BELUM pun reda peningkatan risiko luaran yang muncul daripada keputusan Mahkamah Agung Amerika Syarikat (AS) yang membatalkan sebahagian besar daripada tarif timbal balas Presiden AS, Donald Trump dan selepas itu pengenaan tarif baharu sebanyak 10 peratus kepada semua negara, dunia digemparkan lagi dengan konflik di Asia Barat yang pada ketika ini berada dalam keadaan yang sangat tidak menentu.
Dalam konteks Malaysia pula, keputusan Mahkamah tertinggi AS itu juga berkait dengan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) yang telah dimeterai antara Malaysia dan AS pada Oktober tahun lepas.
Menurut Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Johari Abdul Ghani, keputusan Mahkamah Agung AS tersebut telah menjadikan ART tidak sah, manakala rundingan bagi memuktamadkan kadar tarif baharu masih berjalan.
Selain daripada pengenaan 10 peratus tarif baharu di bawah Seksyen 122 Akta Perdagangan 1974, AS juga dijangka akan mengenakan tarif baharu di bawah Seksyen 301 Akta yang sama untuk melihat jika adanya berlaku keadaan yang boleh disifatkan sebagai aktiviti perdagangan yang tidak adil dari pihak Malaysia kepada AS.
Namun, Johari juga ada menyatakan bahawa masih belum ada sebarang notis rasmi daripada pihak AS berkaitan dengan status ART pada ketika ini.
Dalam pada itu, serangan AS dan Israel terhadap Iran telah menimbulkan satu lagi risiko luaran yang diluar jangka kepada ekonomi dunia, termasuk ekonomi Malaysia.
Secara umumnya, risiko geopolitik akan meningkatkan lagi ketidakpastian dalam pasaran dan juga sentimen serta keyakinan perniagaan dan pelabur di seluruh dunia.

Aktiviti ekonomi, sama ada yang berkait dengan minyak atau sebaliknya sudahpun terjejas. Dalam konteks peperangan di Asia Barat ini, gangguan terhadap Selat Hormuz, yang merupakan laluan dagang penting dunia terutamanya penghantaran bekalan petroleum cecair, akan mengakibatkan peningkatan dalam inflasi di seluruh dunia serta impak berantai kepada indikator ekonomi dan kewangan utama, seperti nilai pelaburan dan perdagangan, nilai matawang, pasaran saham, kuasa beli rakyat, kesejahteraan rakyat dan sebagainya.
Tempiasnya juga akan dirasai kepada rakyat dan ekonomi Malaysia terutamanya dari segi peningkatan dalam tekanan inflasi, keadaan fiskal semasa, gangguan penawaran bekalan makanan dan juga peningkatan dalam kos pengangkutan kerana Malaysia merupakan antara negara pedagang utama di dunia.
Namun begitu, jika diteliti dengan lebih lanjut, terutamanya dari segi strukturnya, ekonomi kita sebenarnya tidaklah menerima kesan secara langsung akibat daripada peperangan ini.
Iran bukanlah negara dagang utama kita dan Selat Hormuz juga bukanlah medium pengangkutan utama kepada aktiviti perdagangan Malaysia secara langsung, terutamanya aktiviti perdagangan dengan rakan dagang utama kita seperti AS.
Selain daripada itu, Malaysia, sebagai pengeksport bersih tenaga, sememangnya mendapat manfaat daripada peningkatan dalam harga minyak dunia ini, dengan memberikan kelebihan dari segi peningkatan dalam jangkaan hasil dan pengurangan dalam nilai defisit di masa hadapan.
Jadi, risiko kepada ekonomi negara pada ketika ini lebih kepada kesan secara tidak langsung dan lebih kepada berbentuk jangka panjang, iaitu jika perang di Asia Barat ini berterusan sehingga berbulan-bulan.
Pada ketika ini, apa yang dilakukan oleh kerajaan adalah tepat, iaitu memantau keadaan secara rapi tentang perkembangan yang berlaku. Tidak ada keperluan untuk mengubah dasar fiskal dan monetari yang sedia ada secara drastik.
Maksudnya, tidak perlu untuk menarik subsidi, mengubah kadar dasar semalaman (OPR), ataupun menyemak kembali sasaran keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara.
Jadi, mendengar pengumuman khas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkenaan dengan konflik Asia Barat ini pada sidang media baru-baru ini, ia adalah keputusan yang bijak dan berhemah daripada pihak kerajaan dalam mendepani risiko geopolitik ini.
Langkah berjimat yang diperkenalkan, seperti tiada majlis rumah terbuka Aidilfitri, mengehadkan lawatan menteri, serta anggota pentadbiran ke luar negara, serta mengekalkan subsidi BUDI95 serta menaikkan Bantuan Tunai Budi Diesel, adalah merupakan langkah yang baik dan melegakan rakyat.
Kerajaan juga cuba untuk mempertimbangkan strategi untuk penjawat awam bekerja dari rumah.
Dalam menilai impak risiko luaran ini, kita perlu mengambil kira pengukuhan kepada asas-asas ekonomi negara, pengukuhan nilai ringgit dan juga prestasi perdagangan dan pelaburan yang memberangsangkan bagi ekonomi Malaysia pada tahun lepas.
Kita juga perlu menilai tahap defisit dan hutang negara pada ketika ini, yang masih lagi berada pada tahap yang sihat. Begitu juga dengan pelbagai perancangan, pelan dan juga dasar-dasar ekonomi yang jelas di bawah kerangka ekonomi Madani yang telah diperkenalkan.
Dalam hal ini, untuk persediaan jangka sederhana dan panjang, saya menyarankan agar kerajaan mempercepatkan agenda reformasi ekonomi struktur yang telahpun di rencana di bawah Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13), Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030) dan juga Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
Apa yang saya maksudkan adalah reformasi untuk mempelbagaikan sumber tenaga dan juga usaha untuk meningkatkan kompleksiti ekonomi dan juga menggerakkan penyahkarbonan (net zero).
Misalnya, agenda tenaga nuklear, seperti yang terkandung di bawah RMK13 perlu disegerakan.
Menuju ke hadapan, kerajaan juga perlu serius untuk mempelbagaikan sumber hasil negara dan dalam hal ini, pengenalan semula kepada sistem cukai barangan dan perkhidmatan (GST) mungkin boleh difikirkan kembali dalam melihat kepada reformasi ekonomi jangka panjang.
Kita tidak tahu bila perang ini akan berakhir, dan kita tidak tahu apa lagi seksyen-seksyen, ataupun akta perdagangan yang akan dilancarkan oleh Trump.
Namun, jika kita teguh bersatu, tidak panik, meningkatkan bantuan kepada rakyat dan mempercepatkan reformasi struktur ekonomi, kita boleh mendepani risiko-risiko luaran ini dengan lebih baik daripada negara-negara yang lain. – UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Irwan Shah Zainal Abidin ialah Felo Bersekutu Kanan, Institut Dasar Ekonomi dan Kewangan (ECOFI), Universiti Utara Malaysia (UUM).






