KEBELAKANGAN ini, wujud sesetengah kelompok yang mempertikaikan Sifat 20 sebagai pendekatan mengenal Allah. Mereka beranggapan sepatutnya umat Islam hanya perlu merujuk terus ayat al-Quran ketika mahu belajar ilmu akidah. Ilmu ini dilihat perlu sesuai dengan ‘laras’ orang awam dan tidak perlu dibincangkan secara sukar. Selain itu, mereka juga melihat tidak perlu mencampur adukkan keyakinan tentang Allah dengan akal manusia yang terbatas. Namun benarkah anggapan sedemikian?
Perlu difahami bahawa pembelajaran Sifat 20 merupakan sebahagian dari sejumlah gugusan besar sistem kefahaman agama yang dibangunkan oleh para ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah bermanhaj al-Asha‘irah. Ia merupakan sebuah sistem pembelajaran yang telah dirumuskan sejak zaman berzaman untuk memahami akidah sahih seperti yang terkandung dalam al-Quran dan al-Sunnah.
Manhaj yang dibangunkan para ulama terbukti membantu majoriti umat Islam zaman berzaman dalam memahami akidah yang benar. Tambahan lagi pendekatan Sifat 20 ini bukan sekadar mengukuhkan akidah bahkan juga menghapuskan keraguan melalui bidasan hujah logik yang terkandung dalam ilmu kalam.
Namun, memandangkan perbincangan Sifat 20 dimulakan dengan perbahasan logik dan epistemologi semisal hakikat berfikir (al-nazar) dan hukum akal, sesetengah pihak mendakwa metodologi ini menganjurkan umat Islam untuk meragui akidah terlebih dahulu sebelum benar-benar meyakininya dengan dalil yang rasional.
Ulama al-Asha‘irah sejak zaman berzaman secara konsisten menekankan keyakinan yang benar tentang akidah perlu diambil terlebih dahulu daripada wahyu yang sahih.
Hakikatnya, sifat 20 merupakan suatu rumusan kerangka logik yang berkesan dalam memahami akidah. Pendekatan Sifat 20 merupakan manifestasi terhadap gesaan mengenal Allah melalui penelitian terhadap alam ini. Dalam al-Quran, terdapat lebih dari 20 gesaan kepada manusia untuk menggunakan akal seterusnya mengamati hakikat alam ini. – UTUSAN
MOHD. SAIFUL AQIL NAIM SAFUL AMIN
PROFESOR MADYA DR. MOHD KHAIRUL NAIM CHE NORDIN
Akademi Pengajian Islam
Universiti Malaya






