SAUDARA PENGARANG,
SEBAGAI pengguna kita seringkali berdepan cabaran isu kenaikan harga barang dan perkhidmatan lebih-lebih lagi dengan pelaksanaan kadar Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) disebabkan ketidakjujuran segelintir peniaga.
Sebagai pengguna, kita mempunyai lapan hak yang boleh dituntut seperti mendapat keselamatan, mendapat maklumat, membuat pilihan, menyuarakan pendapat, mendapat keperluan asas, ganti rugi, mendapat pendidikan pengguna dan hidup dalam alam sekitar yang sihat dan selamat. Namun dalam realiti semasa hampir seluruh hak tersebut hanya tinggal di atas kertas.
Kebajikan pengguna khususnya di Malaysia masih jauh jika dibandingkan dengan negara-negara maju. Sudah tiba masanya kita perlu membuktikan dan mengaktifkan kuasa pengguna yang sebenar.
Penting untuk pengguna mendapatkan maklumat dan pengetahuan yang secukupnya mengenai barang dan perkhidmatan yang akan dibeli atau digunakan.
Jangan sambil lewa atau malas membandingkan harga sebelum membuat pembelian. Ini antara punca mengapa harga di sesuatu tempat boleh naik secara mendadak kerana peniaga masih menerima pelanggan. Janganlah dengan mudah dieksploitasi oleh pengusaha dan penjual.
Oleh itu, dalam mengawal kegiatan penindasan dan penipuan dalam pasaran, kerajaan perlu campur tangan dengan mengambil tindakan kawal selia di pasaran dan sentiasa membuat pemantauan serta penguatkuasaan ke atas pusat-pusat perniagaan secara bertanggungjawab.
Justeru dalam menangani isu ini baik pengguna mahupun peniaga perlu memahami peranan masing-masing. Kedua-duanya ada hak, integriti dan tanggungjawab yang perlu dipenuhi agar mendapat manfaat bersama.
Ingatlah sebagai peniaga perlu sentiasa berusaha untuk memenuhi keperluan pengguna manakala kepuasan pengguna adalah satu keutamaan yang perlu penuhi. – UTUSAN
BULBIR SINGH
Bekas Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang






