SIKAP adalah faktor utama dalam perkembangan sesebuah bahasa, khususnya untuk maju. Ia adalah juga penyebabnya apabila keadaan sebaliknya berlaku. Walaupun disifatkan sebagai subjektif, sikap mempunyai peranan sangat penting dalam kelangsungan sesuatu bahasa.
Sikap merupakan pemikiran dan perasaan yang terbentuk terhadap sesuatu. Untuk bahasa, sikap merujuk kepada pandangan dan tindakan yang bersifat penilaian terhadap bahasa oleh seseorang atau sesebuah kumpulan. Penilaian itu boleh berbentuk positif, neutral atau negatif.
Seperkara penting tentang sikap bahasa adalah ia cerminan sosial. Dengan ini, ia ikut merupakan penilaian terhadap kelompok yang menuturkan sesebuah bahasa, khususnya penutur jatinya. Dengan kata lain, sikap terhadap bahasa adalah gantian bagi sikap terhadap kelompok penuturnya.
Sikap terhadap bahasa dan kelompok penuturnya bukan sahaja sangat penting, juga memainkan peranan utama dalam beberapa perkara. Antaranya termasuklah pembelajaran bahasa, pola komunikasi dan pembentukan identiti.
Secara umumnya bagi bahasa Melayu, sikap terhadapnya untuk sekian lama adalah neutral sahaja, kalau tidak pun negatif pada sesetengah etnik.

Ini bermakna selama ini mulai bahasa Melayu dinobatkan sebagai bahasa negara untuk kedua-dua peranan sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi sekali gus, ia tidak pernah diterima baik oleh kelompok bukan Melayu tertentu.
Ini dapat dilihat dengan jelasnya pada etnik Cina. Sikap yang diperlihat oleh mereka kepada bahasa Melayu walaupun berupa bahasa negara, adalah rata-ratanya negatif. Mereka tidak pernah mahu mempercayai kemampuan bahasa Melayu untuk tujuan kemajuan, khususnya bagi diri mereka sendiri.
Oleh itu, perasaan dan tindakan mereka terhadap bahasa Melayu adalah sangat dingin. Dalam perkara ini, etnik Cina boleh sahaja menafikan kesemua itu menerusi pengakuan positif yang dibuat. Namun perlakuan mereka mengesahkan perkara sebaliknya.
Ini kerana, tingkah laku dan tindakan seseorang atau sesebuah kumpulan itu adalah penanda yang lebih benar dan signifikan tentang iktikad dan nilai yang semata-mata diperkata sahaja.
Sehubungan sikap negatif itu, ia bukan sahaja sangat mempengaruhi, juga amat menjejaskan hasil pembelajaran bahasa Melayu oleh etnik Cina. Ini dapat dilihat pada cara bahasa Melayu dipelajari oleh mereka. Pada kebanyakan kesnya, kalau bukan pun semua, bahasa Melayu hanya dipelajari atas dorongan instrumental semata-mata.
Dengan ini, bahasa Melayu dipelajari bagi diketahui, bukan sesekali untuk dikuasai, untuk semata-mata memenuhi syarat mata pelajaran bahasa Melayu yang wajib lulus. Oleh itu, ia akan dipelajari sebaik-baiknya untuk tujuan ini sahaja. Dalam hal ini, untuk sekurang-kurangnya lulus pada gred minimum yang diperlukan sahaja.
Setelah matlamat pembelajaran ini tercapai, bahasa Melayu akan selanjutnya dikesampingkan dan dalam waktu sekejap sahaja akan hilang daripada pengetahuan.
Inilah yang rata-ratanya berlaku pada bahasa Melayu dalam kalangan etnik Cina yang tidak mahu lagi mempunyai apa-apa urusan dengannya. Antara urusan itu adalah penglibatan, perikatan mahupun tanggungjawab.
Sesungguhnya sikap begini bukan sahaja mengakhiri hubungan etnik Cina dengan bahasa Melayu. Ia juga sebenarnya cara untuk menyatakan bahawa mereka tidak mahu lagi mempunyai tanggungjawab terhadap bahasa Melayu.
Dengan kata lain, mereka kini tidak lagi bertanggungjawab dan tidak boleh dipersalah dalam apa-apa jua hal yang berkenaan dengan bahasa Melayu.
Bagi mereka, kewajipan itu telah pun mereka langsaikan dengan mempelajarinya di sekolah sehingga berjaya memenuhi syarat yang ditetapkan pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Bagi mereka, ia mesej tegas yang mahu disampaikan bahawa mereka telah menunaikan kewajipan mereka dan tidak mahu lagi terlibat dalam apa-apa jua hal tentang bahasa Melayu.
Melalui sikap begini, pola komunikasi dalam bahasa Melayu ikut terjejas di negara ini. Dalam hal ini, etnik Cina rata-ratanya tidak mahu menggunakan bahasa Melayu.
Sebaliknya mereka menggunakan bahasa Inggeris. Ini dapat dilihat dengan mudah dan berleluasanya walaupun pada ketika mereka harus berbahasa Melayu semasa berurusan rasmi di jabatan kerajaan.
Dalam pada ini, mereka tidak pun mahu berbahasa Melayu meskipun komunikasi itu hendaklah dalam bahasa Melayu. Apabila ditegur, alasannya adalah bahasa Melayu mereka sudah tidak baik lagi setelah ditinggalkan sejurus peperiksaan SPM.
Setelah hampir kesemua etnik Cina sudah kehilangan bahasa Melayu, yakni tiada kemampuan berbahasa Melayu dengan baik lagi. Justeru, mereka perlu menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa perhubungan.
Selain tidak boleh berbahasa Melayu dengan baik, ikut diperhati oleh orang asing yang berada di negara ini. Antaranya pekerja asing yang boleh berbahasa Melayu dengan jauh lebih baik daripada etnik Cina sebagai warganegara Malaysia sendiri.
Persoalan penting di sini ialah mengapa perkara sedemikian boleh berlaku, yakni etnik Cina yang rata-ratanya mempunyai sikap negatif terhadap bahasa Melayu. Untuk ini, beberapa faktor didapati bukan sahaja mempengaruhi, malah membentuk sikap itu.
Antaranya yang terpenting ialah prasangka perkauman yang sangat tebal. Ini memang wujud walaupun mahu dinafikan sekeras-kerasnya oleh etnik Cina. Melalui pelbagai stereotaip terhadap etnik Melayu, bahasa Melayu tidak pernah dilihat, apatah lagi diterima dengan positif bagi apa-apa jua tujuan.
Sebenarnya pembelajaran bahasa Melayu secara integratif bukan sahaja sangat penting, juga itulah cara paling afdal untuk pemupukan perpaduan negara dan integrasi nasional.
Dengan cara integratif ini, etnik Cina bukan sahaja ikut manjadi ahli dalam komuniti bahasa Melayu yang diterajui etnik Melayu. Juga mereka bergabung dengan etnik Melayu dalam kelompok lebih besar sebagai Bangsa Malaysia.
Penggabungan ini sangat penting dalam konteks sosial untuk perpaduan negara dan integrasi nasional erat lagi utuh. Ia bukan sekadar inklusi sosial, yakni sekadar memasukkan etnik Cina dalam Bangsa Malaysia. Juga integrasi sosial, yakni menjadikan etnik Cina bahagian penting di dalamnya.
Kedua-dua hal sosial itu, lebih-lebih lagi integrasi adalah penting sekali untuk mempertingkat kestabilan sosial, mengurangkan konflik dan memastikan adanya rasa keterikatan.
Kesemua ini sebenarnya dibolehkan melalui kecekapan berbahasa Melayu. Bahasa Melayu bukan sahaja sekadar bahasa negara, juga bahasa perhubungan untuk semua rakyat di segenap pelosok tanah air.
Sesungguhnya sikap negatif terhadap bahasa Melayu oleh etnik Cina boleh berubah. Malah, ia boleh berlaku dengan kadar cepat pun. Ini antaranya hendaklah dilakukan dengan memberikan maklumat benar tentang peranan bahasa Melayu sebagai bahasa negara.
Juga mengenai kedudukan etnik Melayu selaku penduduk asal, kelompok majoriti dan dominan di bumi Melayu-Islam ini, selain sebagai penutur jatinya. – UTUSAN
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felo Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).






