SAUDARA PENGARANG,
INI bukanlah untuk menagih simpati tapi untuk mengetengahkan realiti yang dihadapi kakitangan hospital, khususnya di Jabatan Kecemasan sebuah hospital.
Jabatan kami baru-baru ini kecoh atas kematian seorang pesakit disebabkan kecuaian rawatan yang diberikan. Hakikatnya,
kami sangat, sangat letih.
Pertambahan jumlah penduduk dengan percambahan taman perumahan menyebabkan bilangan pesakit di jabatan kami adalah sangat sesak untuk menampung jumlah pesakit dalam satu-satu masa.
Masa bekerja kami terpaksa dibahagikan untuk merawat pesakit-pesakit baharu dan yang masih terkandas di Jabatan Kecemasan.
Solusinya, kami diarahkan untuk bekerja lebih masa. Ya, lebih masa dengan kudrat yang masih bersisa ini, kami dikerah untuk bekerja. Dari pegawai perubatan, paramedik hingga ke staf bawahan.
Waktu bekerja syif ini, tidak mempunyai masa rehat atau makan, malah untuk ke bilik air juga kadang tidak sempat. Bukan itu sahaja, tuntutan elaun lebih masa juga dipotong dan tidak dibenarkan dituntut melebihi dua per tiga dari gaji asas.
Adakah ini adil saudara? Pihak atas hospital sangat jarang turun padang untuk mengatasi masalah ini. Jika adapun, hanya untuk membentak dan mencari kesalahan kami.
Pihak Kementerian Kesihatan (KKM) yang turun padang hanya menambah bebanan kepada kerja kami. Sepatutnya mereka harus mencari jalan untuk mengatasi masalah sumber manusia dan kekurangan fasiliti yang semakin meruncing.
Bagaimanakah kami mahu memperkasakan motto KKM ‘kami sedia membantu’ jika kami dilayan sedemikian rupa.
Percayalah, kami mahu berkhidmat seikhlas hati tetapi bebanan kerja kami menyebabkan keletihan yang melampau. Ramai rakan seperjuangan yang telah letak jawatan dan memilih sektor swasta untuk berkhidmat.
Adakah ini yang kita mahu untuk rakyat semua? – UTUSAN
STAF KKM YANG TERANIAYA






