ISLAMIC Relief Malaysia (IR Malaysia) melancarkan Kempen Rayuan Musim Sejuk bagi mengumpul dana khusus untuk membantu penduduk Timur Tengah yang terjejas dengan ancaman musim sejuk.
Tahun lalu, melalui sumbangan rakyat Malaysia, IR Malaysia berjaya melaksanakan projek bantuan musim sejuk di Lubnan dengan mengagihkan barangan keperluan seperti baucar pakaian, tilam dan selimut kepada 133 keluarga dan memanfaatkan 665 individu.
Tahun ini, IR Malaysia menyasarkan kutipan dana sebanyak RM200,000 bermula 1 November hingga 31 Disember 2024 untuk disalurkan kepada keluarga-keluarga yang terjejas teruk di Gaza, Palestin dan keluarga kurang berkemampuan di Lubnan.
Bantuan akan diagihkan di beberapa kawasan seperti utara Gaza, Gaza tengah, Khan Younis dan Rafah di Palestin manakala di Lubnan, agihan akan dilaksanakan di Akkar, El Hermel, El Minieh-Dennie, Baalbek, Zahle, Baabda, West Bekaa, Rachaya, Jezzine dan Hasbaya.
Antara bantuan yang akan diberikan kepada penduduk Gaza ialah barangan keperluan seperti pakaian musim sejuk dan selimut. Manakala di Lubnan, bantuan meliputi pek makanan dan bantuan tunai.
Tahun ini, dijangka seramai 32,704 orang dari kedua-dua negara mendapat manfaat melalui bantuan musim sejuk.
Keperitan dan kesengsaraan yang dihadapi oleh penduduk Gaza dan Lubnan ketika ini harus diambil perhatian oleh semua pihak.
Kita semua maklum, Gaza masih berada di fasa peperangan dan konflik di Lubnan pula semakin meningkat dan merebak. Keadaan sangat genting saat ini, jadi, penting untuk kita membantu penduduk Gaza dan Lubnan demi memastikan musim sejuk mereka dapat diharungi dengan baik dan penuh kehangatan.
Saya menyeru kepada semua, marilah kita bersama-sama membantu dan menghulurkan bantuan kepada mereka yang diuji khususnya kanak-kanak, bayi, warga emas dan kaum wanita kerana mereka merupakan golongan yang paling terdedah dengan ancaman maut ketika musim sejuk. – UTUSAN
MOHD SHUKOR TAHIR
Ketua Pegawai Eksekutif Islamic Relief Malaysia






