KRISIS tenaga hari ini tidak lagi boleh dilihat sebagai isu teknikal semata mata, sebaliknya berkait rapat dengan dinamika geopolitik global, khususnya konflik di Asia Barat yang melibatkan Iran, Amerika Syarikat (AS) dan Israel.
Perkembangan ini memberi kesan langsung terhadap harga minyak global, kestabilan ekonomi dan akhirnya kehidupan rakyat Malaysia. Dalam konteks ini, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) perlu memainkan peranan lebih besar sebagai peneraju perubahan.
Perang melibatkan Iran mencetuskan gangguan besar kepada sistem tenaga dunia. Laluan strategik khasnya Selat Hormuz, yang mengendalikan kira-kira 20 peratus bekalan minyak dunia terganggu. Ini menyebabkan bekalan minyak global terjejas dengan ketara.
Malah, laporan terkini menunjukkan gangguan ini mengurangkan sekitar 1.5 juta tong minyak sehari daripada bekalan global, menurut laporan berita oleh Reuters dan Forbes. Akibatnya, harga minyak melonjak melepasi AS$ 100 setong (RM397.48).

PENGGUNAAN TENAGA DAN AGENDA KELESTARIAN
Umumnya, Malaysia masih bergantung kepada bahan api fosil sebagai sumber utama tenaga. Namun, peningkatan penggunaan tenaga akibat pertumbuhan ekonomi, urbanisasi dan digitalisasi menyebabkan tekanan terhadap sumber sedia ada.
Dalam masa sama, negara komited untuk mengurangkan pelepasan karbon dan beralih kepada tenaga lestari. Perang di Iran menjadikan keperluan transformasi tenaga semakin mendesak.
Sebagai universiti penyelidikan bertaraf global, UTM menggunakan tenaga dalam skala yang signifikan, daripada operasi makmal berteknologi tinggi hingga kemudahan pembelajaran dan kediaman pelajar.
Justeru, pengurusan tenaga menjadi isu strategik, bukan sekadar operasi harian. UTM melaksanakan pelbagai inisiatif penjimatan tenaga, termasuk penggunaan teknologi cekap tenaga dan sistem pemantauan penggunaan elektrik.
Usaha ini mendapat pengiktirafan di peringkat negara dan dunia. Pada 2022, UTM menerima Anugerah Tenaga Kebangsaan untuk Kategori Khas Institusi Pendidikan Tinggi daripada Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim pada ketika itu.
Pada 2023 pula, UTM berada pada kedudukan nombor satu dunia dalam penarafan THE Impact Ranking bagi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) ke-7 iaitu Tenaga Bersih dan Mampu Milik.
Pencapaian peringkat tinggi ini mencerminkan kemampuan besar UTM untuk mengamalkan penggunaan tenaga secara berhemah.
PRINSIP HEMAH
Kini, UTM memperkenalkan prinsip HEMAH, bertindak sebagai singkatan bermakna yang menjurus kepada amalan berhemah terutamanya melibatkan perbelanjaan universiti. H berintipatikan ‘had’, iaitu keinginan dan fokus lebih besar diletakkan kepada keutamaan.
E menjurus maksud ‘elak’ merujuk amalan pembaziran dengan mengoptimumkan sumber. M pula bermaksud ‘menilai’ harga dan kualiti barangan atau perkhidmatan yang ingin diperoleh. A pula melibat ‘agihan’ perbelanjaan secara strategik.
H bermaksud merujuk ‘hasil’ dan impak kepada pemegang taruh. memperkenalkan penggunaan kenderaan elektrik dalam kampus bagi mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil serta menyumbang kepada pengurangan pelepasan karbon.
LANGKAH TEPAT KERAJAAN
Kerajaan mengambil keputusan yang tepat dalam memperkenalkan langkah penjimatan tenaga. UTM turut mengamalkan pendekatan kerja baharu yang lebih efisien dan berteraskan penjimatan sumber.
Bermula 15 April lalu, UTM memulakan langkah Bekerja dari Rumah (BDR) untuk setiap hari Selasa dan Khamis. BDR ini diarahkan kepada semua staf, kecuali sektor perkhidmatan kritikal khasnya keselamatan dan kesihatan.
UTM membangunkan sistem iKerja bagi membolehkan staf merekod hasil kerja semasa BDR. Sistem ini membolehkan pemantauan berekod yang sistematik sebagai jalan untuk jaminan kualiti perkhidmatan.
Kaedah pengajaran dan pembelajaran turut berubah. Pembelajaran dalam talian diperluaskan tanpa menjejaskan kualiti pendidikan. Fokus utama kekal kepada graduan yang berkualiti tinggi.
Mengambil pengalaman semasa pandemik Prinsip HEMAH terpakai dalam suasana krisis tenaga global kini yang mula mencengkam negara dan institusi, termasuk universiti.
Melalui Pusat Pelestarian Kampus, UTM menyelaras pelbagai inisiatif seperti pengurangan jejak karbon dan pembangunan kampus pintar. Pusat ini memainkan peranan penting dalam memastikan usaha kelestarian dilaksanakan secara sistematik dan berimpak.
Dalam pelan strategik UTM ASCEND 2030, kelestarian menjadi teras pembangunan universiti. Sasaran penjimatan kos dan pengurangan karbon ditetapkan secara jelas.
Namun, yang lebih penting ialah perubahan budaya, daripada penggunaan tenaga secara berlebihan kepada penggunaan yang berhemah.
UTM mengambil pendekatan proaktif dengan merangka strategi pengurusan tenaga yang lebih mampan termasuk pemantauan penggunaan tenaga secara masa nyata serta pelaburan dalam teknologi hijau bagi memastikan operasi universiti kekal stabil.
Sebagai langkah ke hadapan, UTM mula Covid-19, UTM mempunyai kemudahan yang cukup bagi membolehkan staf akademik menjalankan pengajaran secara dalam talian, termasuk penyediaan latihan pembangunan profesional.
Kaedah penilaian pelajar turut diperkasakan melalui pendekatan autentik, yang menilai keupayaan sebenar pelajar dalam menyelesaikan masalah dunia sebenar.
JARINGAN AKADEMIK DAN PENYELIDIKAN
Walaupun berdepan cabaran tenaga, hubungan antarabangsa terus diperkukuh melalui platform digital. Inisiatif seperti Bilik Darjah Global Dalam Talian membolehkan pelajar terus berinteraksi di peringkat global.
Pendekatan perhubungan dalam platform digital ini semakin mendapat tempat, terutamanya dalam menjalin hubungan pekerjaan rentas benua.
Platform profesional seperti LinkedIn menjadi alat atau medium penting dalam membina jaringan global, membuka peluang kerjasama dan meningkatkan kebolehpasaran graduan.
Persidangan maya dan penyeliaan dalam talian diperluaskan sebagai alternatif yang lebih menjimatkan tenaga dan kos. Pelajar terutamanya pascasiswazah rata-rata berpangkalan di luar kampus.
Justeru, penyeliaan secara dalam talian memudahkan mereka untuk berinteraksi dengan pensyarah dan dapat membuka ruang penyeliaan yang bersifat lebih f leksibel dan tidak dibatasi kedudukan geografi.
UTM juga terus menekankan penerbitan berkualiti, khususnya dalam bidang tenaga dan kelestarian, sebagai sumbangan kepada penyelesaian isu global.
Penyelidik UTM menerbitkan kajian dalam jurnal berimpak tinggi berskopkan bidang Tenaga, khasnya Ulasan Tenaga Boleh Diperbaharui dan Lestari dengan faktor impak 16.3 dan berada dalam kuartil Q1 dalam pangkalan data Web of Science (WoS), justeru menjadi sumbangan ilmiah yang bermakna oleh UTM untuk komuniti global.
UBAH CARA FIKIR
Krisis tenaga global membawa satu mesej jelas bahawa dunia sedang berubah. Kita tidak lagi boleh bergantung kepada sumber tenaga tradisional yang terdedah kepada risiko geopolitik.
Krisis ini bukan sekadar cabaran tetapi peluang untuk kita mengubah cara fikir dan cara kerja. Universiti perlu menjadi peneraju dalam meneroka sumber tenaga baharu, membangunkan teknologi lestari dan membentuk generasi yang lebih peka terhadap isu tenaga.
Sebagai universiti penyelidikan berteraskan Sains, Teknologi dan Kejuruteraan, UTM akan terus melangkah ke hadapan dengan penuh berani. Masa hadapan tenaga kini menjadi keperluan bagi menjamin kelangsungan negara dan dunia.
Dengan amalan sedia ada serta pembaharuan yang dilaksanakan, UTM berpotensi menjadi rujukan utama dalam menghadapi cabaran global ini. – UTUSAN
PROFESOR Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd. Rahim ialah Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia.






