SELAMA berbulan-bulan, saya menyangka bahawa saya sedang mengkaji sebuah manuskrip.
Kini saya sedar, manuskrip itulah yang sebenarnya sedang mengkaji saya.
Pada usia 66 tahun, saya melakukan sesuatu yang mengejutkan diri saya sendiri.
Saya kembali ke universiti.
Kali terakhir saya duduk di dalam bilik kuliah sebagai seorang pelajar adalah hampir 50 tahun lalu. Pada waktu itu, tugasan ditulis dengan tangan, penyelidikan bermaksud berjam-jam di perpustakaan, dan tiada siapa pernah mendengar tentang kecerdasan buatan. Tiba-tiba, saya kembali memikul beg berisi buku, membaca jurnal akademik, berjumpa penyelia dan mengejar tarikh akhir seperti mana-mana pelajar lain.
Bezanya, kebanyakan rakan sekelas saya seusia anak-anak saya.
Selama bertahun-tahun, sayalah orang yang sentiasa mengingatkan mereka supaya belajar bersungguh-sungguh, menyiapkan tugasan, menghadiri kuliah dan yang paling penting, menamatkan pengajian. Seperti kebanyakan ibu, saya boleh menjadi agak “garang” apabila melibatkan soal pendidikan. Universiti bukanlah pilihan. Ia adalah suatu kewajipan.
Jadi apabila saya mendaftar untuk mengikuti pengajian Sarjana, anak-anak saya segera mengambil peluang untuk membalas dendam.

“Mama, jangan malukan kami.”
“Mama, jangan berhenti separuh jalan.”
“Mama mesti habiskan.”
Saya rasa saya memang layak menerimanya.
Apa yang mereka tidak sedar ialah betapa sukarnya kembali menjadi seorang pelajar. Otak yang selama berdekad-dekad dipenuhi dengan keluarga, khidmat masyarakat, kerja kebajikan, tanggungjawab diraja dan pelbagai urusan lain, tiba-tiba perlu belajar berfikir secara akademik semula. Ada kalanya saya tertanya-tanya sama ada otak saya sudah bersara secara senyap-senyap. Rupa-rupanya tidak. Ia hanya memilih untuk bekerja lebih masa.
Namun di sebalik segala cabaran itu, ada juga kegembiraan yang sukar digambarkan.
Saya menyedari bahawa saya bukan sekadar mengkaji sejarah. Saya sebenarnya sedang mengkaji sebuah kisah yang telah dilalui oleh keluarga saya sendiri selama berabad-abad.
Sepanjang penyelidikan ini, saya menelusuri perjalanan undang-undang, idea, manuskrip dan hubungan dinasti yang merentasi seluruh Alam Melayu. Berkali-kali, bukti yang ditemui menunjukkan bahawa tradisi perlembagaan tidak dipelihara oleh institusi dan teks semata-mata, tetapi juga oleh manusia yang dipertanggungjawabkan untuk membawanya dari satu generasi ke generasi yang berikutnya.
Apabila saya merenungkan sejarah ini, saya tidak dapat mengelakkan satu ironi yang cukup indah. Sebagaimana perkahwinan dinasti suatu ketika dahulu menghubungkan istana-istana Melaka, Pahang, Johor, Patani, Brunei dan Aceh, perjalanan hidup saya sendiri menjadi sebahagian kecil daripada kesinambungan kisah tersebut. Dilahirkan sebagai seorang puteri Johor dan kemudian berkahwin ke dalam Kesultanan Pahang, saya tidak pernah membayangkan bahawa suatu hari nanti saya akan menjadi pelajar sejarah perlembagaan. Namun melalui perjalanan inilah saya dipertemukan dengan Hukum Kanun Pahang dan mula memahami betapa besarnya warisan yang terkandung di dalamnya.
Tujuan saya menjalankan kajian ini bukanlah untuk menuntut pemilikan terhadap warisan tersebut. Sebaliknya, saya hanya ingin mengembalikannya kepada rakyat Pahang dan mengangkat semula sebuah tradisi perlembagaan yang wajar diberikan tempat yang sewajarnya dalam sejarah Alam Melayu.
Melaluinya, saya bukan sahaja menemui sejarah sebuah kerajaan, tetapi sejarah sebuah idea, bahawa kedaulatan mesti dipandu oleh undang-undang, bahawa kuasa mesti dibatasi oleh keadilan, dan bahawa pemerintahan pada akhirnya adalah suatu amanah di hadapan Allah.
Apa yang paling menyentuh hati saya bukanlah apa yang tertulis di dalam manuskrip itu, tetapi apa yang terus hidup walaupun manuskrip itu sendiri pernah hilang daripada pandangan.
Selama berabad-abad, manuskrip itu tidak lagi berada di Pahang. Namun institusi kesultanan terus bertahan. Institusi-institusi pemerintahan terus bertahan. Tradisi-tradisi terus bertahan. Pemahaman tentang raja, pewarisan takhta, pemerintahan dan tanggungjawab terus bertahan.
Teksnya tersembunyi, tetapi tamadunnya terus hidup.
Hukum Kanun Pahang adalah salah satu daripada idea tersebut.
Kejatuhan Kota Melaka tidak menandakan berakhirnya sebuah tamadun.
Tamadun itu hanya bertukar alamat. Sebahagiannya diteruskan di Pahang. Sebahagiannya terus hidup dalam undang-undang. Sebahagiannya terus hidup dalam ingatan.
Dan sebahagiannya menunggu dengan sabar di dalam sebuah manuskrip sehingga hari ia pulang ke rumah.
Apabila saya menelusuri salasilah dari Melaka ke Pahang, daripada Sultan Muhammad Iskandar Shah (Parameswara) kepada Sultan Mansur Shah, kepada Sultan Muhammad Shah, daripada Sultan Abdul Ghafur Muhyiddin Shah sehingga ke hari ini, saya mula memahami bahawa sejarah bukanlah rangkaian peristiwa yang terpisah-pisah. Sejarah adalah sebuah rantai yang saling bersambung. Setiap generasi mewarisi sesuatu dan meninggalkan sesuatu untuk generasi yang berikutnya.
Oleh itu, penemuan semula Hukum Kanun Pahang bukan sekadar penemuan semula sebuah manuskrip.
Ia adalah penemuan semula ingatan. Ia adalah pemulihan sebuah tradisi perlembagaan.
Ia adalah penemuan semula satu bab tamadun Melayu yang telah terlalu lama menunggu untuk dibaca dan difahami.
Hari ini, apabila semakin ramai rakyat Malaysia mula mengenali manuskrip yang luar biasa ini, harapan saya bukanlah sekadar agar mereka mengaguminya sebagai sebuah dokumen lama. Harapan saya ialah agar mereka melihatnya sebagai sesuatu yang jauh lebih besar, satu peringatan bahawa jauh sebelum kewujudan kod-kod kolonial dan sistem yang diimport dari luar, nenek moyang kita telah lama memikirkan secara mendalam tentang undang-undang, pemerintahan, keadilan dan tanggungjawab.
Maka, tesis ini sebenarnya lebih daripada sekadar satu latihan akademik.
Ia adalah usaha untuk meninggalkan sesuatu.
Satu sumbangan. Satu pembetulan. Satu peringatan.
Satu warisan untuk anak-anak saya dan mudah-mudahan, untuk generasi rakyat Malaysia yang akan datang.
Untuk sampai ke tahap ini sahaja sudah jauh melebihi apa yang pernah saya impikan.
Namun di sepanjang perjalanan ini, satu fikiran lain mula muncul secara perlahan-lahan.
Bagaimana jika ini bukan penghujungnya?
Bagaimana jika suatu hari nanti ada pula PhD?
Lagipun, “Mama Berjaya” memang kedengaran indah.
Tetapi saya harus mengaku bahawa “Dr. Mama” juga mempunyai bunyi yang agak sedap didengar.
Tidak lama lagi, insya-Allah, saya akan melangkah ke pentas untuk menerima skrol Sarjana saya. Suami saya akan berada di sana. Anak-anak saya akan berada di sana. Dan saya percaya mereka akan tersenyum sama lebar dengan saya.
Dan saya percaya mereka akan tersenyum, penuh rasa bangga, sebagaimana saya pernah tersenyum ketika melihat mereka melangkah ke pentas menerima kejayaan masing-masing.
Ada satu keindahan yang sukar digambarkan apabila peranan itu bertukar. Seorang ibu yang selama ini berdiri di belakang tabir, memberi semangat dan meraikan kejayaan anak-anaknya, kini pula diraikan oleh mereka. – UTUSAN






