UMNO tidak lagi berada dalam fasa selesa. Parti ini sedang berdepan hakikat paling pahit dalam sejarahnya apabila sokongan rakyat kian menipis, kepercayaan yang retak dan berdepan persoalan besar tentang pendirian parti.
Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 bukan sekadar acara tahunan tetapi medan hidup-mati sebuah parti yang pernah menjadi tunjang kuasa negara. Di sinilah UMNO diuji sama ada terus bertahan dengan alasan politik semasa atau bangkit semula sebagai parti yang benar-benar mendengar rakyat.
PAU 2025 tampil sebagai titik kebangkitan apabila dilihat membawa semula aura perjuangan UMNO yang hampir pudar, sejak beberapa tahun ini.
Jika UMNO mahu hidup semula, inilah saatnya untuk benar-benar mendengar.
Bertahun-tahun UMNO diuji dengan krisis kepercayaan, perpecahan dalaman dan cabaran politik yang tidak pernah surut. Namun PAU kali ini memperlihatkan sesuatu yang berbeza dengan menjadi medan muhasabah, penentuan arah dan usaha membina semula keyakinan rakyat.
Ucapan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid jelas membawa mesej yang UMNO mesti kembali kepada peranannya sebagai parti yang memegang amanah kestabilan negara, bukan sekadar mengejar kuasa atau kebendaan.
Sementara penegasan tentang garis merah UMNO yang tidak boleh disentuh memberi isyarat parti ini masih memiliki prinsip teras yang perlu dipertahankan.
Dalam masa sama, presiden mengemukakan gagasan ‘rumah bangsa’, satu pendekatan yang mengajak UMNO memperbaiki, mencantikkan dan membesarkan rumahnya agar dapat menampung lebih ramai yang mahu kembali dengan niat ikhlas.
‘Rumah bangsa’ tidak boleh dilihat sekadar kiasan politik sebaliknya mencerminkan kesediaan kepimpinan untuk membuka pintu kepada mereka yang pernah tersasar, ditegur atau meninggalkan parti.
Nampaknya UMNO memahami yang parti ini tidak boleh membina kekuatan dengan menutup pintu, sebaliknya perlu membaiki semula rumah yang telah lama bocor dan retak, lalu mengajak semua yang sedar kembali untuk bersama-sama mempertahankannya.
Kehadiran semula beberapa figura lama, menjadi simbol pintu itu benar-benar dibuka. Namun, ‘rumah bangsa’ ini juga membawa tanggungjawab besar, biarlah hanya yang benar-benar ikhlas masuk, bukan mereka bermotifkan kepentingan peribadi.
Dalam kehangatan PAU 2025, satu lagi suara yang tidak wajar dipandang enteng ialah ucapan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhammad Akmal Saleh. Ungkapan beliau tentang “musuh nyata UMNO dalam kerajaan” mencetuskan reaksi panas, khususnya daripada rakan gabungan. Namun, suara ini sebenarnya adalah gema akar umbi dan penyokong yang sebahagiannya sudah hilang keyakinan kepada parti. Ingatlah, ini bukan jeritan kosong tetapi luahan jujur daripada mereka yang di bawah, yang setiap hari berhadapan realiti sentimen rakyat.
Amaran Dr. Akmal perlu dibaca sebagai cermin kepada perasaan orang Melayu di luar dewan perhimpunan yang mewakili kegelisahan ahli-ahli UMNO di peringkat cawangan dan bahagian apabila melihat sokongan rakyat semakin menipis sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018.
Mereka berdepan soalan, sindiran dan kekecewaan pengundi yang masih belum dapat menerima hakikat UMNO berada dalam satu kerajaan yang sama dengan DAP selepas PRU15.
Selama ini, pimpinan UMNO kerap menjelaskan kerjasama yang wujud ialah antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH), bukannya UMDAP. Di mata rakyat, perincian istilah itu tidak banyak mengubah persepsi.
Realiti ini sukar ditelan sebahagian besar pengundi Melayu yang melihat DAP sebagai parti yang sering bertentangan dengan sentimen dan aspirasi mereka.
Di sinilah UMNO perlu lebih jujur menilai denyut nadi rakyat. Rakyat perlu diperjelaskan tidak wajar terlalu takutkan DAP sekiranya bangsa Melayu terus bersatu dan akhirnya menjadi kelompok yang kuat.

MULA SEDAR
PAU 2025 memberikan petunjuk yang parti Melayu ini mula sedar hakikat, prinsip, garis merah dan ‘rumah bangsa’ sebenarnya membuka ruang untuk UMNO kembali membina identiti yang jelas.
Namun, usaha ini tidak akan berhasil jika suara akar umbi diabaikan. Amaran Ketua Pemuda tidak perlu dilihat sebagai ancaman yang boleh melemahkan parti tetapi untuk menyelamatkannya daripada terus terperangkap dalam krisis keyakinan rakyat.
Sejak ucapan Dr. Akmal, beberapa pimpinan dan ahli DAP mengeluarkan kenyataan sinis.
Ahli akar umbi dan penyokong UMNO melihatnya sebagai ‘sesuatu yang perlu dihentikan segera’ atau dalam kata lain hubungan kerjasama ini perlu diputuskan, apatah lagi beberapa perkara dilakukan pihak berkenaan yang mencabar prinsip parti dan Perlembagaan Persekutuan.
UMNO tidak boleh kembali kuat hanya dengan strategi elit. Kebangkitan sebenar mesti bermula dari bawah iaitu dari rasa percaya ahli dan pengundi yang parti ini masih memperjuangkan kepentingan mereka.
UMNO perlu berani memposisikan diri semula sebagai parti yang tegas, berprinsip dan tidak larut dalam kompromi yang menghakis jati diri.
‘Rumah bangsa’ yang ingin dibina mesti berteras nilai dan arah yang jelas. Jika rumah itu besar tetapi kabur identitinya, hanya akan menjadi tempat persinggahan sementara, bukan tempat membina masa hadapan.
UMNO perlu memastikan rumah itu teguh dengan asas perjuangan Melayu, Islam dan kestabilan negara.
Hasrat untuk mewujudkan kolaborasi agung menunjukkan strategi parti yang bersifat inklusif tetapi berhati-hati. Ini kerana kolaborasi tersebut boleh menyakitkan hati PKR yang merupakan parti berbilang kaum.
Pun begitu, Ahmad Zahid mengatakan pendekatan ini cuba menyatukan seluruh parti serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu dan Islam tanpa menggugat kestabilan Kerajaan Perpaduan menunjukkan perpaduan politik Melayu kini tidak lagi secara konfrontasi tetapi dijalankan dengan strategik.
Secara ringkas, kolaborasi ini adalah percubaan UMNO untuk menyatukan kekuatan tanpa mengorbankan prinsip atau merosakkan hubungan sedia ada, sambil memberi ruang kepada semua pihak menilai keikhlasan sebelum penggabungan rasmi.
Maka, untuk mengembalikan sokongan rakyat yang jelas berkurang sejak PRU14, UMNO perlu kembali jujur kepada parti dan rakyat. – UTUSAN
PENULIS ialah Penolong Pengarang Berita Nexbyte.






