SAUDARA PENGARANG,
DALAM masyarakat Cina di negara kita, terdapat sesetengah individu beranggapan bahawa merasmikan dan menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa kebangsaan akan membangunkan negara kita secara efektif.
Oleh itu, mereka tidak mementingkan bahasa Melayu dan sebaliknya hanya mementingkan bahasa Inggeris selain bahasa ibundanya.
Ini kerana mereka merujuk kepada Singapura yang sama seperti Malaysia mempunyai pelbagai kaum dan budaya tetapi kerajaannya masih menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi utamanya.
Berikutan itu kemenjadian tersebut sering dikaitkan dengan kejayaan Singapura dalam mencapai tahap negara maju sejak 20 tahun ini.
Sebenarnya, pemikiran sebegini tidak masuk akal sekali. Mengapa?
Berdasarkan kedudukan penguasaan bahasa Inggeris bagi negara yang bahasa ibundanya bukan Inggeris yang dikaji dan dianalisis oleh EF Education pada 2023,,Singapura berkedudukan ke-4, Malaysia ke-28,,Korea dan Jepun masing-masing berkedudukan ke-37 dan ke-78.
Walaupun Korea dan Jepun merupakan antara yang termaju dalam negara Asia, namun penguasaan bahasa Inggerisnya sangat rendah, adakah ini menjejaskan perkembangan ekonomi mereka? Perancis(ke-31 dan Itali ke-35, sebagai negara maju di kawasan Barat penguasaan mereka juga lebih rendah daripada Malaysia.
Kejayaan perkembangan ekonomi Jepun boleh dilihat sejak berlakunya Perang Korea pada 1950-an,kerana Amerika Syarikat telah membuat banyak tempahan senjata-senjata dari syarikat-syarikat perindustrian Jepun.
Jelaslah, bahawa perkembangan ekonomi sesebuah negara tiada kaitan sekali dengan penguasaan bahasa Inggerisnya sebaliknya berkait rapat dengan kelebihan negara tersebut, dasar-dasar kerajaannya serta peluang dari politik antarabangsa.
Namun, kepentingan pembelajaran bahasa itu juga tidak dapat dinafikan kerana ia adalah bahasa antarabangsa.
Janganlah memandang rendah terhadap bahasa kebangsaan kita, belajar bahasa kebangsaan ialah tanggungjawab bagi setiap warganegara. – UTUSAN
TEO WEI HONG
Batu Pahat, Johor






