DI Qatar, pengambilan pekerja asing dikawal melalui Undang-Undang Buruh Pindaan 2026 memperkenalkan pengawasan yang lebih ketat terhadap agensi pengambilan pekerja, termasuk kewajipan menggunakan kontrak pekerjaan yang diluluskan oleh kementerian, pendaftaran digital yang mandatori, penalti kewangan yang tinggi, serta sekatan terhadap agensi luar negara yang tidak diluluskan.
Kementerian diberi kuasa untuk menggantung urusan majikan yang gagal mematuhi undang-undang buruh.
Malaysia mengawal selia urusan pengambilan pekerja asing melalui Seksyen 60K Akta Kerja 1955 yang mewajibkan majikan memperoleh kelulusan terlebih dahulu sebelum menggajikan pekerja asing.
Pengambilan pekerja turut tertakluk kepada sistem kuota, sekatan sektor pekerjaan, negara sumber yang dibenarkan serta syarat imigresen tertentu.
Dasar Penggajian Ekspatriat baharu yang berkuat kuasa pada 1 Jun 2026 memperkenalkan tangga gaji minimum dan had tempoh perkhidmatan bagi ekspatriat.
Di Qatar, kegagalan mematuhi peraturan boleh menyebabkan denda pentadbiran sehingga QR25,000 (RM27,185), penggantungan urusan syarikat dan pendedahan nama majikan yang melanggar undang-undang di laman sesawang kementerian.
Di Malaysia, kegagalan mendapatkan kelulusan sebelum menggajikan pekerja asing boleh mengakibatkan tindakan penguatkuasaan, penalti kewangan, serta sekatan terhadap pengambilan pekerja asing pada masa hadapan.
Malaysia boleh mempelajari beberapa amalan terbaik daripada Qatar berkait isu pekerja asing dan ekspatriat.
Antaranya ialah pelaksanaan sistem penalti pentadbiran yang lebih pantas, penggunaan platform digital bersepadu bagi memantau proses pengambilan pekerja asing, serta penguatkuasaan kontrak pekerjaan standard yang diwajibkan oleh kerajaan.
Pendekatan ini dinilai mampu meningkatkan ketelusan, mengurangkan eksploitasi pekerja dan memudahkan pemantauan oleh pihak berkuasa.
Kuasa kementerian untuk menggantung transaksi majikan yang ingkar seperti mana digunapakai di Qatar boleh menjadi mekanisme penguatkuasaan yang lebih berkesan dalam konteks Malaysia.
Menurut Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), reformasi buruh Qatar sejak 2018 telah memperkukuh pengawasan kerajaan terhadap pengambilan pekerja asing, meningkatkan ketelusan dan mengurangkan kebergantungan terhadap sistem penajaan tradisional (kafala).
Kawalan ketat terhadap agensi pengambilan dan negara sumber membolehkan Qatar mengekalkan keselamatan negara, kestabilan sosial, serta integriti pasaran buruh domestik.
Walaupun Malaysia menggunakan sistem kuota untuk melindungi peluang pekerjaan rakyat tempatan, proses pengawalseliaan yang melibatkan pelbagai agensi dilihat kadangkala mewujudkan ketidakselarasan pelaksanaan.
Oleh itu, dari sudut perlindungan kedaulatan, pendekatan Qatar yang lebih berpusat dan berasaskan pematuhan dilihat lebih efektif dalam memastikan pengurusan tenaga kerja asing dilaksanakan secara sah, telus dan selaras dengan kepentingan nasional.
Secara keseluruhannya, kedua-dua negara mempunyai kekuatan tersendiri dalam mengawal selia pekerja asing dan ekspatriat.
Namun, pematuhan undang-undang oleh majikan kekal sebagai elemen utama bagi menjamin perlindungan pekerja, kelestarian organisasi dan pemeliharaan kedaulatan negara. – UTUSAN
SURAYA Hamimi Mastor ialah Pensyarah Kanan Pengurusan Sumber Manusia, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Bandaraya Melaka, yang sedang mengambil cuti tanpa gaji ke Qatar.






