ELEMEN literasi kewangan telah menjadi perhatian di Malaysia menerusi pelbagai inisiatif pendidikan dan program kesedaran. Melalui kursus asas atau modul pengurusan kewangan di institusi pengajian tinggi, generasi muda didedahkan kepada konsep seperti simpanan, bajet dan pengurusan wang. Namun, persoalannya adalah sejauh mana pendedahan ini membantu mereka menerapkan pengetahuan tersebut dalam kehidupan sebenar terutamanya apabila mereka mula memasuki alam pekerjaan dengan tanggungjawab kewangan yang lebih besar.
Dua konsep yang semakin mendapat perhatian dalam usaha menguruskan kewangan dengan lebih baik ialah gaya hidup berjimat cermat (frugal living) dan trend kemewahan sederhana (quiet luxury) yang menekankan kemewahan sederhana tanpa pembaziran. Frugal living adalah pendekatan yang mengutamakan keperluan berbanding kehendak dan memberi fokus kepada penggunaan yang bijak. Konsep ini tidak bermaksud hidup dalam kekurangan tetapi lebih kepada menumpukan kepada keperluan dan mengelakkan perbelanjaan yang tidak penting.
Contohnya, ramai kini mula membeli barangan terpakai yang berkualiti tinggi seperti pakaian atau perabot untuk menjimatkan kos dan mengurangkan pembaziran.
Sementara itu, quiet luxury merujuk kepada keutamaan terhadap kualiti berbanding kuantiti serta nilai praktikal berbanding simbol status. Sebagai contoh, individu yang mengamalkan konsep ini lebih memilih pakaian atau barangan rumah yang berkualiti tinggi serta tahan lama yang akhirnya lebih ekonomik dalam jangka masa panjang. Konsep ini juga menggalakkan penggunaan beretika, di mana pembelian dibuat berdasarkan keperluan sebenar dan bukan sekadar untuk memenuhi tekanan sosial yang digambarkan di media.
Dengan mempraktikkan kedua-dua konsep ini, generasi muda boleh belajar membuat keputusan kewangan yang lebih bertanggungjawab dan melatih diri untuk mengutamakan kualiti serta nilai sebenar dalam setiap pembelian.
Untuk memastikan generasi muda benar-benar mampu mengamalkan gaya hidup ini dengan bijak, pendedahan kepada bimbingan kewangan adalah amat penting. Walaupun literasi kewangan telah dimasukkan dalam kurikulum pendidikan, ia perlu dilengkapi dengan bimbingan dan pendedahan praktikal di peringkat universiti, pekerjaan dan komuniti.
Sebagai contoh, aktiviti seperti simulasi kewangan yang mencerminkan situasi sebenar seperti menyusun bajet bulanan dengan pendapatan terhad, mengurus hutang atau merancang pelaburan, boleh memberi generasi muda pengalaman yang lebih realistik. Aktiviti sebegini membantu mereka memahami bagaimana menerapkan pengetahuan kewangan dalam kehidupan harian.
Di tempat kerja, majikan boleh memainkan peranan dengan menyediakan bengkel pengurusan kewangan yang membantu pekerja muda memahami cara melabur, membina dana kecemasan dan merancang kewangan jangka panjang. Peranan keluarga juga penting dalam menanamkan kesedaran kewangan sejak kecil, misalnya dengan mendidik anak-anak tentang tabiat menyimpan dan mengurus wang poket mereka dengan bijak.
Kesedaran tentang literasi kewangan perlu diterapkan secara berterusan untuk memastikan generasi muda dapat mengurus kewangan mereka dengan bijak. Perubahan kecil seperti mencatat perbelanjaan harian, mengurangkan pembelian tidak perlu atau menyimpan sebahagian kecil pendapatan untuk pelaburan boleh memberi kesan besar kepada masa depan kewangan mereka. Generasi muda tidak perlu menjadi kaya untuk hidup selesa tetapi mereka hanya perlu membuat keputusan kewangan yang bijak dan bermakna. – UTUSAN
SYED AZMAN SYED ISMAIL
PROFESOR MADYA DR. SITI MISTIMA MAAT
Fakulti Pendidikan, Universiti
Kebangsaan Malaysia






