SELEPAS Titah Adendum berkaitan penahanan dalam rumah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diisytihar sebagai tidak sah oleh mahkamah, maka timbul cakap-cakap mengenai ketidakpuasan hati kelompok tertentu akan kedudukan UMNO/BN dalam kerajaan sekarang.
Tanpa berusaha menghadam hujah penghakiman di sebalik keputusan tersebut, kelompok-kelompok yang mahu Najib diberikan layanan lebih baik menuntut tindakan drastik daripada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi supaya mengkaji semua kerjasama parti itu dengan Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduan.
Lebih mewajarkan lagi tuntutan itu apabila terdapat segelintir pemimpin DAP yang ‘meraikan’ keputusan mahkamah itu secara terbuka.
Ia ibarat menabur garam pada luka yang dialami oleh para penyokong UMNO yang mengharapkan bekas bos mereka iu sekurang-kurangnya diberi peluang untuk menghabiskan sisa hukuman sebagai tahanan di rumah.
Tetapi tindakan pemimpin DAP bukannya di luar fitrah. Tentu semua masih ingat akan tsunami politik yang menghanyutkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) kira-kira tujuh tahun lalu.
Tidakkah mereka ingat betapa besarnya kempen untuk menjatuhkan Najib dengan menggunakan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST)?
Dua isu ini menjadi asas kepada PH yang ditunjangi oleh PKR dan DAP selain disokong oleh beberapa tokoh dan bekas pemimpin UMNO sendiri dengan matlamat untuk menyingkirkan Najib.
Tentu mereka yang terlibat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada tahun 2018 masih ingat akan gelombang anti-UMNO, BN dan Najib hingga mendorong pengundi di luar negara untuk pulang mengundi. Matlamatnya adalah menjatuhkan kepimpinan Najib dan menguburkan UMNO serta BN. Salah satu slogan mereka termasuk memenjarakan Najib.
Kempen mereka ternyata berkesan dan termakan oleh para pengundi apabila keputusannya menyaksikan UMNO/BN tewas buat kali pertama dalam tempoh lebih 60 tahun.
Rentetan daripada kekalahan itu menyaksikan satu demi satu hal yang berkaitan dengan Najib dan UMNO/BN tersungkur ke bumi. Kemuncaknya, Najib ditahan didakwa dan akhirnya ke penjara seperti mana naratif dalam kempen PRU14.
Jadi, tidak hairanlah kalau ada kumpulan tertentu yang meraikan keputusan mahkamah mengekalkan Najib di penjara.
Ini ditambah pula dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jumaat lalu yang mensabitkan Najib bersalah atas semua pertuduhan berkaitan penyelewengan dana 1MDB dan pengubahan wang haram.
Walaupun ia perit untuk diterima oleh ahli-ahli UMNO tetapi ia adalah realiti pahit yang perlu ditelan.
Juga perlu diingat, keputusan yang dibuat oleh mahkamah adalah berasaskan peruntukan undang-undang dan Perlembagaan. Setiap perincian diteliti dan dinilai sebelum hakim membuat keputusan.
Dan tentunya tidak adil jika mahkamah dituduh membuat keputusan disebabkan tekanan politik dan sebagainya. Tuduhan seperti ini bermakna kita menghina sistem perundangan dan kehakiman kita dan memaksa mereka membuat keputusan berdasarkan pendapat awam dan populariti.
Di sebalik jerit pekik para penyokong Najib supaya UMNO menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan, mereka juga jangan lupa untuk melihat di mana realiti parti itu berdiri.
Adakah UMNO kini berdiri di atas landasan yang kukuh atau nasibnya ibarat telur di hujung tanduk apabila wakil mereka di Parlimen kini tinggal 26 orang sahaja?
Juga kena tengok keputusan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini di mana UMNO/BN hanya menang enam daripada lebih 40 kerusi yang mereka tandingi. Apakah petunjuk dan iktibar yang boleh diambil daripadanya?
Memang diakui UMNO/BN menang besar pada PRN negeri Melaka dan Johor. Tapi itu sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). Ia tidak boleh dijadikan nostalgia untuk melangkah ke hadapan.
Sebelum apa-apa keputusan penting dibuat banyak persoalan yang perlu dijawab. Antaranya, adakah kerajaan ini akan tumbang jika UMNO/BN tarik sokongan? Jika bergabung dengan Perikatan Nasional (PN), adakah UMNO BN akan diagihkan kerusi secara sama rata pada PRU akan datang atau sekadar dibenar mempertahankan kerusi sedia ada?
Perlu diingat, ketika ini UMNO/BN langsung tidak ada kerusi Parlimen di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Selangor.
Walaupun tewas teruk dalam pilihan raya, tetapi disebabkan mereka bergabung dengan PH untuk membentuk kerajaan, UMNO/BN kini mempunyai lapan menteri penuh dalam Kabinet.
Malah dua Ahli Parlimennya, iaitu Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan Datuk Seri Noraini Ahmad kini menjawat jawatan strategik dalam Kabinet. Seorang lagi dari parti komponen iaitu Arthur Joseph Kurup juga kini menjawat jawatan menteri penuh.
Seperti yang diungkap oleh Penasihat Strategik Jkom, Datuk Dr. Budiman Mohd. Zohdi, jika UMNO/BN tarik sokongan, kerajaan sedia ada ini tidak akan tumbang.
Sebalik jawatan lapan menteri Kabinet yang dimiliki UMNO sekarang sudah tentu akan diserahkan kepada pihak lain. Maka segala agenda yang diperjuangkan oleh UMNO termasuk hak Melayu dan bumiputera akan lenyap begitu sahaja.
Sudah tentu juga pertemuan-pertemuan rasmi melalui agensi-agensi yang ada kepentingan langsung dengan bumiputera dan penduduk luar bandar seperti Risda, Felda, Felcra, Mara dan banyak lagi akan terputus.
Kata Dr. Budiman, sudah tentu juga akan terputus segala bentuk interaksi dengan pengundi muda di institusi pengajian tinggi awam dan swasta kerana pentasnya sudah tiada.
Sebab itu, ketika pelbagai lapisan penyokong UMNO beremosi kerana Najib kekal dalam penjara, mereka juga kena fikir adakah parti yang mereka sokong itu cukup kuat untuk ‘hidup’ bersendirian di luar kerajaan?
Jika esok Presiden UMNO membuat keputusan untuk menarik sokongan dan keluar daripada kerajaan, agak-agak di penghujung apakah hasilnya? Adakah kelebihan dan keuntungan yang akan diperoleh oleh UMNO?
Adakah ia jaminan bahawa parti itu akan mendapat sokongan sekurang-kurangnya majoriti mudah untuk membentuk kerajaan pada PRU akan datang? Atau bakal dipermainkan oleh mereka yang mahu mengambil kesempatan atas kelemahan UMNO?
Seperti kata Dr. Budiman, keutamaan UMNO ketika ini sepatutnya ditumpahkan kepada PRU akan datang. Dalam tempoh kurang daripada 18 bulan parti sepatutnya dibantu supaya kembali mendapat kepercayaan orang Melayu dan rakyat Malaysia.
Jika itu gagal dicapai, adakah UMNO/BN mampu kekal relevan selepas PRU16?
Aznan Bakar adalah Pengarang Nexbyte dan Mingguan Malaysia






