PRIHATIN terhadap masalah rakan-rakan sekolah yang dijangkiti demam denggi, pasukan Buzz of Blenders dari SJKT Batu Caves, Selangor, telah menggerakkan sebuah perusahaan sosial dengan menjual pani puri bagi membiayai pembinaan taman penghalau nyamuk di sekolah mereka.
Inisiatif dan komitmen mereka terhadap kesihatan komuniti telah memukau para juri di pertandingan Good SENS National Dragons’ Den 2024, sekali gus melayakkan kumpulan usahawan muda ini merangkul gelaran Perusahaan Sosial Terbaik Keseluruhan 2024.
Program Good SENS (Social Enterprise Network for Schools), inisiatif literasi kewangan oleh Financial Industry Collective Outreach (FINCO), menyaksikan penyertaan lebih daripada 60 pasukan sekolah rendah dari seluruh negara.
Good SENS merupakan kerjasama dengan Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (BPSH) dan Kementerian Pendidikan. Rakan pelaksana program ini termasuklah Social Enterprise Academy (SEA) dari Scotland dan Retrospective Discovery di Malaysia.
Hanya 11 pasukan cemerlang terpilih untuk membentangkan idea mereka secara langsung di Kuala Lumpur, bersaing untuk mendapatkan pelaburan lanjut dan mempamerkan perusahaan sosial kreatif di hadapan panel juri industri kewangan yang disegani, terdiri daripada Lee Yo-Hunn, Ketua Pegawai Eksekutif Public Investment Bank; Vikram Singh, Ketua Pegawai Eksekutif Citibank Malaysia; dan Shazman Shahid, Ketua Komunikasi Korporat; Pemasaran Kumpulan AmBank Group.
Program Good SENS ini lebih daripada sekadar platform untuk pelajar muda menonjolkan idea, ia merupakan satu perjalanan transformasi yang membekalkan kemahiran, keyakinan, dan empati untuk menangani cabaran dunia sebenar. Di samping meningkatkan literasi kewangan dan mempelajari cara menjalankan perniagaan, mereka juga belajar bagaimana untuk mencetuskan perubahan bermakna dalam komuniti mereka.
Semangat untuk menggunakan kreativiti dan kerjasama dalam mengubah isu sebenar kepada peluang bagi perubahan berkekalan turut terserlah pada pasukan naib juara, TH4 dari SJK(C) Tong Hua, Sarawak. Mereka telah mengagumkan para juri menerusi inisiatif ekonomi kitaran, iaitu mendapatkan makanan daripada keluarga berpendapatan rendah, menjualnya semula kepada rakan-rakan, dan menggunakan hasil tersebut untuk menampung keperluan harian sebuah rumah anak yatim. Model perniagaan yang praktikal dan lestari ini jelas menunjukkan potensi perusahaan sosial dalam memacu perubahan ekonomi dan sosial.
Pada 2024, program Good SENS telah melibatkan 380 pelajar sekolah rendah berusia 10 hingga 12 tahun dari 37 buah sekolah di seluruh negara, dengan sokongan daripada lebih 60 mentor industri kewangan. Para pelajar ini mendapat peluang merasai pengalaman sebenar dalam literasi kewangan dengan mengurus dan mengendalikan perusahaan sosial mereka sendiri.
Program ini dapat direalisasikan melalui dana dan komitmen bersama industri kewangan Malaysia, di mana 23 sekolah menerima sokongan daripada FINCO, manakala AmBank Group dan CIMB Bank menaja tambahan 14 buah sekolah.
Industri kewangan mempunyai tanggungjawab untuk memperkasa generasi akan datang dengan alat dan pengetahuan bagi membina masa depan yang lestari dan inklusif. Dengan menyokong usahawan sosial muda ini melalui bimbingan serta tajaan kewangan, institusi kewangan menyumbang kepada pembentukan budaya inovasi, daya tahan, dan impak sosial yang selari dengan nilai industri kewangan. – UTUSAN
FINANCIAL INDUSTRY COLLECTIVE OUTREACH (FINCO)






