HARI Kebebasan Akhbar Sedunia disambut pada 3 Mei setiap tahun sebagai pengiktirafan terhadap peranan media dalam mempertahankan hak masyarakat untuk mendapatkan maklumat yang benar, seimbang dan bertanggungjawab.
Di Malaysia, media massa terus berdepan pelbagai cabaran, namun tetap memainkan peranan penting dalam merealisasikan aspirasi Malaysia Madani.
Malaysia era kini bergerak ke arah masyarakat yang hampir sepenuhnya terhubung secara digital. Keadaan ini menjadikan media digital sebagai saluran dominan dalam membentuk naratif nasional, pemikiran awam dan tingkah laku masyarakat.

Merujuk kepada laman web Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), revolusi industri yang melanda dunia bermula 1712 kemudian berkembang sehingga melewati tahun 1870 dan seterusnya dengan pembangunan elektronik dan teknologi maklumat dan komputer, dunia kemudiannya terus meledak dengan momentum berdaya saing meliputi semua sektor.
Revolusi Industri (IR4.0) menurut Profesor Klaus Schwab, pengasas dan Pengarah Ekskutif Forum Ekonomi Dunia (WEF), bahawa IR4.0 pada dasarnya berbeza dengan revolusi sebelumnya yang dilalui oleh era manusia moden, IR4.0 menurutnya menyebabkan manusia akan menggunakan teknologi tinggi yang jauh terkehadapan dan terangkum.
Oleh yang demikian, dalam memperkasa IR4.0 ini, kita memanfaatkan teknologi digital sebagai instrumen dalam membina dan memperkukuh secara meluas nilai patriotisme dan nasionalisme dalam kalangan rakyat Malaysia melalui platform digital.
Melalui Teras Nexbyte Malaysia Negara Digital oleh Kementerian Digital iaitu melaksanakan MyDigital yang merupakan inisiatif merangkumi Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia.
Pelaksanaan melalui Malaysia Digital pula merupakan strategi oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) untuk menarik pelaburan, syarikat dan bakat digital yang membuka peluang lebih luas kepada peningkatan peluang kerjasama negara berkepakaran tinggi dengan Malaysia.
Seterusnya daya inovasi terserlah melalui Jabatan Digital Negara (JDN) yang diwujudkan melalui kementerian ini bagi memfokuskan reformasi perkhidmatan kerajaan kepada digital yang sudah tentu lebih pantas dan cekap.
Teras yang memacu peningkatan kepentingan digital dalam kalangan rakyat sudah tentu melalui pelaksanaan MyDigital ID dengan pengkhususan dan pengurusan pintar secara optimum kepada rakyat bertaraf warganegara.
Mendepani visi reformasi digital secara menyeluruh sudah tentu pembangunan infrastruktur digital lebih diperhebatkan bagi menyediakan Malaysia sebagai pemacu penting IR4.0.
Menyedari impak daripada keterangkuman ini sudah tentu pembangunan modal insan turut diperkasakan melalui Rakyat Digital agar usaha meningkatkan kemahiran kecerdasan buatan (AI) dan teknologi baharu kepada setiap lapisan masyarakat dapat dilaksanakan secara menyeluruh.
Dalam konteks ini, konsep Aku Kasih Malaysia menzahirkan semangat patriotisme, perpaduan dan tanggungjawab kolektif yang selari dengan nilai Malaysia Madani.
Peranan ini dapat difahami melalui teori ekologi media, yang menjelaskan bahawa media bukan sekadar saluran komunikasi, tetapi merupakan persekitaran yang membentuk cara masyarakat berfikir dan berinteraksi dalam dunia digital.
Malaysia pada saat ini berada di kedudukan ke-88 daripada 107 buah negara dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2025. Kedudukan ini menunjukkan perkembangan positif terhadap ekosistem media negara dan telah meletakkan Malaysia di tangga kedua ASEAN selepas Thailand.
Namun, kemajuan ini perlu disertai dengan usaha memperkukuh integriti maklumat, etika kewartawanan dan literasi media rakyat. Dalam hal ini, teori penetapan agenda menjelaskan bahawa media memainkan peranan penting dalam menentukan keutamaan isu awam, sekali gus mempengaruhi fokus masyarakat terhadap nilai perpaduan, patriotisme dan identiti nasional.
Antara isu teras yang perlu diberi perhatian ialah fragmentasi naratif nasional, krisis kepercayaan terhadap media, penyebaran berita palsu, kandungan janaan AI, serta ketidakselarasan komunikasi antara agensi kerajaan.
Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), lebih 500 kes berita palsu dilaporkan antara tahun 2020 hingga 2023, khususnya ketika pandemik Covid-19.
Fenomena ini menjejaskan kepercayaan awam dan menyukarkan masyarakat membezakan antara fakta, manipulasi dan rekaan.
Dalam konteks ini, teori pembingkaian menjelaskan bagaimana media membentuk tafsiran masyarakat melalui pemilihan sudut naratif, manakala teori kepercayaan media menegaskan bahawa kredibiliti dan ketelusan merupakan faktor utama dalam membina semula keyakinan masyarakat terhadap media dalam era disinformasi digital.
Justeru, pendekatan Whole-of-Government and Whole-of-Society (WOGOS) amat penting. Pendekatan ini menekankan penyelarasan menyeluruh antara kerajaan, media, masyarakat sivil, akademia, sektor swasta dan rakyat dalam menangani isu nasional secara kolektif.
Dalam landskap komunikasi digital yang bersifat terbuka dan pantas, naratif negara tidak boleh lagi dibentuk secara sehala, sebaliknya memerlukan penyertaan pelbagai aktor secara strategik dan bersepadu.
Pendekatan ini selari dengan teori tadbir urus kolaboratif yang menekankan kepentingan kerjasama antara pelbagai pihak dalam memastikan keberkesanan dasar dan komunikasi awam.
Dalam konteks pemasyarakatan Aku Kasih Malaysia, WOGOS menyediakan kerangka strategik untuk memastikan mesej perpaduan, patriotisme dan nilai Malaysia Madani dapat disampaikan secara konsisten, inklusif dan berimpak tinggi.
Selain itu, penyebaran konsep ini dalam masyarakat turut dapat dijelaskan melalui teori penyebaran inovasi, yang menerangkan bagaimana idea dan nilai dapat diperluas melalui peranan media, pemimpin pendapat dan rangkaian sosial dalam mempengaruhi penerimaan masyarakat.
Konsep Aku Kasih Malaysia perlu difahami sebagai naratif identiti nasional, gerakan sosial berasaskan nilai, serta platform penyatuan rakyat. Ia selari dengan prinsip Malaysia Madani iaitu ihsan, hormat, kesejahteraan, kepercayaan, kemampanan dan daya cipta.
Dalam era AI dan digitalisasi, semua pihak perlu melaksanakan fungsi secara holistik bagi mewujudkan negara Malaysia yang unggul setiap aspek. Malaysia perlu memiliki agenda besar untuk lahir sebagai negara yang akan menghasilkan rekaan industri digitalnya yang bertaraf dunia dan tidak hanya sebagai negara pengguna sahaja.
Melalui pendekatan WOGOS, konsep Aku Kasih Malaysia contohnya mampu diperkasakan sebagai agenda nasional yang menyatukan rakyat dan seterusnya melahirkan rakyat yang cerdas dan memiliki inovasi serta kreativiti yang akan memimpin teknologi digital dunia. – UTUSAN
PROFESOR Madya Ts. Dr. Jessica Ong Hai Liaw ialah Pakar Psikologi Bahasa Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Felow Institut Masa Depan Malaysia (MASA).
Rabi’ahtuladawyah Md. Saleh ialah Perancang Bahasa Dewan Bahasa dan Pustaka.






