SETIAP hujung bulan, cerita sama berulang. Gaji habis sebelum masa, simpanan entah ke mana dan persoalan ‘kenapa gaji tidak pernah cukup’ terus menghantui ramai pekerja.
Dengan keadaan kos sara hidup yang terus meningkat, tekanan kewangan bukan sahaja dialami oleh golongan berpendapatan rendah, malah turut menjadi rungutan bagi mereka dalam kelompok pendapatan sederhana dan tinggi.
Ramai rakyat di negara ini mengeluh pendapatan bulanan masih belum cukup menampung keperluan asas termasuk tempat tinggal, makanan, pengangkutan dan pendidikan.
Persoalannya, adakah masalah sebenar berpunca daripada jumlah gaji yang diterima atau cara wang itu diuruskan?

Hakikatnya, ramai pekerja mendapati pendapatan yang diterima hari ini tidak lagi seiring dengan realiti harga barangan dan perkhidmatan yang semakin meningkat.
Perbelanjaan yang dahulu dianggap mencukupi kini semakin terhimpit apabila keperluan asas bertambah, manakala pilihan untuk berjimat pula semakin terhad.
Situasi ini menyebabkan sebahagian rakyat terpaksa berkorban sama ada menyederhanakan gaya hidup, mengurangkan simpanan atau bergantung kepada hutang.
Lebih membimbangkan, tekanan kewangan yang berpanjangan bukan sahaja memberi kesan kepada kesejahteraan hidup, malah turut menjejaskan emosi dan produktiviti pekerja.
Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan dan Pengurusan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Mohamad Idham Md. Razak berpendapat, ketidakseimbangan struktur ekonomi menyebabkan peningkatan produktiviti pekerja tidak bergerak seiring dengan kadar kenaikan gaji.
Katanya, keadaan itu lebih ketara apabila golongan pekerja berkemahiran rendah dan sederhana dibayar gaji yang tidak setimpal dengan sumbangan mereka terhadap sesebuah organisasi.
“Produktiviti meningkat, tetapi upah tidak naik pada kadar yang sama dan ini menyebabkan pekerja tidak dapat merasai manfaat sebenar daripada pertumbuhan ekonomi.
“Lebihan tenaga kerja dalam sektor tertentu serta kebergantungan terhadap pekerja asing turut menekan kadar upah tempatan. Selain itu, tahap penyertaan wanita yang tinggi dalam pasaran kerja juga memberi kesan kepada struktur gaji secara keseluruhan,” katanya.
Mohamad Idham berkata, struktur ekonomi negara yang berasaskan sektor berpendapatan sederhana seperti pembuatan dan perkhidmatan juga mengehadkan kemampuan majikan untuk menaikkan gaji pekerja.
Jelasnya, sektor-sektor berkenaan lazimnya beroperasi dengan margin keuntungan yang kecil dan menyebabkan pelarasan upah sering ditangguhkan meskipun kos operasi meningkat.
“Tekanan kewangan rakyat semakin dirasai apabila kos sara hidup meningkat lebih pantas berbanding pertumbuhan gaji purata. Perbelanjaan harian seperti makanan, tempat tinggal dan pengangkutan terus meningkat saban tahun.
“Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi makanan turut menunjukkan peningkatan sekitar dua hingga empat peratus setahun, sedangkan kenaikan gaji purata bagi majoriti pekerja hanya sekitar dua hingga tiga peratus.
“Kadar inflasi bagi barangan keperluan asas sentiasa berada pada paras lebih tinggi berbanding kenaikan gaji. Jurang ini menjadi lebih ketara selepas pandemik apabila kos meningkat dengan cepat manakala gaji pulih secara perlahan,” jelasnya.
Menurut beliau, pengurusan kewangan peribadi yang lemah sememangnya menyumbang kepada persepsi gaji tidak mencukupi, namun ia bukanlah punca utama kepada masalah berkenaan.
“Ramai rakyat Malaysia masih mempunyai tahap literasi kewangan yang rendah sehingga menyebabkan perbelanjaan tidak optimum seperti hutang pengguna tinggi, pemilikan kad kredit berlebihan dan gaya hidup melebihi kemampuan.
“Bagaimanapun, isu pengurusan kewangan lebih bersifat gejala sekunder. Meskipun pengurusan kewangan dilakukan dengan baik, gaji minimum yang rendah dan kos sara hidup tinggi tetap menyukarkan kehidupan majoriti rakyat,” katanya.
Membezakan kos sara hidup sebenar dengan inflasi gaya hidup, Mohamad Idham berkata, ia merujuk kepada keperluan asas yang tidak boleh dikompromi seperti makanan berkhasiat, tempat tinggal, utiliti, pengangkutan dan penjagaan kesihatan.
Katanya, inflasi gaya hidup pula melibatkan peningkatan perbelanjaan terhadap barangan atau perkhidmatan bukan keperluan yang dianggap sebagai standard hidup baharu.
“Standard hidup baharu merujuk kepada peningkatan perbelanjaan seperti pesanan makanan harian, kereta mewah, pakaian berjenama dan percutian mewah.
“Satu cara mudah membezakan antara kos sara hidup dan gaya hidup ialah dengan bertanya ‘Adakah saya boleh hidup tanpa perbelanjaan ini?’ dan ‘Adakah ia benar-benar menambah nilai kepada kesihatan dan kesejahteraan saya?’” katanya.
Bagi menyesuaikan diri dengan kenaikan gaji secara perlahan dan inflasi yang tinggi, Mohamad Idham menekankan keperluan strategi berbilang dimensi bermula dengan peningkatan kemahiran untuk peluang kerjaya dan pendapatan lebih baik.
Beliau turut menyarankan perancangan kewangan lebih ketat, pelaburan dalam aset yang mampu mengatasi inflasi serta penerokaan pendapatan sampingan.
“Pengguna perlu lebih bijak berbelanja dengan membeli barang generik, menggunakan kupon dan mengelak hutang yang tidak perlu.
“Kerajaan pula wajar memperkukuh dasar sokongan seperti subsidi bersasar, kawalan harga barangan keperluan dan gaji minimum yang lebih realistik,” ujarnya. – UTUSAN
PENULIS ialah wartawan Nexbyte.






