi, serta keupayaan melonjakkan profil universiti tanpa menjejaskan autonomi akademik.
PPPT 2025–2035 perlu menyarankan agar pengerusi dan ahli LPU terdiri daripada tokoh yang memahami dunia akademia dan cabarannya, dan kepimpinan tertinggi universiti dilihat sebagai teladan dari segi integriti, ketelusan, ketekunan intelektual dan etika kerja, termasuk kemampuan mengangkat suara universiti Malaysia ke pentas antarabangsa.
Pelantikan naib canselor, timbalan naib canselor dan pentadbir universiti wajar melalui proses yang telus, berwawasan dan bebas prejudis. Matlamatnya bukan semata-mata melantik pemimpin, tetapi melantik tokoh moral dan intelektual yang boleh menyatukan komuniti akademik, memimpin pembangunan bakat, menjaga reputasi universiti di dalam dan luar negara, serta memastikan pengurusan kewangan, perolehan dan strategi dijalankan dengan disiplin yang tinggi.
Pelan ini juga menekankan kepentingan libat urus yang terbuka, inklusif dan tersusun. Polisi yang berkualiti lahir apabila suara pelajar, pensyarah, staf, alumni, industri, pertubuhan masyarakat sivil dan komuniti setempat didengar secara teratur.
Malaysia disaran menyesuaikan model kerjasama “empat heliks” (kerajaan–universiti–industri–masyarakat) dan membangunkan satu portal rundingan terbuka yang mesra rakyat, termasuk amalan pelaporan ringkas seperti “anda bersuara, inilah tindakan kami”. Mekanisme maklum balas seperti ini membantu memastikan dasar pendidikan tinggi benar-benar mencerminkan realiti di lapangan, bukan hanya aspirasi pentadbiran.
Pelan ini menandakan perubahan peranan KPT. KPT bukan hanya bertindak sebagai pengawal selia teknikal semata-mata, malah berfungsi sebagai pemacu reputasi pendidikan tinggi negara. Fokus baharu merangkumi penjenamaan universiti Malaysia di peringkat antarabangsa; pengukuhan rangkaian strategik dengan badan antarabangsa; galakan mobiliti ilmuwan serta pelajar antarabangsa; dan peluasan kerjasama global yang membawa masuk geran, teknologi serta pelaburan ilmu dan dana.
Kejayaan kementerian wajar turut diukur melalui kerjasama industri, perlindungan harta intelek, keupayaan menukar hasil penyelidikan kepada produk atau perkhidmatan yang membantu rakyat dan menjana ekonomi, serta pembinaan ekosistem bakat yang mampu melahirkan tokoh bertaraf Nobel, Fields, Turing atau L’Oréal-UNESCO.
Matlamat akhirnya ialah menjadikan ilmu sebagai asas kemakmuran negara yang mampan, beretika dan berdaya saing, sambil meneguhkan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi dunia yang diyakini, relevan kepada masyarakat, serta mampu menyediakan peluang pekerjaan mahir kepada graduan.
Pendekatan ini menegaskan bahawa pendidikan tinggi ialah pelaburan strategik untuk masa depan negara berkualiti.
Rangka ini menegaskan bahawa universiti, kerajaan, industri dan masyarakat perlu bergerak bersama, bukannya secara berasingan. Kerjasama yang telus, beretika dan berfokus kepentingan awam wajar diperkukuh sebagai usaha bersama negara.
PPPT 2025–2035 perlu menetapkan rangka kerja negara yang tersusun, beretika dan telus bagi memperkukuh universiti yang diyakini rakyat, dihormati antarabangsa dan menyumbang kepada pembinaan negara-bangsa, dengan KPT menerajui pemantauan, tadbir urus dan koordinasi demi kemampanan sistem pendidikan tinggi Malaysia yang adil, inklusif, mampan. – UTUSAN
PROFESOR Dr. Nuarrual Hilal Md. Dahlan ialah pensyarah di Pusat Pengajian Undang-Undang, Universiti Utara Malaysia, Ahli Bersekutu (ACIS), Institut Setiausaha dan Pentadbir Bertauliah Malaysia (MAICSA) dan Exco Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC).
PROFESOR Emeritus Tan Sri Dr. Anuwar Ali ialah bekas Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia dan Open University Malaysia.






