Di Malaysia, cabaran keselamatan sempadan masih ketara walaupun pelbagai strategi telah dilaksanakan. Keadaan ini dipengaruhi oleh pelbagai faktor termasuk jurang sosioekonomi, kewujudan sindiket terancang yang mengambil kesempatan terhadap permintaan pasaran dan perbezaan penguatkuasaan antara negara.
Sempadan antara Malaysia, Thailand dan Myanmar merupakan ruang interaksi kepada pelbagai ancaman. Kawasan ini dikenal pasti sebagai zon berisiko tinggi kerana mempunyai laluan yang padat dan terdedah kepada pelbagai aktiviti jenayah rentas sempadan.
Malaysia yang berkongsi sempadan darat dan maritim dengan Thailand menghadapi ancaman daripada pelbagai aktiviti jenayah rentas sempadan.
Myanmar yang terletak berhampiran sempadan laut Andaman, menjadi sumber ketidakselamatan yang signifikan berikutan krisis pelarian seperti kemasukan pelarian Rohingya, telah menambah kerumitan isu keselamatan Malaysia.
Ini menunjukkan bahawa sempadan merupakan ruang dinamik yang terbentuk melalui pergerakan dan mobiliti bukannya entiti statik. Laluan penyeludupan juga sentiasa berubah, taktik jenayah semakin canggih manakala penggunaan teknologi oleh pelaku turut berkembang seiring peredaran masa.
Penubuhan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) yang menggabungkan enam agensi utama oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) mencerminkan komitmen serius negara dalam menangani cabaran di sempadan.
Agensi ini berperanan penting dalam memperkukuh kawalan serta mengekang pelbagai ancaman rentas sempadan. AKPS turut mempertingkat penyelarasan antara agensi penguatkuasaan, mengoptimumkan perkongsian risikan dan memperluas penggunaan teknologi bagi meningkatkan kecekapan pemantauan serta tindak balas di lapangan.
Pendekatan ini bukan sahaja memperkukuh keupayaan kawalan, malah memastikan keselamatan sempadan negara sentiasa berada pada tahap terbaik.
Antara kejayaan utama AKPS sehingga kini ialah kejayaan memperkukuh kawalan sempadan negara melalui penyelarasan operasi pelbagai agensi di bawah satu entiti tunggal.
Sejak mula beroperasi secara rasmi pada 2024, AKPS telah berjaya mengambil alih pengurusan puluhan pintu masuk antarabangsa dan dijangka mengawal keseluruhan pintu masuk negara secara berperingkat.
AKPS turut mencatatkan kejayaan besar dalam operasi penguatkuasaan apabila merekodkan rampasan barangan terlarang dan lari cukai bernilai lebih RM82 juta, termasuk dadah, barangan perubatan serta barangan subsidi.
AKPS turut berdepan cabaran. Sehubungan itu, pendekatan keselamatan bersepadu melibatkan darat, maritim dan udara wajar diperkemas bagi memastikan kawalan sempadan berada pada tahap lebih kukuh dan berkesan.
Kesedaran dan tanggungjawab menangani isu ini tidak hanya terletak kepada kerajaan dan agensi penguatkuasaan semata-mata, sebaliknya memerlukan pendekatan seluruh masyarakat untuk bersama-sama mengekang ancaman tersebut.
Ini penting kerana jenayah rentas sempadan membawa implikasi serius dan memberi mudarat besar kepada keselamatan serta kedaulatan negara.
Dalam apa jua keadaan, sama ada landskap geopolitik dunia yang tidak menentu mahupun situasi domestik negara, aspek keselamatan sempadan perlu kekal sebagai keutamaan yang tidak boleh dikompromi oleh Malaysia.
Isu keselamatan rentas sempadan sentiasa wujud dan terus mencabar keupayaan penguatkuasaan negara. Keselamatan sempadan perlu dilihat sebagai komponen penting dalam agenda keselamatan nasional yang menyeluruh.
Oleh itu, ia bukan lagi satu pilihan, sebaliknya merupakan keperluan strategik dalam usaha mengekang aktiviti jenayah rentas sempadan serta mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara. – UTUSAN
DR. Fatimah Kuzi ialah Pensyarah Kanan di Pusat Asasi Pertahanan (Keselamatan Dan Sains Politik), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).






