SAUDARA PENGARANG,
PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini yang mengumumkan kenaikan gaji sehingga 15 peratus kepada kira-kira 1.2 juta penjawat awam di Malaysia. Bagaimanapun menurut beliau lagi kerajaan akan memperkenalkan kaedah yang melihat kepada prestasi kerja dan kecekapan penjawat awam sama ada mereka berhak menerima kenaikan gaji 15 peratus tersebut.
Oleh kerana kenaikan gaji ini melibatkan banyak pihak termasuk para pesara disarankan agar pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) merangka satu satu bentuk kenaikan yang memberi keadilan kepada semua pihak. Terutama bagi kenaikan pencen melibatkan para pesara. Ini kerana tiada kaedah penilaian dilakukan terhadap mereka.
Jadi apakah para pesara bakal turut menerima kenaikan pencen bulanan dari kenaikan gaji yang diumumkan oleh Perdana Menteri. Wajarlah jika pekerja yang berprestasi cemerlang mendapat kenaikan penuh seperti dijanjikan, akan tetapi pekerja yang dikategorikan sebagai berprestasi sederhana dan rendah tidak dilupakan.
Diharap mereka turut diberi pertimbangan, iaitu kenaikan gaji sekurang-kurangnya separuh dari mereka yang berprestasi cemerlang iaitu kenaikan sama dengan para pesara. Ini kerana mereka yang dikategorikan sebagai berprestasi sederhana dan rendah ini masih bekerja. Mungkin sumbangan mereka kepada jabatan kecil berbanding mereka yang cemerlang dan cekap, tapi yang pasti ada sumbangan kecil mereka kepada jabatan sepanjang perkhidmatan mereka.
Dalam keadaan ekonomi yang amat mencabar hari ini terutama mereka yang tinggal di bandar besar, saya berpandangan agar kenaikan gaji yang dijanjikan ini diberikan kepada semua pihak sama ada golongan yang berprestasi cemerlang, golongan yang berprestasi sederhana, golongan yang berprestasi rendah serta golongan yang tidak lagi dinilai prestasi kerja mereka iaitu para pesara.
Di kadar kenaikan ini adalah berbeza-beza menurut kecekapan dan prestasi kerja masing-masing seperti ditetapkan. Apa yang lebih penting semoga dengan pemberian kenaikan gaji ini, ia menjadi iltizam kepada semua pekerja sektor awam untuk terus menyokong kerajaan Madani yang terbukti menjadi wadah kepada rakyat tanpa mengira latar belakang mereka. – UTUSAN
SAHARUDIN MOHD. NOR
Kuantan, Pahang






